SETIAP nyawa itu berharga. Namun siapa menyangka hanya kerana wang RM4 nyawa seorang kanak-kanak hilang di tangan senior.

Tidak dapat membayangkan kejadian, sekuat mana kudrat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun untuk menghadapi kekerasan dilakukan terhadapnya.

Mangsa maut dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh remaja berusia 16 tahun dalam kejadian yang didakwa berpunca akibat wang RM4.

Menurut Bernama, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim dan asnaf di Kuantan, Pahang.

Baca juga: 90 tekapan seterika, rusuk patah, rajah laporan bedah siasat Zulfarhan runtun hati rakyat Malaysia

Kejadian pilu menjelang Ramadan itu mendapat perhatian ramai dan tular di laman sosial. Warga maya rata-rata bersimpati dan berharap kitaran keganasan di institusi melibatkan generasi muda dapat dikawal.

-“Institusi yang ada asrama atau pondok menginap wajar buat setiap tahun adakan kempen kesedaran dan pendedahan tentang gejala ni. Jika boleh libatkan pihak penguatkuasa sama ada polis, badan bukan kerajaan yang boleh terapkan pemahaman kepada remaja. Kes yang lepas mungkin dalam ingatan orang lama, bukan kepada generasi baru yang terdedah.”

-“Allahuakbar kerana RM4 dicekik.”

-“Zaman sekarang kanak-kanak bawah umur pun boleh bertindak ganas, cara mereka di didik kena di ubah.”

-“Bukan mudah menjaga anak remaja yang belum matang. Bukan semua jadi yatim kerana kematian ibu bapa dan tidak semua penghuni rumah kebajikan adalah anak yatim, ramai juga anak asnaf. Pengaruh persekitaran membentuk karakter dan jiwa yang kasar dan sukar bertoleransi.  Mereka perlu ditarbiah anak-anak supaya hidup berbudi dan berakhlak baik, hormat menghormati, bantu membantu dan bertoleransi. Kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak. Kita sebagai masyarakat wajib menyokong supaya mampu melaksanakan program yang baik untuk generasi muda dan warga emas. Bukan sekadar menjadi rumah tumpangan.”

KRONOLOGI KEJADIAN

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu mendedahkan kronologi kejadian yang meragut nyawa kanak-kanak berkenaan:

-Ketika kejadian, difahamkan suspek dan mangsa bersama enam lagi penghuni di situ membersihkan surau.

-Mangsa didakwa diusung oleh tiga penghuni ke rumah penyelia asrama, yang terletak kira-kira 50 meter dari surau itu pada pukul 4.15 petang.

Iklan

-Mangsa ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan penyelia terlibat pada awalnya menjangka mangsa terkena sawan atau kancing gigi.

-Penyelia terlibat terus membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di wad kecemasan.

– Siasatan awal melibatkan saksi kejadian mendakwa suspek telah menegur mangsa yang disyaki mengambil wang RM4 miliknya namun teguran itu tidak diendahkan menyebabkan suspek tidak berpuas hati.

-Remaja itu didakwa menjadi punca suspek mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan dia.

Iklan

-Suspek kini direman sehingga 27 Mac, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kematian tragis ini amat menyentuh hati. Semoga kebenaran kes ini dirungkai. SinarPlus mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Baca juga: Ramai bengang aksi buli pelajar asrama, perut mangsa jadi ‘punching bag’

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI