ISU gurauan keterlaluan personaliti sosial media, Ryzal Ibrahim (Ryzal DurianKimchi) berkenaan pakaian tradisional wanita Iban telah mengguris perasaan banyak pihak khususnya masyarakat di Sarawak.

Pun begitu, beliau mengakui kesilapannya dan telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, sekali lagi pada hari ini Ryzal menyatakan kesediaan menerima apa juga bentuk penyelesaian atau permohonan maaf daripada mana-mana persatuan anak negeri terbabit.

Baca juga “Tiada niat menghina, cetus perbalahan.” Ryzal DurianKimchi mohon maaf isu gurauan pakaian tradisional Iban

“Terima kasih kerana menegur saya. Saya sedar salah dan bertanggungjawab atas kesilapan dibuat.

“Saya tak memaksa untuk dimaafkan, saya memohon maaf atas dasar tanggungjawab kerana melukakan hati ramai pihak terutama orang Sarawak khususnya kaum Iban.

“Kepada rakan artis dan penggiat seni di Malaysia, saya mohon maaf jika isu ini memberi kesan buruk kepada industri tanah air. Saya amat berharap semoga tiada perbalahan atau kebencian pada mereka yang mungkin terkesan akibat kata-kata saya.

“Kepada orang Sarawak, saya menerima segala bentuk penyelesaian permohonan maaf secara terbuka di mana-mana persatuan Borneo atau Iban yang berkenaan,” katanya.

 

Malah, Ryzal turut kesal dengan apa yang berlaku dan menjadikan ia pengajaran masa hadapan dan tidak akan mengulangi. Beliau juga mengakui tidak berniat untuk menghina atau bersifat perkauman.

“Kepada rakyat Malaysia, terima kasih atas teguran, nasihat dan perkongsian tentang budaya dan khazanah pakaian tradisional Iban. Tiada yang lebih baik daripada memperbaiki kesilapan. Saya akui kesilapan ini dan kesal dengan apa yang berlaku.

“Permohonan maaf ini juga adalah pengajaran untuk saya pada masa hadapan supaya tidak akan mengulangi perkara sama, sama ada bergurau terhadap pakaian, makanan, bahasa dan apa-apa bentuk khazanah atau budaya yang perlu dihormati.

“Jujurnya saya tiada niat untuk menghina mana-mana pakaian kaum dan bangsa jauh sekali bersifat perkauman,” luah anak sulung kepada lima adik-beradik itu.

Baca juga Rupanya harga set pakaian masyarakat Iban boleh cecah RM10,000 ke atas. Ini bukan level ‘kain buruk’

Iklan

 

Selain itu, Ryzal juga meminta kerjasama supaya isterinya, Maryam You Narae dan anak dalam kandungan tidak dilibatkan dalam isu terbabit. Pada masa sama, beliau turut memaafkan mereka yang menyebarkan fitnah.

 

 

Iklan

“Maafkan jika permintaan saya ini keterlaluan. Saya hanya meminta supaya sesetengah pihak tidak melibatkan anak dalam kandungan isteri saya yang tidak bersalah.

“Saya mohon supaya tidak membuat fitnah terhadap anak yang masih dalam kandungan lima bulan itu yang belum melihat dunia. Anak itu anugerah ALLAH pada kami berdua selepas dua tahun dalam bahtera perkahwinan.

“Saya faham kemarahan ramai pihak, saya tidak salahkan kamu, ia berpunca daripada saya yang mencetuskan keadaaan, tetapi mohon jangan libatkan isteri dan anak kami. Kepada mereka yang keterlanjuran menyebarkan fitnah anak kami, saya maafkan,” tulis Ryzal di Instagram.

Selain itu, Ryzal juga memaklumkan akan membuat permohonan maaf secara terbuka dengan Persatuan Anak Borneo Semenanjung pada hari dan waktu yang akan diumumkan.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ryzal Ibrahim (@ryzalibrhm)

Sumber: ryzalibrhm