Wajib ke mandikan kereta atau motor baharu dengan air Yasin? Ini penjelasan Dr Zulkifli
Wajib ke mandikan kereta atau motor baharu dengan air Yasin? Ini penjelasan Dr Zulkifli
PERNAH buat tak? Kereta atau motosikal baharu dimandikan dengan air Yasin bagi elak kecelakaan.
Biasa orang-orang tua pesan macam tu kan? Ada yang buat dan sebaliknya.
Namun apakah sebenarnya kebenaran amalan itu? Ini penjelasan mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
"Terlebih dahulu, kami datangkan kenyataan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusuf Ahmad seperti yang tertulis di dalam keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 20 November 2017. Kata beliau berkenaan isu kereta dimandikan dengan air Yasin: “Boleh menimbulkan khurafat dan tohmah kepada orang lain. Maka (perbuatan sebegitu) perlu ditegah dan tidak boleh dijadikan ikutan.”
"Khurafat menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahyul. Menurut bahasa arab pula, khurafat ditakrifkan sebagai cerita-cerita mempesona yang karut dan dicampur adukkan dengan perkara dusta. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 1/237; al-Munajjid fi al-Lughah wa al-A‘lam, hlm. 175)
"Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1996 menyimpulkan di dalam Garis Panduan Khurafat Dan Azimat bahawa khurafat bermaksud semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran islam.[1]" tulisnya dalam maktabahalbakri siri 1750.
Mandikan Kereta dengan Air Yasin
"Pada adat sebahagian pihak, amalan ini dilakukan dengan kepercayaan menolak bala yang bakal menimpa dan melindungi pemilik kereta daripada perkara yang tidak diingini.
"Bahkan ada di antara mereka yang meletakkan kaifiyat khusus untuk amalan ini. Mereka mengatakan bahawa selepas kereta tersebut dimandikan dengan air Yasin, ia perlu dibiarkan selama 3 hari tanpa dimandikan dengan air biasa.
"Ia merupakan perkara khurafat yang dicampur adukkan agama dan kepercayaan mengarut padanya.
"Perbuatan ini juga jelas tiada sandarannya daripada al-Quran atau Sunnah Nabi SAW. Sesuatu amalan, meskipun ia disangka baik, akan tetapi tidak mempunyai sebarang dalil yang membenarkannya maka amalan tersebut tertolak.
"Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” - Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718).
Baca juga Air jampi direnjis pada kereta baharu elak musibah? Ini 2 hukumnya
"Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.” - Riwayat Muslim (1718)
"Sebaliknya, kita amalkanlah doa yang thabit dalam sebuah hadith riwayat Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَفَادَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً أَوْ خَادِمًا أَوْ دَابَّةً فَلْيَأْخُذْ بِنَاصِيَتِهَا وَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ ِإِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Jika kalian mendapatkan isteri, atau hamba atau haiwan tunggangan, maka pegang ubun-ubun kemudian bacalah: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan sifat yang ada di dalamnya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya dan keburukan sifat yang ada di dalamnya’.” - Riwayat Ibn Majah (1918), al-Hakim (2757) dan al-Baihaqi (14212)." kongsi beliau.
Ujar Dr Zulkifli, pada zaman kita ini, kereta atau kenderaan lain yang dinaiki boleh kita qiaskan dengan haiwan tunggangan.
Baca juga Bukan sahaja dibaca untuk orang meninggal, Ini kebaikan Surah Yasin kepada kita yang masih hidup
"Hal ini kerana kesemuanya mempunyai fungsi yang sama iaitu dijadikan sebagai pengangkutan untuk bergerak daripada satu tempat ke suatu tempat yang lain.
"Maka doa ini sangatlah sesuai untuk kita amalkan apabila dikurniakan rezeki yang lebih seperti membeli kenderaan dan sebagainya.
"Kami akhiri dengan satu nasihat, ingatlah bahawa ALLAH akan mengabulkan doa hamba-Nya yang meminta daripada-Nya.
"Mintalah daripada ALLAH SWT agar dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." - (Surah Ghafir: 60)" tulisnya.
Baca juga Melewatkan solat tiba-tiba haid, perlukah qada? Info ini wanita perlu tahu
Wallahua‘lam. Semoga bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang