Wanita pengurus kewangan rugi hampir RM90,000 ditipu tawaran kerja sambilan, ini cara kenali sindiket

KERJA senang, gaji banyak! Siapa yang tak nak kan? Zaman ini macam-macam perkara dilakukan individu tidak bertanggungjawab semata-mata mengaut keuntungan atas angin dengan menipu duit orang.

Pelbagai taktik digunakan untuk mengaburi mata orang ramai dan tidak terkecuali sindiket penipuan penawaran kerja.

Seperti yang terjadi kepada seorang wanita di Kuantan, Pahang yang bekerja sebagai pengurus kewangan dijerat sehingga berdepan kerugian hampir RM90,000.

Kerja pun mudah! Hanya dengan bayaran komisen RM5 hanya untuk ‘follow’ dan ‘like’ bagi setiap satu laman di media sosial.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa, wanita berusia 34 tahun itu menerima pesanan WhatsApp menawarkan peluang kerja sambilan di laman sosial Instagram pada 4 Februari lalu.

Katanya, mangsa berminat dan melaksanakan kerja itu dengan menyelesaikan tiga tugasan diberikan.

Baca juga Sedekah paling afdal berilah kepada adik-beradik susah, paling tinggi kedudukan

Ujarnya, bagi tiga tugasan itu, mangsa telah menerima bayaran komisen sebanyak RM590 sehingga mendorongnya untuk ‘melabur’ dengan jumlah yang lebih besar.

Kata Ramli, tanpa menyedari bakal ditipu, mangsa nekad membuat 10 transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM89,560 menggunakan wang simpanan dan wang dipinjam daripada salah seorang adiknya.

Banyaknya! Aduhai apa nak kata nasi sudah menjadi bubur. Jadi orang ramai berhati-hatilah sentiasa, jangan mudah percaya dengan orang tidak dikenali.

Waspadalah! Sementara itu, ini empat contoh iklan kerja palsu atau scam;

1. Minta individu atau pemohon (anda) membayar dahulu duit sebagai alasan untuk yuran pemprosesan, pemeriksaan (check-up), yuran pentadbiran serta banyak lagi. Malah mereka juga turut menyatakan akan memulangkan semula wang anda.

2. Menyatakan kerja di satu talian online sebagai contoh Zalora, Shopee untuk ‘awareness’ dan meminta anda membeli produk mereka dan akan dibayar berserta komisyen.

3. Mengiklankan kerja A berserta gaji sebagai contoh RM5,000 berserta elaun dan bonus, namun apabila temuduga atau kerja anda hanya diberi gaji kurang dari itu dan melakukan kerja lain.

4. Mengiklankan kerja dengan gaji yang tinggi namun menurunkannya dengan alasan calon tidak layak atau menyatakan syarikat mempunyai bajet yang terhad.

Bagaimanapun, ramai yang tertipu dengan iklan kerja ini antaranya adalah kos sara hidup yang tinggi membuatkan ramai terdesak untuk mempunyai kerja dengan gaji lumayan, peluang kerja tidak cukup terutama kepada graduan dan kurang kesedaran.

Bagi membantu anda yang sedang mencari kerja agar tidak tertipu dengan iklan tersebut ini beberapa cara untuk mengenal pastinya.

Enam cara kenal pasti iklan kerja palsu atau scam;

1. Minta bayar dulu untuk apa-apa perkara.

Iklan

2. Iklan tidak memiliki informasi yang lengkap berkenaan deskripsi kerja atau syarikat.

3. Mempunyai banyak kesalahan ejaan pada iklan.

Baca juga Elak kena scam penipu emas, ini trik boleh selamatkan duit poket wanita

4. Memakai email rasmi syarikat.

5. Menawarkan gaji lumayan tetapi kerja yang mudah.

6. Sumber komisyen yang tidak logik seperti membeli barangan dan dapat komisyen.

Iklan

Sekiranya anda menjadi mangsa dan terlibat dengan penipuan ini anda juga boleh membuat beberapa tindakan seperti membuat laporan polis serta lapor kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Berdasarkan laporan anda, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa seperti melakukan tindakan proaktif dengan mengadakan operasi tertentu atau kempen bagi menyedarkan masyarakat.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Sinar Harian, Twitter Nik Akmal

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.