PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilaksanakan pada 19 November tanpa disangka-sangka telah membawa ketidaktentuan kepada negara. Parlimen berada dalam keadaan tergantung apabila tidak ada mana-mana parti yang mencapai majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.

PRU15 menyaksikan pertembungan tiga pakatan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berbanding pilihan raya sebelum ini hanya antara BN dan PH.

Baca juga: PRU15: Pengundi muda pandang karisma, personaliti calon, ini 8 ciri pemimpin wajar dipilih

Sempena selesainya PRU-15 Malaysia, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah terpanggil untuk memberi ulasannya tentang kewajipan melantik pemimpin dan kerajaan. Berikut dalil dan fakta yang dikongsikan oleh beliau.

Baca juga: 10 fakta anak bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10, bijak, cantik, berjaya

Kredit foto: Pexels

1. Sabda Baginda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” [Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud.

2. Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.”

3. Menurut imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.”

4. Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.”

5. Imam al-Ghazali berkata:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, halaman 12)

Baca juga: Tinggal anak, isteri, ini kronologi kes bekas Perdana Menteri pertama ke penjara

Kredit foto:Pixabay

6. Imam Mawardi pula menyebut:

الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.”

7. Imam al-Haramain al-Juwaini juga pernah berkata:

الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا

Iklan

Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.”

Baca juga: Muhyiddin kini caretaker, ini 8 Perdana Menteri Malaysia yang wajib anda ketahui

Kredit foto: Pexels

KEWAJIPAN MELANTIK PEMIMPIN JUGA DIBUKTIKAN DENGAN SATU KAEDAH SYARAK IAITU:

مَا لَا يَتِمُّ اَلْوَاجِبْ إِلَّا بِهِ ، فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.”

Dalam menetapkan perkara ini, Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata: “Manusia mesti mempunyai pemerintahan sama ada yang baik atau jahat.” Lalu ditanya kepada beliau: “Wahai Amirul Mukminin, yang baik telah sedia kami ketahui. Bagaimana pula dengan yang jahat itu?” Beliau menjawab: “Dengannya dapat dijalankan hudud, dengannya jalan-jalan juga akan aman, dengannya juga dapat berjihad menentang musuh dan dengannya juga dapat dibahagikan harta rampasan.”

Imam Ahmad berkata: “Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia.”

Kesimpulannya, perlantikan ketua negara amat penting agar pentadbiran sesebuah negara itu dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

Iklan

Baca juga: “Biar tak berkuasa jangan tak berprinsip’ 5 fakta menarik Nina Ismail Sabri paling diingati

Sumber: Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Kredit foto utama: Pexels

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi