USIA tidak pernah menjadi penghalang buat pelakon Rozita Che Wan untuk membuktikan dia masih relevan sebagai heroin drama.

Selepas lebih 13 tahun menceburi dunia lakonan, ibu kepada tiga cahaya mata itu sudah melalui zaman kegemilangan sebagai heroin drama dan telefilem.

Bagaimanapun, pelakon dan ahli perniagaan yang mesra disapa dengan panggilan CheTa itu sentiasa berpijak di bumi nyata dalam soal mempertimbangkan tawaran berlakon.

Selepas kembali aktif berlakon, setelah seketika memperlahankan aktiviti seni kerana memberi tumpuan bisnes, CheTa menerima tawaran untuk melakonkan pelbagai watak.

Terbaru, pelakon kelahiran Kedah itu sedang sibuk di lokasi penggambaran drama 13 episod, Dia Isteriku, arahan Ayie Mustafa untuk TV Al Hijrah yang menyaksikan dia memainkan peranan utama.

Menerusi drama tersebut, CheTa memegang watak sebagai Aisyah, seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki muda lakonan Hafidz Roshdi, selepas berpisah dengan suaminya, lakonan Datuk Fizz Fairuz.

“Jika penyanyi mempertaruhkan kepada lagu yang baik untuk melonjak naik, saya percaya pelakon juga bergantung kepada skrip untuk terus membuktikan kemampuannya mewarnai watak diamanahkan.

“Bagaimanapun kalau drama itu nak heroin berusia 25 tahun atau yang lebih muda, saya mungkin sudah tidak layak.

“Apa pun jika ada skrip memerlukan watak bersuami muda atau pergolakan wanita matang, saya boleh mencubanya.

“Tawaran sebegini bukan datang selalu, tapi peluang yang datang saya takkan mempersiakannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, CheTa menerima baik cabaran yang diberikan pihak produksi untuknya membawakan watak utama sekali gus membuktinya kemampuan lakonannya.

“Soal watak utama ini contohnya berbalik kepada kepercayaan produksi dan pihak penerbit. Alhamdulillah saya masih boleh membuktikan bakat yang dimiliki.

Iklan

“Di luar negara sendiri, kita tahu semakin berpengalaman dan meningkat usia, pelakon itu terus diberi  watak penting,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, rezeki CheTa terus murah apabila sibuk dengan pelbagai komitmen kerja seni.

“Selain drama, saya juga terbabit sebagai hos beberapa program. Antaranya ialah program Ujian Menantu yang menampilkan anak sulung, Ammar Effendy mencari bakal isteri. Manakala untuk program fesyen Glam ke Tengglam yang hoskan oleh Zizan Razak, saya bertindak sebagai panel.

“Dalam masa sama, saya masih sibuk membahagikan masa dengan urusan bisnes dan keluarga,” katanya.

Iklan

Tanggal 11 Disember lalu, pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta dan Family Spy  itu  menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ketujuh bersama Zain Saidin.

“Fasa turun naik dalam berumah tangga itu lumrah. Namun saya percaya tolak ansur itu perlu. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal sampai syurga,” akhrinya.

 

(FOTO: Instagram CheTa)