Abang Ail sakit radang usus, si kakak derita ketumbuhan pada saluran darah. Ibu ini mohon simpati masyarakat

SETIAP manusia ada jalan ceritanya. Namun, apa yang dilalui oleh seorang wanita, Fatinfilza Kamarudin, 33, cukup memilukan.

Memiliki anak yang menghidap penyakit radang usus kronik atau Crohn membuatkan sedikit sebanyak wanita itu hilang semangat.

Cerita Fatinfilza, anak kesayangannya, Muhammad Mikhail atau mesra disapa Abang Ail yang berusia sembilan tahun mengalami gejala muntah yang berterusan sehingga si kecil itu hilang selera makan dan asyik demam.

Abang Ail juga berdepan dengan masalah cirit-birit dengan najis berdarah. Ia pernah berlaku 20 kali dalam sehari sehingga menyebabkan berat badannya susut mendadak.

Dengan nada sebak, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, paling membuatkan dirinya sedih, penyakit tersebut diberitakan tiada penawar dan ia boleh meragut nyawa pada bila-bila masa.

abang ail sakit usus kronik

“Siapa sangka, gejala yang pada awalnya dianggap biasa-biasa rupa-rupanya satu petanda buruk. Sebelum ini, memang Abang Ail jarang sekali demam. Kalau sakit perut atau cirit-birit sekali pun memang kami akan minta ubat doktor di klinik sahaja.

“Cuma bila dia sakit teruk masa umur enam tahun sampaikan buang air besar berdarah, saya terdetik untuk membawanya ke hospital,“ katanya yang tinggal di rumah sewa di Kampung Jelatang, Alor Gajah, Melaka.

Baca juga Anak lumpuh, suami strok. Zawani dah tak fikir soal makan sedap ketika berbuka, kesihatan keluarga lebih utama

Ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah hospital, wanita berkenaan masih belum menemui jawapan kepada permasalahan anak kesayangannya.

abang ail sakit usus kronik

Kemudian, Fatinfilza membawa Abang Ail mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hasil ujian kolonoskopi yang dijalankan menunjukkan ususnya sudah bengkak dan berdarah, selain dinding abdomen penuh luka dan mempunyai keradangan.

Lebih membimbangkan, kondisi kritikal itu telah menjejaskan organ dalaman yang lain. Antaranya memberi impak teruk kepada buah pinggang.

“Saya kasihan melihat nasib Abang Ail yang memang akan menanggung sakit seumur hidupnya.

 

“Sekarang ini, dia hanya bergantung dengan ubat untuk mengurangkan tahap keradangan. Kadang-kadang bila sakitnya datang, memang berhari-hari dia tak lalu makan,“ luahnya.

Kekangan

Tidak hanya Abang Ail, adiknya, Nur Mardhiyah yang kini berusia dua tahun turut berpenyakit. Si comel itu mengalami ketumbuhan saluran darah pada bahagian punggung.

“Lebihan isi lembut bahagian tersebut sering berdarah jika Nur Mardhiyah mengalami sembelit. Keadaan tersebut juga membuatkannya tidak selesa lebih-lebih lagi ketika memakai lampin pakai buang.

Baca juga Patah tulang lebih 50 kali. Adik Khayla perlu dana besar untuk pembedahan

abang ail sakit usus kronik

Iklan

“Pun begitu, sekarang ini saya perlu fokus dulu keperluan Abang Ail kerana dia memerlukan rawatan berterusan termasuklah berulang-alik ke HKL,“ kata suri hati kepada Ridzuan Mohd Isa, 37.

Ketika kami berbual, Fatinfilza memberitahu, pada setiap hari beliau sentiasa dihantui rasa khuatir apabila memikirkan kos perbelanjaan dua permata kesayangannya.

Mana mungkin dengan bergantung kepada untung jualan makanan kecil-kecilan dari rumah dan suaminya yang menjadi penghantar makanan dapat menampung kos rawatan serta ubatan mencecah ribuan ringgit.

“Kalau ada tempahan makanan, kami terima dengan penuh kesyukuran kerana bolehlah bernafas untuk menanggung keperluan keluarga. Cuma bila perlu ke hospital dengan lebih kerap, kami akan hilang punca pencarian.

abang ail sakit usus kronik

“Itu belum kes orang tempah tak bayar dan sebagainya. Itulah ujian yang kami pikul demi memastikan anak-anak dapat makan dan menerima rawatan sepatutnya,“ ungkapnya.

Paling menyedihkan, wanita berkenaan memberitahu, keluarganya tidak mampu membeli susu khas buat Abang Ail disebabkan harga yang terlalu mahal.

“Sebenarnya, susu itu sangat diperlukan untuk kegunaan harian kerana boleh membantu merehatkan usus supaya tidak bekerja keras.

“Namun, disebabkan masih menanggung anak lain yang masih kecil, soal pembelian (susu) saya terpaksa ketepikan,“ katanya yang memohon jasa baik orang orang ramai untuk memberi sumbangan kepada mereka sekeluarga.

Iklan

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

abang ail sakit usus kronik

Ujar wanita itu yang mengetepikan perasaan malu, beliau tidak mempedulikan dirinya, tetapi bantuan daripada masyarakat amat didambakan demi kesihatan dua anak beliau.

“Kalau ikutkan, saya segan untuk meminta-minta, tetapi demi Abang Ail dan adiknya, saya terpaksa lakukannya. Saya sangat berharap keperluan Abang Ail dapat dipenuhi dan rawatan adiknya yang masih tertangguh dapat diteruskan,“ katanya.

Kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sumbangan dana kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0410241100025126 atas nama Fatinfilza Binti Kamarudin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi