SEJAK 28 Ogos lalu, Netflix melancarkan antara muka pengguna (UI) miliknya dalam Bahasa Melayu. Pilihan terbaharu itu membolehkan pengguna di Malaysia mengemudi UI, membaca judul serta sinopsis, dan menonton rancangan serta filem dengan sari kata dan alih suara Bahasa Melayu.

Pilihan UI Bahasa Melayu memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada keluarga kerana mereka boleh menukar profil ke Bahasa Melayu melalui menu pilihan Bahasa di bahagian Pengurusan Profil di dalam komputer peribadi, TV atau pelayar mudah alih.

Menurut jurucakap Netflix, kemudahan tersebut boleh memberi pilihan kepada pengguna apa yang mereka mahukan.

“Netflix percaya bahawa ahli-ahli patut diberi pilihan untuk mengawal keseluruhan pengalaman hiburan mereka dan kami gembira kerana mereka kini boleh menikmati Netflix dalam Bahasa Melayu.

“Ia pasti dapat meningkatkan lagi pengalaman mereka ketika menonton Netflix dan amat sesuai bagi rakyat Malaysia yang lebih selesa menikmati rancangan kegemaran mereka dalam Bahasa Melayu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Netflix turut menawarkan pengalaman serba lengkap dalam Bahasa Melayu, daripada daftar masuk hinggalah ke ruangan carian, kutipan dan pembayaran untuk semua peranti.

Iklan

Bukan itu sahaja, Netflix turut membawakan cerita-cerita terbaik dari Malaysia untuk penonton antarabangsa seperti komedi istimewa terbaharu, Dr. Jason Leong: Hashtag Blessed dan filem terbaharu karya Adrian Teh, Pasal Kau! yang bakal menghiasi skrin pengguna Netflix di seluruh dunia.

Iklan

Rancangan dan filem Netflix kegemaran penonton di Malaysia seperti Stranger Things, The Witcher, Kingdom, dan The Umbrella Academy turut didatangkan dengan sari kata Bahasa Melayu.

Tahun lalu, Netflix telah memperkenalkan pelan mudah alih di Malaysia untuk hanya RM17 sebulan.