Sajian klasik zaman lampau, populariti Rumah Atap Kuning berusia hampir 100 tahun jadi tarikan di Kuala Kangsar, Perak
RUMAH Atap Kuning menjadi antara persinggahan semakin popular di Kuala Kangsar, Perak.
Pemiliknya, Zaida Mohamed Abdul Aziz berkata, dia sebenarnya sudah lama berhasrat untuk terus mempopularkan sajian warisan zaman berzaman di sebuah premis yang klasik.
Apabila cita-cita itu berjaya direalisasikan, Zaida mengubah sedikit konsep. Berbeza dengan tempat makan lain, pakej masakan tengah hari di tempatnya perlu ditempah terlebih dahulu oleh pelanggan.
Ini kerana menu yang ditawarkan di Rumah Atap Kuning merupakan sajian yang jarang-jarang dijumpai pada zaman sekarang.
"Mungkin ada makanan yang orang tak pernah dengar langsung, antaranya Rendang Pucuk Paku Tahi Minyak, Kerabu Keladi Lambok, Ayam Masak Mendaling, Ikan Talapia Bakar Sepuh dan Jangek Salai Masak Lemak Cili Padi," katanya ketika dihubungi.
Daripada semua masakan itu, akui usahawan berkenaan, Rendang Pucuk Paku Tahi Minyak sedikit sukar untuk dimasak kerana memakan masa lama untuk menghasilkan rasa diinginkan.
"Santan segar yang digunakan perlu direnehkan selama tiga jam sehingga menjadi minyak. Lebihan minyak itu nanti akan terus dimasak sehingga menjadi ketulan tahi minyak. Kemudian, barulah dicampur ke dalam rendang pucuk paku.
"Hidangan ini sesuai dimakan bersama sambal kuini, sambal belacan, sambal picit atau sambal gesek," katanya.
Beritahu Zaida, premis berkenaan hanya dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Menariknya lagi, pelanggan yang hadir akan diberikan kain pelekat dan batik bagi menyerlahkan aura, sekali gus mengembalikan nostalgia zaman silam.
"Sambil menjamu selera dan mendengarkan lagu lama yang diputarkan, orang ramai juga boleh lihat pemandangan Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah dari jauh termasuk kawasan sawah padi.
"Sebagai tanda kenangan, kami juga sediakan ruang khas untuk anda berswafoto,” katanya yang turut menyediakan labu sayong sebagai tanda ingatan.
Bercerita tentang teratak Melayu tradisional Perak berusia hampir 100 tahun itu, ia sebenarnya merupakan lokasi berehat keluarga Zaida pada hujung minggu.
"Saya tiada kampung halaman, bila dapat beli tanah seluas 0.2 hektar, ia bagaikan satu impian jadi kenyataan. Alhamdulillah, rezeki kami dapat bina rumah klasik daripada kayu kediaman lama yang berusia hampir satu abad.
"Kos baik pulih dan bina semula lebih kurang RM60,000 tapi hasilnya memang puas hati,” ujarnya.
Rumah Atap Kuning
Alamat: Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak
Waktu operasi: 11.30 pagi hingga 2.30 petang
Menu signatur: Rendang Pucuk Paku Tahi Minyak & Ayam Masak Mendaling
Facebook: Rumah Atap Kuning
Instagram: @rumahatapkuning
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang