BULAN Zulhijah penuh kelebihan bulan Zulhijah yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan ketakwaan dan pahala. Apatah lagi bagi bergelar duyufurrahman yang mengerjakan ibadah haji, peluang ini digunakan sebaiknya.

Berikut adalah kerabat dan selebriti yang bertolak ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Semoga beroleh haji yang mabrur!

Baca juga: Manfaatkan hari-hari istimewa bulan Zulhijah, waktu terbaik kumpul pahala, 5 perkara wanita perlu tahu

1-Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Pemangku Raja Pahang 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun bersamaan 2 Zulhijah untuk menunaikan ibadah haji.

Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum berangkat,Yang di-Pertuan Agong juga sempat berpesan kepada Perdana Menteri untuk menjaga negara.

Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai.

Baca juga: 6 amalan yang digalakkan pada 10 hari terawal Zulhijah

2-Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin serta rombongan dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 4 Julai ini.

3. Alif Satar dan isteri

Penyanyi, pelakon dan usahawan, Alif Satar dan isteri, Shadila Halid turut dikurniakan rezeki menyempurnakan tuntutan rukun Islam kelima.

Alif Satar yang bertolak pada 21 Jun bersamaan 2 Zulhijah menyifatkan undangan ke rumah ALLAH itu bagaikan rahmat yang terlalu agung buatnya.

Tidak berputus asa berdoa agar dijemput menunaikan haji sejak enam tahun lalu, Alif bersyukur ia akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini, setiap hari dan setiap masa sejak tahun 2017 Alif memanjat doa kepada ALLAH agar mengundang Alif dan isteri untuk menunaikan haji.

“Setiap tahun, Alif sentiasa mengharapkan undangan itu diberikan.

“Alhamdulillah, doa Alif telah diangkat oleh ALLAH. Sukar digambarkan perasaan gembira yang bukan kepalang. Terima kasih ALLAH, terima kasih yang tidak terhingga kerana doa Alif dimakbulkan,” katanya.

4-Datuk K

Suami kepada penyanyi nombor satu, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai DatuK K bertolak mengerjakan ibadah haji.

Siti memuat naik video memaparkan yang memaparkan Datuk K bersalaman dan memeluk anak-anak dan mendoakan kelancaran perjalanan haji suaminya itu.

“Ya ALLAH kurniakanlah Haji yang Mabrur buat suamiku.

“Makbulkan segala doanya dan beri perlindungan serta kelancaran sepanjang perjalanannya menunaikan ibadah Haji. Aamiin Ya Rabb.” titip Siti di Instagram.

5. Ustaz Elyas Ismail

Pendakwah selebriti, Ustaz Elyas Ismail juga berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.

Bertolak pada 20 Jun 2023 bersamaan 1 Zulhijah 1444H, bapa kepada empat cahaya mata itu menitipkan doa buat warganet.

 

“Semoga diri ini beroleh Haji yang Mabrur, aamiin Ya ALLAH. Salam Zulhijah buat semua.

“Saya mendoakan moga sahabat-sahabat berpeluang menjadi tetamu ALLAH laksanakan Haji satu hari nanti.

 

“Rindu kepada Tanah Suci takkan pernah berpenghujung walau berkali kali kita pergi.

“Ya ALLAH rahmatilah sahabat-sahabatku dan kurniakan rezeki ke Tanah Suci nanti, amin.” titipnya.

Baca juga: Didik anak-anak melalui teladan, ibu bapa kena tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak…

6-Aliff Syukri

Usahawan Datuk Aliff Syukri juga turut menunaikan ibadah haji pada tahun ini bersama anak sulung, Ammar Ahyan, ibu, Rozita Ibrahim dan ibu bapa mentua.

Berharap perjalanan mengerjakan ibadah di Tanah Suci dipermudahkan, Aliff mengakui ia lahir adalah daripada gerak hatinya sendiri tanpa sebarang paksaan.

“Ya ALLAH permudahkanlah perjalanan hamba-MU ini untuk menunaikan haji.

Iklan

“Alhamdulillah setelah hampir 15 tahun barulah hati saya terbuka untuk menunaikan haji dengan kerelaan diri sendiri tanpa paksaan.

“Doakan dengan langkah ini saya menjadi seorang yang lebih baik, berguna kepada ibu bapa keluarga dan juga sahabat, aamin ya rabbal alamin,” kongsinya.

6 AMALAN 10 HARI PERTAMA ZULHIJAH

Istimewa Zulhijah sehingga dinyatakan bahawa jika keluar berjihad ke jalan ALLAH sekalipun masih tidak dapat menandingi pahala beribadah pada 10 hari terawal bulan ini.

Beruntung bagi yang memanfaatkan peluang untuk rebut ganjaran yang dijanjikan.

Berikut adalah enam amalan yang digalakkan:

1. Zikir

Memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illallah dan Allahu Akbar sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani.

Firman ALLAH SWT: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu..” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Ketika menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’, Ibn Abbas RA berkata, ia adalah 10 hari Zulhijah dan inilah juga pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa

Umat Islam amat digalakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah bagi orang yang tidak menunaikan haji.

Ketahuilah, Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah merupakan hari yang terbaik untuk kita berpuasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Iklan

Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah itu, baginda SAW menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan-amalan lain

Memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Semua amalan berkenaan termasuk dalam hadis umum yang menunjukkan perbuatan melazimkannya amat disukai oleh ALLAH SWT.

4. Menjauhi maksiat

Andai kita pernah berbuat salah dan dosa, inilah masa terbaik untuk memulakan taubat, terutama bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhkan perbuatan mulia itu.

Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang amat agung di sisi ALLAH SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sedarilah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara. Segala keseronokan yang ada di muka bumi hanyalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir

Ibn Abi Shaibah menyebut, ‘Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.

6. Berkorban

Ia merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam yang berkemampuan. Hukumnya adalah sunat muakkad.

Firman ALLAH SWT: “Sesiapa yang membesarkan syiar ALLAH (berkorban), maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh ALLAH SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi