Nikmati omasake eksklusif di ruang pop up rahsia, ini kelainan The Hidden Plate buat penggemar masakan Jepun
MEMANG lain daripada lain. Keunikan The Hidden Plate yang pertama kali diperkenalkan Grand Hyatt Kuala Lumpur memang wajib dicuba buat penggemar masakan Jepun.
Menawarkan pengalaman omasake eksklusif buat pengunjung, menu yang ditawarkan juga mendapat kerjasama Sushi Azabu, restoran Jepun berprestij dengan penarafan Bintang Michelin.
Nampaknya bukan kaleng-kaleng sajian makan malam di ruang pop up rahsia di tingkat 5 hotel itu sendiri, selain dikelilingi tanaman hidroponik Cultiveat iaitu jenama pertama menawarkan pertanian mampan di Malaysia.
Grand Hyatt Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu, cef pakar Sushi Azabu akan dibawa masuk untuk masa terhad bagi menyusun setiap hidangan dengan teliti.
“Ia sekali gus menterjemahkan sajian sebagai karya seni yang mampu memikat semua pancaindera pengunjung melalui gabungan tradisi kulinari Jepun dengan bahan lokal inovatif.
“Bukan itu saja, pengalaman omakase ini menawarkan suasana mewah dan eksklusif sambil menyaksikan pemandangan menakjubkan Menara Berkembar Petronas ketika matahari terbenam,” katanya.
Apa yang menarik tentang The Hidden Plate?
Sesi kulinari eksklusif hanya terhad untuk lapan tetamu saja setiap malam, seterusnya memberikan pengalaman tiada tandingan.
Jika kalian mahu membuat tempahan, ia hanya diadakan empat hari saja dalam tempoh seminggu iaitu Rabu hingga Sabtu manakala sesi makan malam private boleh disediakan atas permintaan khas.
Antara menu yang ditawarkan seperti hand-rolled tuna cincang. Pengalaman gastronomi itu dipertingkatkan dengan herba segar yang ditanam sendiri.
Pilihan sashimi bermusim, seleksi sushi daripada pelbagai jenis ikan berharga, chawanmushi, sup miso dan genmaicha sebelum menikmati pencuci mulut berupa kek keju matcha eksklusif Grand Hyatt Kuala Lumpur x Sushi Azabu.
Tetamu boleh membeli baucar dengan harga RM600 nett setiap orang.
Untuk maklumat lanjut tentang pengalaman makan malam Omakase eksklusif di Grand Hyatt Kuala Lumpur, sila layari https://www.hyatt.com/grand-hyatt/en-US/kuagh-grand-hyatt-kuala-lumpur.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang