‘BALIKLAH Kak Ngah….’-Demikian luahan Nur Wahida Zailan, 25, selepas adiknya, Nur Hafizah Zailan, 23, dihanyutkan arus ketika melalui sebuah jambatan gantung untuk menyeberangi sungai di Kampung Aur, Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

Perit kehilangan orang tersayang tetapi lebih parah apabila jasadnya tiada di depan mata. Video meruntun hati bapa mereka, Zailan Abu Mani, 49, menunggu di lokasi pencarian meruntun hati warga maya hingga menerima 1.4 juta tontonan di platform media sosial.

Media melaporkan kejadian menimpa Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli, Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) itu berlaku pada 3 Mac lalu apabila dia dan bapa saudaranya pulang ke rumah untuk mengambil kucing peliharaan kira-kira jam 4 pagi. Perjalanan pulang ke rumah memerlukan mereka melalui sebuah jambatan gantung.

Baca juga: Kronologi wanita terperangkap banjir, siap sedia paut dahan kelapa sawit, lakukan 10 perkara ini jika terjadi

Nur Hafizah yang merupakan guru Al-Quran mempunyai personaliti yang disenangi orang sekeliling.

“Masa tu adik nak ambil kucingnya. Kami sudah pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada pukul 12 tengah malam,” jelas kakak sulung, Nur Wahida.

Cuaca yang ketika itu gelap dan tanpa disedari air deras sudah melimpah ke atas jambatan menyebabkan Nur Hafizah jatuh ke dalam sungai dan dibawa arus.

Kredit foto: TV9

“Pada mula-mula jambatan jatuh, mangsa masih berada di jambatan. Apabila dibadai ombak kedua mereka berdua terus hilang.

“Pakciknya berjaya melonjak timbul lebih kurang 20 meter dari jambatan,” jelas saksi.

Lima hari berlalu, pelbagai usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat dan orang kampung biarpun menghadapi kekangan cuaca.

Baca juga: Bapa kaku lihat jasad anak 3 tahun lemas, ditemui lepas solat hajat, ini kronologi kejadian

GURU AL-QURAN

Menerusi hantaran di laman sosial, Nur Wahida meluahkan rasa kehilangan adik tersayang.

“Balik la dik, baliklah dalam keadaan apa pun. Awak dah lama sangat kat air tu, muncul lah walaupun kami tahu harapan Kak Ngah balik dengan sempurna (bernyawa) sangat sukar,” titipnya.

Nor Hafizah pergi sekelip mata menyebabkan kerinduan menebal di hati kakak. Sementelah mereka berdua sangat akrab, kehilangan Nur Hafizah yang turut dipanggil Adik Pijah atau Kak Ngah amat dirasai.

“Banyak kenangan kami bersama. Saya selalu pergi mana-mana dengannya. Paling yang tak dilupai selalu tolong dia memasak. Hafizah rajin memasak.

“Dia seorang penghibur. Adik sentiasa senyum, disenangi orang sekeliling dan dia juga seorang guru mengaji di kampung.

“Harapan saya semoga dia cepat dijumpai agar dapat kami sempurnakan jasad dengan segera,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

AZAN, SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN

Mereka sekeluarga yang masih berada di PPS Kampung Aur, Muadzam Shah tidak hanya berserah kepada takdir semata.

Doa, solat hajat dan laungan azan ketika usaha mencari antara ikhtiar yang dilakukan agar jasad Nur Hafizah ditemukan segera.

“Sambil mencari ahli keluarga azan. Solat hajat dan bacaan Yasin setiap malam.

“Kami sekeluarga masih menunggu, selagi tak dapat berita yang pastinya dia dah tak dijumpai lagi kami akan terus menunggu,” ujar Nur Wahida sebak.

Iklan

Baca juga: Bermain dengan kakak di anjung rumah, bayi 15 bulan lemas banjir, 7 info kronologi kejadian

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, pasukan penyelamat terdiri daripada anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa menggunakan laluan darat dan air ekoran kawasan itu terjejas banjir.

Warga maya turut bersimpati dengan dugaan yang dilalui keluarga ini memberikan kata-kata semangat dan menitipkan doa agar Nur Hafizah ditemui segera.

– “Balik dik, ayah risau, tak lalu makan, tak lena tidur, jangan duk situ lama-lama.”

– “Setiap kesukaran pasti ada jalannya, jangan pernah putus berdoa. Insya-ALLAH, ALLAH bantu.”

Iklan

– “Kasihnya ayah kepada anak. Moga dipertemukan dan dipermudahkan segala urusan.”

– “Allahuakbar, moga ALLAH sentiasa memberi ketenangan dan ketabahan kepada keluarga.”

– “Ya ALLAH permudahkanlah segala urusan pencarian Adik Pijah. Sebak sangat tengok ayah dia duduk tunggu dia balik macam tu.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. SinarPlus mendoakan agar Nur Hafizah ditemui segera, aamiin.

Baca juga: Gugurnya wira negara, Lans Koperal Mohamad Azrin lemas ketika latihan, berikut kronologi kejadian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi