Cari destinasi baharu? Palembang kini lebih dekat dengan Batik Air
BATIK Air terus mengorak langkah melebarkan sayapnya di rantau Asia Tenggara apabila mengumumkan pembukaan laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Palembang bermula 12 September 2025.
Dengan pelancaran laluan baharu ini, hubungan udara antara Malaysia dan Indonesia semakin kukuh, sekali gus memperkukuh peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk utama bukan sahaja untuk pelancong antarabangsa, malah juga destinasi Umrah.
Palembang yang merupakan ibu kota Sumatera Selatan bukanlah destinasi biasa. Bandar ini antara yang tertua di Asia Tenggara dan pernah menjadi pusat kegemilangan Empayar Srivijaya.

Kaya dengan sejarah, budaya dan tradisi, Palembang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik dan memikat hati, sesuai untuk penggemar budaya mahupun mereka yang mencari percutian singkat bersama keluarga atau rakan-rakan.
Antara tarikan utama yang sering menjadi bualan ialah Jambatan Ampera yang menjadi simbol kebanggaan warga kota, pasar terapung di Sungai Musi yang cukup mempesona, tenunan songket tradisional yang sarat nilai seni warisan, selain sajian pempek, kek ikan khas Palembang yang cukup popular dalam kalangan pelancong.
Apa yang menjadikan Palembang lebih istimewa ialah statusnya sebagai destinasi dua dalam satu. Selain kaya dengan nilai sejarah dan budaya, kota ini juga pesat berkembang sebagai pusat industri dan ekonomi, menjadikannya tumpuan menarik bukan sahaja untuk pelancong, malah juga bagi mereka yang mempunyai urusan perniagaan.

DESTINASI WAJIB
Laluan Kuala Lumpur – Palembang ini akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang menawarkan kabin Kelas Ekonomi dan Kelas Perniagaan. Sama ada anda mencari keselesaan premium atau sekadar perjalanan santai bajet sederhana, Batik Air menyediakan pilihan yang sesuai dengan gaya perjalanan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Indonesia terus menjadi pasaran yang kukuh buat syarikat penerbangan itu dan pihaknya gembira dapat memasukkan Palembang ke dalam rangkaian yang semakin berkembang.
"Laluan baharu ini mencerminkan usaha berterusan Batik Air untuk menghubungkan lebih banyak bandar di kepulauan Indonesia secara terus ke Kuala Lumpur, sekali gus menawarkan lebih fleksibiliti, kemudahan serta akses ke destinasi global.

"Perkembangan KLIA sebagai hab utama Umrah dan penerbangan antarabangsa memberi nilai tambah besar, dan Batik Air berbangga dapat menyokong pertumbuhan ini dengan menambah lebih banyak pintu masuk strategik seperti Palembang ke dalam rangkaiannya," ujarnya lagi.
Dengan pembukaan laluan terus Kuala Lumpur – Palembang yang bakal bermula September ini, rakyat Malaysia kini mempunyai lebih banyak pilihan destinasi untuk diterokai, sama ada bagi tujuan santai, budaya mahupun bisnes.

Jadi, kalau anda masih mencari lokasi percutian akan datang, mungkin sudah tiba masanya untuk meletakkan Palembang dalam senarai destinasi wajib kunjung anda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

