Cuti sekolah gaya bajet, Ini 5 spot mandi-manda yang best untuk anak-anak
Cuti sekolah dah makin dekat! Tak perlu pening kepala fikir nak bawa keluarga bercuti ke mana. Malaysia ada banyak lokasi menarik yang boleh beri pengalaman percutian seronok tanpa perlu ke luar negara.
Kali ini, kami senaraikan lima destinasi percutian taman tema air dan resort yang pasti buat anak-anak dan anda tersenyum lebar.
Jom semak senarai ini dan rancang percutian keluarga anda sekarang!
1. Holiday Villa Cherating
Santai dan mendamaikan, resort bertaraf empat bintang ini menawarkan kolam renang besar serta mini taman tema air yang pasti memikat hati anak-anak. Dah puas main air, boleh ke pantai yang hanya beberapa langkah dari resort untuk bina istana pasir atau cuba aktiviti ATV. Harga? Bermula dari RM210 satu malam. Cukup berbaloi untuk percutian mesra keluarga!
2. Resorts World Kijal, Terengganu
Resort ini ibarat "harta karun" di Kemaman! Walaupun berusia, penambahbaikan yang dilakukan menjadikannya seperti baru. Nikmati kolam renang luas, taman permainan untuk si kecil, dan pemandangan Laut China Selatan dari bilik. Tambah lagi, pantai cuma beberapa langkah dari sini. Harga bermula dari RM275 semalam, cukup berpatutan untuk lokasi seindah ini.
3. Dash Box Hotel, Cyberjaya
Siapa kata di bandar tak boleh berseronok? Dash Box Hotel ada mini taman tema air yang pasti buat anak-anak teruja. Gelongsor air mereka memang padu! Lokasi pun strategik – dekat dengan Putrajaya di mana anda boleh naik cruise malam-malam sambil menikmati panorama jambatan bercahaya. Paling best, harga bermula hanya RM145 semalam. Murah dan menyeronokkan!
4. Lotus Desaru Beach Resort
Taman tema air mini dan pantai indah – kombinasi yang memikat! Resort ini ada bilik biasa dan apartment sesuai untuk keluarga besar. Nikmati sarapan dengan pemandangan laut, dan pastikan anak-anak mandi sepuas hati. Dengan harga bermula RM220 semalam, ia pilihan ideal untuk cuti keluarga.
5. Bayview Beach Resort, Batu Feringhi, Pulau Pinang
Resort ini tak pernah sunyi dari kunjungan pengunjung, terutama ketika cuti sekolah. Kolam renang luas, kelab permainan kanak-kanak, dan akses mudah ke pantai menjadikannya pilihan utama. Malam pula, boleh jalan-jalan di pasar malam Batu Feringhi untuk cari cenderahati atau makan malam. Harga bermula dari RM250 semalam – cukup mesra poket!
Rancang percutian anda sekarang sebelum bilik habis ditempah. Percutian tak semestinya mahal, yang penting dapat habiskan masa bersama keluarga tercinta. Selamat bercuti dan semoga kenangan indah tercipta!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang