Waspada jika sakit ketika buang air kecil wanita kena jaga 9 perkara elak kencing kotor

PERNAHKAH anda mendengar mengenai penyakit jangkitan saluran kencing (UTI) atau pernah mengalami simptom kencing kotor?

Jangkitan saluran kencing ataupun urinary tract infection (UTI) merupakan sejenis jangkitan yang berlaku pada mana-mana bahagian di dalam sistem urinari.

Ini termasuklah pada bahagian buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra.

UTI boleh dirawat menggunakan antibiotik. Namun, rawatan tidak selalunya diperlukan kerana UTI kadangkala sembuh dengan sendirinya.

Oleh sebab itu, ramai yang bertindak mengabaikan UTI disebabkan mereka tahu ia boleh sembuh sendiri.

UTI selalunya akan menyebabkan pesakit rasa tidak selesa.

Jangkitan yang berlaku berulang kali perlulah diperiksa oleh doktor supaya punca di sebalik jangkitan tersebut dapat dikenal pasti.

Baca juga Hati-hati kaum Hawa, jika ada simptom ini anda boleh dapat kencing kotor

Antara simptom dan tanda kencing kotor yang anda perlu perhatikan ialah;

1. Rasa terdesak untuk buang air kecil.

Salah satu simptom kencing kotor ialah rasa terdesak untuk membuang air kecil. Pesakit akan rasa ingin membuang air secara tiba-tiba dan sukar untuk menahan kencing.

Keadaan ini bukan sahaja akan membuatkan anda rasa tidak selesa, malah ia boleh mengganggu aktiviti harian. Langkah yang terbaik untuk menangani kondisi ini adalah dengan merawat punca UTI yang pesakit alami.

2. Rasa sakit ketika membuang air kecil.

Rasa sakit ketika membuang air kecil merupakan satu tanda kencing kotor yang amat merisaukan. Ia akan membuatkan pesakit rasa menderita dan tidak selesa ketika membuang air kecil.

Rasa pedih yang berlaku adalah disebabkan oleh pertumbuhan bakteria yang menyebabkan urin menjadi asidik. Oleh sebab itu, apabila urin keluar, ia akan menyebabkan pesakit rasa sakit dan pedih.

Baca juga Air kencing warna merah selepas makan buah naga, bahaya ke? Ini penjelasan doktor

3. Buang air dengan jumlah yang sedikit.

Jika anda terpaksa meneran untuk membuang air ataupun hanya mengeluarkan urin yang sedikit setiap kali anda ke tandas, ini mungkin merupakan tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing.

Walaupun begitu, ada banyak sebab yang mungkin menjadi punca anda alami masalah ini. Antaranya ialah dehidrasi, jangkitan ataupun terdapatnya halangan pada saluran urin.

4. Air kencing berwarna keruh.

Semua orang tidak terlepas daripada mengalami perubahan warna air kencing. Malah, ia merupakan sesuatu yang lazim berlaku dan mungkin berpunca daripada pola pemakanan anda. Air kencing juga boleh menjadi keruh jika anda mengalami dehidrasi.

Kadangkala, makanan seperti ubi bit, beri hitam, dan kacang parang boleh menyebabkan urin bertukar warna menjadi merah gelap.

5. Darah di dalam air kencing

Darah di dalam urin atau turut dikenali sebagai hematuria mungkin merupakan tanda penyakit yang lebih serius. Walaupun hematuria lazimnya tidak berbahaya, penting untuk anda bertemu dengan doktor bagi menentukan punca sebenar pendarahan.

Iklan

6. Bau air kencing yang kuat

Selalunya, bau air kencing yang kuat bukanlah petanda masalah kesihatan. Malah, ada pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan bau tersebut. Sebagai contoh, anda boleh minum lebih banyak air dan kurangkan pengambilan makanan yang berbau.

Baca juga Kencing kotor: Tiada petanda-petanda awal, lebih berbahaya terutama kepada ibu hamil

Kredit foto: Sora Shimazaki

Tip mengelakkan kencing kotor di kalangan wanita;

1. Sentiasa bersihkan dan keringkan bahagian kemaluan anda.

2. Hindari pengunaan sabun, gel dan sebagainya. Hanya gunakan air suam bersih bagi mencuci bahagian luar faraj, atau gunakan pembersih peribadi khas yang mempunyai pH3.8-4.2.

3. Bersihkan dubur dan bahagian kemaluan dari depan ke belakang setiap kali selepas anda buang air.

4. Banyakkan meminum air supaya kuman dapat dikumbah dari sistem saluran kencing.

5. Kosongkan pundi kencing setiap dua hingga tiga jam. Jangan amalkan menahan aktiviti kencing.

Iklan

6. Amalkan membuang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan kelamin terutamanya mereka yang baru berkahwin.

7. Seboleh-bolehnya, pakailah seluar dalam berkapas yang dapat menyerap lembapan.

8. Tukar tuala wanita dengan kerap semasa haid.

9. Elakkan memakai seluar jeans denim yang ketat.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr Zubaidi Ahmad, hellodoktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.