Tengok lintasan tahi bintang & awan karpet gulung depan mata, ini tarikan hidden gems batu gergasi di Sik, Kedah
TIDUR beralaskan batu gergasi sambil menikmati panorama malam yang indah dengan pemandangan bintang di langit. Jika bertuah, anda boleh menyaksikan lintasan tahi bintang di depan mata!
Semua keistimewaan tersebut boleh disaksikan jika anda memilih untuk menginap di Rock Village yang terletak di Kampung Kura, Jeneri, Sik, Kedah.
Diusahakan oleh seorang usahawan, Ai Wut Ji Tahib atau mesra dipanggil Wut, beliau cukup gembira dengan sambutan yang diterima setakat ini.
Masakan tidak, meskipun masih dalam proses pembinaan, namun perkampungan atas bukit itu sudah dikunjungi ramai orang yang beriadah dan berkhemah di sana pada hujung minggu.
Melalui tinjauan di media sosial, ramai mengatakan Rock Village saling tidak tumpah dengan sebuah destinasi pelancongan di Chiang Mai, Thailand.
"Boleh dikatakan lokasi ekopelancongan ini masih baharu dan banyak lagi prasarana mahu dibangunkan. Namun, sambutan orang ramai sangat luar biasa.
“Inilah impian yang saya cuba realisasikan. Saya mahu mencipta sebuah tempat untuk berehat santai yang lain daripada lain.
“Itu sebab, bila kawan nak jual tanah yang dipenuhi dengan batu bukit, saya terus beli tanpa berfikir panjang," kata lelaki berketurunan Siam Malaysia itu.
Menurut Wut, lokasi berkenaan juga terdapat banyak batu besar yang secara kebetulan mirip kepala haiwan seperti jerung, kura-kura dan ikan.
Baginya, itu antara tarikan yang menarik di Rock Village.
Antara keunikan lain yang mendorong lelaki berkenaan berbelanja besar untuk mencantikkan lagi kawasan lereng bukit seluas 1.2 hektar itu adalah hamparan awan permaidani yang boleh dilihat dengan jelas.
Suasana pagi penuh berkabus dan 'berhawa dingin' juga menjadikan destinasi perkhemahan di puncak Bukit Perak tersebut sangat mempesonakan.
Pada waktu malam pula, orang ramai akan teruja melihat secara dekat kelip-kelip yang bercahaya muncul di tapak perkhemahan.
“Setakat ini, kami menyediakan enam unit tapak perkhemahan bentuk A yang berbumbungkan atap rumbia dan beralaskan papan, lengkap kemudahan beranda.
“Kesemua tapak yang disewa dengan kadar RM50 semalam itu dibina di lereng bukit berhadapan awan karpet.
“Jadi, pengunjung yang bermalam di tapak khemah masing-masing akan dapat melihat panorama indah penuh privasi,” katanya yang memiliki kolam mandi menggunakan sumber air bukit.
Tidak tertumpu kepada tapak khemah semata-mata, Wut juga sedang menyiapkan 10 buah chalet ala kampung bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin ramai.
Khas untuk liburan si cilik pula, pemilik kreatif itu juga dalam proses menyiapkan kolam renang tiga tingkat berkonsepkan mesra kanak-kanak, selain kawasan khas untuk tanaman padi bukit.
“Saya mahu mengembalikan semula hasil tanaman orang kampung yang kini dilihat sudah dipandang sepi. Hasil padi bukit itu nanti boleh dibawa pulang," ujar Wut.
Rock Village
- Alamat: Kampung Kura, Mukim Jeneri, Sik, Kedah
- Waktu operasi: 7 pagi hingga 12 malam
- Harga: RM30 (sewa khemah) dan RM50 (caj tapak)
- Facebook: Rock Village
- Instagram: Rockvillagekedah
- TikTok: Rockvillage.kedah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang