KEBERANIAN wanita hebat bernama Staf Sarjan Saidatul Husna Kamarudin, 35, melakukan aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya baru-baru ini tular.

Aksinya yang dipancarkan secara langsung menerusi pelbagai saluran media menggamatkan suasana dan memukau jutaan penonton.

Berkecimpung selama 15 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia, anggota tentera Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang, Setapak itu mengakui agak gugup memandangkan keadaan dataran ketika itu dipenuhi orang ramai.

Namun ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dirinya bersama rakan pasukan nekad untuk melakukan aksi terbaik ketika itu.

“Perasaan saya ketika itu agak gemuruh memandangkan ramai penonton, itu bagi saya salah satu cabaran, bagaimanapun saya nekad, mahu atau tidak perlu tempuhinya.

“Berbekalkan doa dan semangat, saya kuatkan hati dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH agar tugasan untuk melakukan aksi tersebut berjalan lancar.

“Alhamdulillah saya berjaya lakukannya,” katanya

Baca juga: Pernah retak tulang pipi, patah tulang bahu dan tangan. Dulu gadis litar, Yulina Tan kini pelumba superbike

Baca juga: Inspirasi! Leftenan Dr Ruth srikandi ATM bergelar IRONMAN termuda, ungguli sukan lasak triathlon

ISTIMEWA PADA HARI LAHIR

Melakukan aksi lompatan disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pimpinan negara adalah momen bersejarah buat Saidatul Husna.

Katanya sepanjang 13 tahun penglibatan dalam pasukan akrobatik, ini berpeluang membuat persembahan di hadapan pasangan diraja.

“Lebih bermakna, tarikh keramat ini turut merupakan hari kelahiran saya, ia sesuatu yang tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan,” katanya.

PERNAH CEDERA HINGGA DIBEDAH

Menerusi temuramah bersama stesen radio Era, Saidatul Husna menceritakan pernah mengalami kecederaan selepas terjatuh semasa melakukan aksi akrobatik.

“Pada tahun 2012, saya pernah terjatuh ketika menjalani sesi latihan dan lutut kiri ini pernah dibedah,” ujarnya.

Susulan kecederaan yang dialami, wanita ini pernah hampir putus harapan. Selepas membuat pembedahan kecil, doktor menasihatkan agar beliau berehat buat seketika daripada bidang diminati.

“Semangat saya ketika itu hampir saja jatuh, namun atas sokongan dari keluarga dan rakan-rakan, saya nekad untuk bangun semula dan berazam untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Bagaimanapun cabaran itu langsung tidak melunturkan semangat anak kelahiran Sungai Petani ini bangkit mencipta nama melalui persembahan aksi lasak.

Baca juga: Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul. Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya ‘tawan’ puncak KLCC

TEMPA NAMA MALAYSIA BOOK OF RECORD

Kejayaan demi kejayaan ditempa Saidatul Husna sepanjang pembabitannya ahli akrobatik bermotosikal.

Antaranya ialah adalah pernah mencipta rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) ketika persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan sekali gus mencatat nama di dalam Malaysia Books of Record (MBOR).

“Itu antara kenangan terindah yang saya lakarkan dan nekad untuk melakukan yang terbaik di kemudian hari nanti,” katanya.

Baca juga: Powernya! Hamil 28 minggu, wanita ungguli sukan lasak berhalangan raih perhatian warganet

AMAL DOA NAIK KENDERAAN, MOHON KEKUATAN ALLAH

Melakukan aktiviti lasak dan berisiko tidak menggentarkan wanita kecil molek ini.

Bagi Saidatul Husna, kekuatan dirinya setiap kali melakukan persembahan adalah memohon kekuatan daripada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan.

Iklan

“Petua yang sering saya amalkan adalah dengan membaca doa naik kenderaan sepanjang beraksi, dari situlah saya peroleh kekuatan.

“Selain itu, saya dan rakan sepasukan juga akan memberikan semangat antara satu sama lain dan dalam masa sama berserah kepada ALLAH agar setiap aksi dilakukan dipermudah,” katanya.

Iron lady ini mengatakan segalanya tidak mustahil untuk dilakukan andai mempunyai tekad yang kuat selain sokongan daripada keluarga dan rakan.

Baca juga: Wanita hebat, Iman Asri terpilih Syahadah Ula al-Fateh, lulus semakan 30 juzuk dalam 17 jam, 5 info mengenainya

“Apa yang saya lakukan ini jelas membuktikan wanita juga tidak mustahil untuk melakukan pelbagai aksi sebagaimana lelaki, ini yang mahu saya buktikan kepada semua wanita di luar sana.

“Selain itu, doa serta sokongan suami, bapa dan adik-beradik adalah sumber kekuatan saya.

“Tanpa mereka siapalah saya pada hari ini,” katanya

Aksi mengagumkan Saidatul Husna meraih perhatian warga maya. Ujar mereka:

– “Tahniah sarjan, kebanggaan Malaysia.”

Iklan

– “Tangan yang mendukung bayi ini telah mengejutkan warga Malaysia dengan aksi lompatan hebat. Akak bertudung labuh saya suka sangat.”

– “Awak wanita hebat jadi inspirasi, semoga terus berjaya.”

– “Berulang kali saya tonton, kagum dengan lompatan. Semoga selamat dan terus berjaya.”

– “Tahniah Puan, wanita yang hebat. Semoga dalam lindungan ALLAH sentiasa.”

– “Tangan yang menghayun buaian, mampu mengoncang dunia sangat tepat dengan awak sis.”

Baca juga: Suka kerja lasak, ini cerita ibu gadis tular angkat kelapa sawit

Sumber: Era.je, TikTok saidatul1989

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!