Seronoknya berbasikal atas awan dan buaian gergasi. Usahawan arnab di Sabah bijak upgrade tanah jadi tarikan pelancong
PADA asalnya, tanah berbukit seluas 5.6 hektar yang terletak di Kampung Kigiok, Ranau, Sabah terkenal sebagai pusat ternakan arnab comel yang diberi nama Ranau Bunny Farm.
Namun, pemiliknya, Wong Ko Siong mempelbagaikan lagi aktiviti di premisnya dengan menawarkan Mont K Skybike iaitu berbasikal di atas awan dengan pakej panorama Gunung Kinabalu yang mempesonakan.
Kontraktor berusia 57 tahun itu percaya, tanah keluarga yang terletak di kawasan cerun berkenaan mampu menjadi salah satu lokasi ekopelancongan terkemuka di Sabah dan mungkin negara suatu hari nanti.
Untuk itu, Ko Siong membelanjakan sebanyak RM500,000 untuk membina dua menara stesen untuk memuatkan dua laluan basikal.
Trek sepanjang 200 meter pergi dan balik merentasi dua kawasan cerun memang nampak mengujakan dan pasti melonjakkan adrenalin sesiapa ketika berada pada ketinggian lebih 30 meter dari tanah.
Soal keselamatan, tidak perlu terlalu bimbang kerana Mont K Skybike menyediakan tenaga kerja profesional yang mengawasi pergerakan pelancong.
Usahawan itu memberitahu, projek tersebut memakan masa yang lama sebelum dibuka sepenuhnya pada Mac 2021.
"Kami amat menitikberatkan keselamatan pengguna. Di samping itu, kami menggunakan perkakas bermutu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Tidak hanya berbasikal di atas awan, Ko Siong tidak mensia-siakan potensi tanah miliknya itu apabila menambah pakej baharu iaitu buaian gergasi.
Dengan menaikinya, keterujaan akan memuncak secara automatik apabila hayunan mencecah lebih 30 meter di kawasan lereng bukit.
“Bagi mereka yang mahu mencuba aktiviti baharu ini, waktu paling 'cantik' adalah pada waktu pagi kerana pemandangan gunung yang cantik tanpa diselaputi awan.
“Kami juga menyediakan pakej sewa baju untuk mereka yang mahu bergambar kenangan di atas awan sama ada ketika bermain buaian atau berada di puncak Ginipis 360 Darjah,” ujarnya.
Terlanjur berbual dengannya, Ko Siong ditanya bagaimana idea berbasikal di atas awan tercetus, lelaki itu tiada masalah untuk mendedahkannya.
"Saya dapat ilham itu ketika bercuti di Filipina. Di sana, terdapat satu tempat rekreasi berbasikal di atas awan yang cukup mengujakan saya kerana kemudahan itu boleh dinaiki semua orang tak kira umur.
“Jadi, saya mahu bawakan keunikan sama ke sini dan siapa sangka, ramai suka datang untuk uji keberanian mereka di sini,” katanya.
Kepada ibu bapa yang membawa anak-anak, anda tidak perlu risau kerana mereka tidak akan bosan melayan lebih 200 arnab jinak yang ditempatkan di kawasan ladang dihiasi dengan dekorasi payung berwarna pelangi.
“Kawasan ini juga dipenuhi dengan lebih 100 pokok buah-buahan tempatan. Antaranya pelbagai spesies durian, rambutan, pulasan, nangka dan banyak lagi.
“Kalau tiba musim buah nanti, saya akan buka jualan istimewa buat mereka yang mahu rasa buah segar dengan suasana nyaman di atas bukit,” katanya yang turut menyediakan sebuah kafe istimewa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang