Mohd Khairuddin mampu pandu kereta KL – Kelantan, hasilkan 500 lukisan hanya guna kaki

Mohd Khairuddin mampu pandu kereta KL - Kelantan, hasilkan 500 lukisan hanya guna kaki
September 11, 2020
Oleh Faezah Muda

DILAHIRKAN tanpa kedua-dua belah tangan tidak mematahkan semangat orang kurang upaya (OKU), Mohd Khairuddin Che Rani, 31, untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

Malah, anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Banggol Ara, Pasir Mas, Kelantan menyifatkan dirinya cukup sempurna dengan anugerah tersebut.


“Mungkin orang lain lihat kehidupan saya sangat mencabar apabila kaki berperanan sebagai ‘tangan’ terutama ketika makan, memandu kereta, membersihkan diri dan sebagainya.

“Namun alah bisa, tegal biasa, saya dapat menjalani kehidupan normal seperti manusia yang lain walaupun tanpa tangan.

“Ramai yang melihat ia sukar namun kekurangan ini adalah kelebihan buat saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khairuddin yang berkerja di Mouth & Foot Painting Artists Sdn Bhd berkata, dengan sepasang kaki itulah dia manfaat­kan untuk mencari rezeki sebagai pelukis sepenuh masa bagi menyara keluarga.

Mohd Khairuddin mampu pandu kereta KL - Kelantan, hasilkan 500 lukisan hanya guna kaki
Sebagai ibu, Rohana Mat Zain, 55, bangga dengan keupayaan Mohd Khairuddin menyara keluarga walaupun tanpa tangan.

Katanya, dia sudah berkhidmat di syarikat berkenaan selama 12 tahun berbekalkan bakat melukis menggunakan kaki yang dimilikinya.

“Setiap hari saya akan mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk menyiapkan sebuah lukisan menggunakan kaki dan sehingga kini saya sudah menghasilkan lebih 500 lukisan.

“Dalam sebulan saya mampu menyiapkan lima keping lukisan pelbagai corak mengikut kehendak pelanggan dan setakat ini lukisan paling mahal yang pernah saya hasilkan bernilai RM13,000,” katanya.

Artikel berkaitan: Dulu tokan dadah, kini imam surau

Iklan

Mengimbau kembali bagaimana dia menyedari bakat yang ada padanya, Mohd Khairuddin berkata, minat itu berputik sejak berusia 12 tahun tanpa pengetahuan keluarga.

Dia berkata, minat itu semakin bercambah sehingga dia melanjutkan pengajian dalam bidang lukisan secara serius di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU Bangi.

Iklan

“Saya berkemahiran dalam melukis lukisan bermotifkan abstrak, pemandangan dan sebagainya. Sekarang saya menetap di Kuala Lumpur dan tinggal seorang diri.

“Saya akan pulang ke kampung bila ada cuti dengan memandu sendiri. Walaupun serba kekurangan namun saya mampu mencari rezeki dan menyara keluarga,” katanya lagi.

Mohd Khairuddin yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah, Kampung Siram di sini berkata, golongan OKU tidak seharusnya mudah putus asa dengan kekurangan yang dimiliki.

Katanya, golongan OKU harus menjadikan ia sebagai kelebihan dalam meneruskan hidup.

“Kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU, bantulah mereka dengan cara melihat potensi dan berilah sokongan sebaik mungkin kerana ia akan menjadi azimat berguna buat mereka nanti,” katanya.

Mohd Khairuddin mampu pandu kereta KL - Kelantan, hasilkan 500 lukisan hanya guna kaki
Mohd Khairuddin membuktikan kemampuannya memandu kereta dengan menggunakan kaki di Kampung Banggol Ara, Pasir Mas baru-baru ini.
Iklan