SUAMI kepada pelakon Nynaa Harizal iaitu Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, 29, memaklumkan isterinya itu telah menetapkan tujuh syarat untuk berjumpa ketika menghubunginya pada 12 November lalu.

Ujar Fahmi, antara syarat yang ditetapkan adalah perlu berjumpa di pejabat peguam di Johor Bahru serta tidak boleh ditemani keluarga, pemandu atau pengawal peribadi.

Baca juga: ‘Saya harap kita dapat berjumpa…’ – Suami Nynaa beri tempoh tujuh hari

“Ketika dia menghubungi saya pada 12 November lalu, 30 saat pertama saya sangat gembira mendengar suaranya. Kemudian saya rasa lain, lebih-lebih lagi apabila dia menetapkan syarat untuk berjumpa.

“Syarat pertama saya perlu berjumpa dengannya di pejabat peguam di Johor Bahru; kedua, saya perlu datang berseorangan; ketiga, saya tidak boleh merekod apa-apa ketika berjumpa.

“Keempat hingga ketujuh, saya tidak dibenarkan membawa pemandu, pengawal peribadi, keluarga dan media,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas berkaitan kontroversi perkahwinannya di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Tambah Fahmi, Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, turut memaklumkan dia tidak dibenarkan keluar dari Johor Bahru dan menggunakan telefon bimbit.

“Nynaa maklumkan untuk bercerai cara baik, tetapi cara dia sekarang tidak seiring dengan tindakannya. Saya ada datang ke rumah keluarganya di Johor Bahru dan saya tidak dibenarkan masuk walau sudah dua jam menanti.

“Kalau betul dia mahu bercerai, datang sendiri berjumpa saya di rumah kami di Kuala Lumpur. Tapi dia kata dia tidak dibenarkan keluar dari Johor. Bila saya tanya siapa tak bagi, dia kata tak boleh beritahu,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai punca yang menjadi titik tolak kepada permasalahan perkahwinan mereka yang baharu tiga bulan dibina, Fahmi berkata, dia tidak menolak masalah kewangan menjadi antara faktor.

Iklan

“Saya tidak menafikan (punca kewangan) tetapi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu,” ujarnya yang memaklumkan perhubungan dengan keluarga Nynaa adalah baik sebelum berkahwin sehinggalah bulan lalu.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu.

Pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama di Setia Alam.

Iklan

Bagaimanapun Nynaa dalam satu kenyataan media semalam tampil menafikan dakwaan dan telahan suaminya serta menyifatkan ia sebagai satu telahan yang tidak benar.

Kontroversi dan kemelut perkahwinan mereka yang tidak sampai usia tiga bulan menjadi semakin tegang apabila pelakon itu memfailkan permohonan cerai dengan talak atau dengan perintah atau lazim dirujuk sebagai Perceraian Cara Baik di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.

Kes sebutan pertama mereka berlangsung semalam.

Baca juga: Rupanya suami rasa lebih dihargai, dihormati apabila isteri buat-buat tak pandai

Jangan lupa follow kami di Instagram!