5 kes jenayah paling kejam, menyayat hati sepanjang 2021

A
A
A

APABILA nafsu bermaharajalela, manusia sanggup melakukan apa sahaja. Pelbagai kes jenayah  berlaku sepanjang tahun ini yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.

Tidak kurang juga kes yang terlalu kejam hingga tidak dapat dicapai oleh akal yang waras.

Dalam pada kita diuji penularan Covid-19 dan seluruh negara melalui fasa perintah kawalan pergerakan, jenayah terus berlaku di luar dugaan.

Justeru, mari kita imbas kembali enam kes jenayah yang menggemparkan negara sepanjang tahun 2021 ini. Perkara yang baik jadikan teladan, kalau ia jahat, jadikan sempadan dan pengajaran.

JANUARI 2021

Kes dera dan bunuh kanak-kanak dalam tong air biru

 

Kematian mangsa dilaporkan bapa tirinya kepada pihak polis dengan mendakwa seorang kanak kanak meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air.

Namun ia akhirnya membongkar kisah sepasang suami isteri yang dipercayai membunuh anak mereka yang berusia tujuh tahun, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek.

Kanak-kanak lelaki itu didakwa lemas dalam dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter oleh suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Pemeriksaan fizikal serta hasil bedah siasat bagaimanapun mendapati, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri kepada mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun boleh dihukum mati.

Pasangan berkenaan turut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM20,000 atau kedua-duanya.

MAC 2021

Tergamaknya suami tembak isteri, sumbat dalam tong

Seorang lelaki berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor

Mayat wanita itu ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar.

Ia dilakukan dipercayai kerana bermotifkan cemburu. Selain itu polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu sebelum mangsa keluar rumah.

Bagaimanapun, akhirnya suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.

Mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ia dibawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ.

Maklumat jiran membantu merungkai pembunuhan wanita berkenaan dengan memberi maklumat mengesyaki wanita yang dikatakan hilang itu berada dalam tong air ketika membantu suspek mengangkat tong terbabit ke kenderaan pacuan empat roda.

Malah jiran itu turut memberitahu tong berkenaan agak berat selain mengeluarkan bau busuk.

22 APRIL 2021

Jijik! Bapa dan tiga anak lelaki perkosa dan liwat oleh anak perempuan

Remaja berumur 18 tahun dari Tanjung Minyak, Melaka menjadi mangsa perbuatan rogol dan liwat bapa serta tiga abang kandung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa  diberikan minuman yang dicampur dengan bahan disyaki dadah sebelum diperkosa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah antara 1 Mac tahun lalu hingga 1 Februari 2021.

Mangsa diperlakukan begitu oleh abang-abangnya pada waktu siang manakala pada sebelah malam, manakala pada sebelah malam bapa berhati iblis pula yang merogolnya.

Bapa yang berusia 51 tahun itu berdepan 35 pertuduhan iaitu 33 pertuduhan merogol dan dua pertuduhan mencabul serta memukul mangsa.

Tiga lagi tertuduh yang positif dadah jenis Methamphetamine berusia 23, 27 dan 29 tahun pula didakwa atas 17 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat.

Baca juga: Setahun dirogol, liwat, akhirnya bapa dan 3 abang dicekup. Derita remaja perempuan berakhir

MEI 2021

Suami pukul isteri hamil hingga koma

Seorang lelaki didakwa memukul isteri hamil hingga koma dihadap ke mahkamah pada 4 Mei 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan isteri keduanya, Jahidah Nordin dengan memukul bahagian kepala, muka dan tangan.

Ini termasuklah, menghentak kaki pada belakang badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dan koma.

Apa yang mengejutkan, disangkakan dua rupa-rupanya lelaki terbabit mempunyai empat orang isteri dan tujuh orang anak.

Wanita berkenaan menjadi perhatian ramai selepas selamat lahir bayi lelaki dalam keadaan koma menerusi pembedahan.

Baca juga: Wanita Hamil Koma Dipukul Suami Selamat Lahirkan Bayi Lelaki, Ramai Doakan Keajaiban

JULAI 2021

#Justiceforbella tuntut keadilan remaja sindrom Down, disyaki didera tangan, dada melecur

Kes penderaan membabitkan seorang gadis kelainan upaya (OKU) dikenali adik Bella turut menjadi bualan ramai.

Kisah yang menyentuh hati itu menjadi perhatian rakyat Malaysia yang mana rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella sehingga mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di laman sosial.

Video memaparkan kanak-kanak itu cedera meraih perhatian ramai. Luka lecur yang dialami kanak-kanak itu tidak dapat disorok lagi.

Susulan itu, rumah penjagaan itu dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai.

Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) untuk adik Bella menghantar satu memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan sokongan Seri Paduka Baginda meminta pihak berkuasa menambahkan pertuduhan ke atas pihak terlibat dalam kes tersebut.


Kes-kes jenayah ini wajar dijadikan pengajaran buat kita semua agar sentiasa mengawal diri dalam apa jua situasi.

Usah diikutkan nafsu semata-mata sebaliknya bertindaklah dengan pemkiran yang waras.

Seperti kata cendekiawan Arab, Ahmad Shauqi Bey, "sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.

Jom follow Sinarplus di Instagram! 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca