YOUTUBER popular, Muhd Syahmi Sazli memberitahu dia tidak kisah menerima apa jua kritikan terhadap filem terbaharunya, Mael Totey The Movie yang akan ditayangkan menerusi Astro First bermula 22 Oktober ini.

Bagaimanapun apa yang dikesali apabila ada segelintir netizen bertindak biadap dengan menghina barisan pelakon dan mengeluarkan kata-kata yang boleh mengundang fitnah.

“Baru-baru ini saya ada terbaca beberapa komen yang menghina pelakon-pelakon filem Mael Totey dengan mengatakan mereka pelakon cacat dan pelbagai kata nista lain.

“Jadi saya pertahankan mereka dan meminta netizen tidak sewenangnya mengeluarkan kata-kata kejian yang boleh mengundang fitnah.

“Kemudian mereka kata saya pula yang tak boleh menerima kritikan.

“Saya tak kisah mereka nak kritik filem saya, tetapi jangan sampai mengeluarkan kata kesat terhadap pelakon saya, mengeluarkan ayat yang boleh jatuh fitnah,” katanya kepada Sinarplus.

MAEL TOTEY THE MOVIE
Antara barisan pelakon yang membintangi Mael Totey The Movie.

Tambah Syahmi, 25, sejak awal proses pembikinan Mael Totey The Movie, dia sudah bersedia menerima apa jua kritikan yang dilemparkan.

Iklan

Bagaimanapun dia bersuara bukan kerana tidak boleh menerima kritikan atau mudah sentap, sebaliknya merasakan perkara itu tidak adil buat para pelakon yang terlibat.

“Saya bukan tak boleh terima kritikan, tapi biarlah orang mengkritik saya kerana hasil kerja saya. Bukan mengeji atau mengina orang lain,” tegasnya.

Iklan

Mael Totey The Movie dibintangi Syahmi yang juga bertindak selaku pengarah dan penulis skrip, bersama Yoe, Asif, Kamarool Hj Yusof, Aween Ismail dan ramai lagi.

Ia mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris. Konflik antara Mael, cikgu, dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa (Asif, Yoe, Yatin & Bedul).