SEJAK semalam di feed laman sosial Bibir Merah sarat dengan hashtag #jibek merujuk kepada watak lakonan pelakon berbakat besar Benjy dalam drama Kerana Cintaku Saerah yang popular pada tahun 2007.

Kewujudan hashtag tersebut baik menerusi Facebook, Instagram mahupun Twitter sebagai tanda penghormatan selepas bapanya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi memaklumkan Benjy meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia.

Pemergian anak sulung kepada Allahyarham seniwati Azean Irdawaty pada jam 11 pagi Ahad tersebut dilaporkan akibat penyakit asma dialami.

Penggiat seni, rakan artis dan para peminat berkongsi kesedihan dan rata-ratanya menyifatkan pemergian Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim adalah kehilangan besar buat industri seni tanah air.

Masakan tidak, sejak berkecimpung dalam dunia lakonan pada usia 10 tahun melalui filem Perempuan (1988) setiap naskhah yang digalas tidak pernah menghampakan.

Artikel berkaitan: Jenazah Benjy Dikebumikan Di Medan, Esok

Pendek kata berilah apa watak sekalipun daripada zaman kanak-kanak, remaja sekolah sehinggalah karakter individu terencat akal, Benjy berusia 43 tahun mampu melunaskan dengan baik.

Bahkan pendapat peribadi, Bibir Merah sendiri amat meminati lakonan bersahaja Benjy memegang watak Mat Tom yang mewakili pasukan bola tampar sekolah dalam filem Baginda sekitar tahun 1997.

baginda benjy
ALLAHYARHAM Benjy juga pernah membintangi filem Baginda arahan Aziz M Osman pada tahun 1997.

 

Dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat arwah digambarkan insan yang penyayang, baik dan komited.

Memetik laporan Astro Awani misalnya, adik Allahyarham, Inessa Irdayanty menyifatkan abangnya seorang yang baik dan bertanggungjawab.

“Kakak saya (Elza Irdalynna) lahir semasa abang (Benjy) berumur sembilan tahun, saya pula lahir semasa abang berusia 12 tahun.

“Mama dan abah sibuk bekerja semasa itu. Benjy tidak pernah melalui kehidupan kanak-kanak yang normal.

“Sejak berumur sembilan tahun, setiap hari selepas balik sekolah dia akan bantu mama jaga kami seperti tolong salin lampin dan suap makan.

“Dia jaga kami seperti anak sendiri dan terus buat perkara sama sehingga kami besar,” kata Inessa yang menyifatkan arwah abang kesayangannya itu sarat kasih sayang kepada keluarga.

kenyataan benjy
KENYATAAN rasmi daripada keluarga Benjy yang dimuat naik menerusi Twitter adiknya, @elzairdalynna baru-baru ini.

Pun begitu, sudah tertulis bahawa setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, waima sebesar zarah.

Benjy juga tidak terkecuali apabila terpalit dengan bahana dadah kira-kira bermula tahun 2010.

Beliau pernah ditahan bagi membantu siasatan penemuan makmal memproses dan membungkus dadah sekitar Mac tahun 2010.

Pada 17 Ogos 2011 pula didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram yang ditemukan di rumahnya di Kondominium Menara Duta 2, Kuala Lumpur.

Ini termasuklah, ditahan bersama seorang rakan dalam satu sekatan jalan raya di Pagoh, Johor. Hasil pemeriksaan polis menemukan beg berisi peket plastik mengandungi dadah disyaki syabu.

Iklan

Bahkan, tatkala menghembuskan nafas terakhir Benjy sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.

Di sini Bibir Merah kongsikan titipan warga maya atas pemergian Allahyarham Benjy:

Artikel berkaitanBenjy Meninggal Dunia Di Medan

benjy
BENJY (kanan) merupakan anak sulung kepada Allahyarham seniwati Azean Irdawaty yang meninggal dunia pada tahun 2013. 

– “Pelakon hebat seperti ibunya. Kehilangan dirasai. Semoga ditempatkan bersama orang beriman. Amin.”

– “Teringat lakonannya dalam telefilem Kampungku bersama pelakon Tam. Best gile citer tu.”

– “Terasa macam baru sahaja drama Kerana Cinta Saerah ni ditayangkan tak sedar sudah hampir 15 tahun. Watak Jibek dilakonkan seolah-olah dekat dengan jiwa penonton.”

– “Sedih betul kisah hidupnya. Kisah kita tak tahu lagi pengakhirannya.”

Iklan

– “Salam takziah supaya menjadi pengajaran kepada yang lain dadah membawa padah.”

Terdahulu, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada April 2017.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga bersama Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004, namun bertahan selama sembilan tahun sahaja.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Firdaus Juan Benjamin yang kini berusia 16 tahun.

Sumber: Astro Awani, Wikipedia dan Twitter @elzairdalynna