TIDAK pernah gentar dengan permainan industri seni yang sentiasa mahukan selebriti yang popular sebagai syarat utama berada di depan kamera, pelakon Farah Ahmad tetap percaya dan nekad untuk terus berdiri dengan bakat sendiri.

Sedar bahawa ia bukan sesuatu yang mudah, Farah, 45, yakin usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam apa sahaja kerja, pasti akan membuahkan hasil, meski menuntut sedikit masa dan pengorbanan.

Justeru, setiap peluang yang hadir, selebriti berbakat itu akan memberi yang terbaik.

“Ya, saya akui memang tidak mempunyai jumlah pengikut ramai di laman sosial untuk memenuhi ‘syarat‘ mendapat peluang bekerja sebagaimana yang diperkatakan oleh pelbagai pihak sekarang.

“Namun, saya lega apabila semakin ramai di luar sana yang lebih melihat kepada bakat saya berbanding hal-hal lain,” ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran Program Istana Budaya 2022 baru-baru ini.

Bagaimanapun, bintang filem Roh itu mengakui kadangkala berasa terkilan apabila terdapat segelintir pihak yang meremehkan pelakon seperti dirinya dengan menetapkan bayaran tidak munasabah.

“Walaupun sudah bertahun berlakon, saya akui masih lagi berdepan dengan masalah pembayaran yang tidak setimpal dengan kerja lakonan. Adakalanya jumlah yang disebut memang tidak masuk akal langsung.

“Bila bersuara, ada pula yang menganggap kita tidak bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Bukan saya tak bersyukur rezeki, tetapi ada masa kena sedar orang sedang mengambil kesempatan.

“Jadi, saya sering mengambil pendekatan untuk berbincang dan mengambil jalan tengah. Alhamdulillah, saya banyak dapat peluang bekerjasama dengan penerbit dan produksi yang memahami dan menghargai cara saya bekerja,” katanya.

Sebagai seorang yang aktif dan terkenal dalam dunia pementasan teater, Farah sentiasa terbuka berkongsi ilmu lakonan dengan bakat baharu terutama mereka yang terlibat dalam satu produksi lakonan dengannya.

“Apabila saya bekerja dengan bakat-bakat baharu atau pelakon tambahan di set penggambaran, sesetengah mereka masih tidak begitu tahu tentang lakonan. Memang ramai yang merungut apabila berdepan dengan situasi itu.

“Saya tak hanya melihat, saya akan ambil inisiatif untuk menghulur tangan membantu mereka dengan ilmu dan pengalaman yang ada. Lagipun, mereka berlakon bersama kita, jika tidak bagus kita juga akan terkesan sama dan membazirkan banyak masa di lokasi sahaja.

“Saya faham bila ada yang kata, set penggambaran merupakan tempat kerja dan bukan untuk belajar lakonan. Bagaimanapun, berfikir secara positif sahajalah. Molek rasanya kalau kita memudahkan kerja semua orang,” ujarnya yang bakal tampil dengan telefilem khas raya berjudul Jeman, Ombak Berbisik, Seri dan pementasan teater Tun Fatimah.

Sumber kekuatan

Dalam perkembangan lain, Farah yang juga menantu kepada seniwati Fauziah Nawi mengakui bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada anak-anaknya, Dhia Farhana, 19; Mhia Farhana, 16; dan Thia Farhana, 10, selepas bergelar ibu tunggal lebih dua tahun lalu.

Iklan

Seperti yang diketahui umum, suaminya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif meninggal dunia dalam satu kejadian bot pecah dan hanyut di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober 2019.

“Alhamdulillah kehidupan kami semua berjalan dengan baik. Malah, hubungan saya dengan ibu mertua juga tetap erat seperti dulu. Tiada apa yang berubah.

“Dari segi cabaran membesarkan anak-anak dan menyara kehidupan, bagi saya ia adalah perkara biasa yang dilalui semua orang dan tiada apa yang perlu dikeluh-kesahkan. Cuma saya semakin banyak belajar tentang kehidupan.

“Sekarang baru saya rasa penangan sebenar menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah,” akuinya.

Iklan

Farah menambah, apa yang membuatkan diri beliau terharu apabila anak-anaknya sangat memahami dan sentiasa membantu memudahkan urusan mereka sekeluarga.

“Kadang-kadang rasa nak marah kepada diri sendiri dan anggap diri tak berguna kerana menyusahkan mereka. Namun hakikat sebenarnya, mereka begitu memahami dan kami saling mengambil berat.

“Kalau orang lain mohon restu orang tua dalam apa yang mereka ingin lakukan, saya pula sebaliknya kerana sentiasa minta restu daripada anak-anak,” akhirinya.

(FOTO: INSTAGRAM FARAH AHMAD)