“ORANG makan gaji, mudahlah… ada juga bantuan. Kita yang kerja sendiri ni, tiap hari kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tak ada kerja, tak makan…”

Biasa bukan dengar keluhan-keluhan seumpamanya lewat kebelakangan ini susulan perlu ‘berkurung’ di rumah dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Ada golongan yang susah, namun masih tidak tahu ke mana tempat harus dituju untuk menampung keperluan mengisi perut sehari-hari.

Ya, sebagai pihak yang bertanggungjawab, sudah tentu pihak kerajaan perlu memastikan tiada masyarakat kita yang terpaksa melalui kesukaran melampau ketika melanjutkan tempoh PKP hingga 28 April.

Seperti yang telah diketahui umum, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perlanjutan tempoh perintah PKP setelah ia mula dilaksanakan 18 Mac yang lalu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, melalui perintah berkenaan, orang ramai dalam negara ini diminta untuk mengawal pergerakan masing-masing bagi mengelakkan diri daripada terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang sedang menular dalam negara kita.

“Perintah PKP berkenaan juga telah menyebabkan banyak sektor pekerjaan dalam negara kita ditutup. Penutupan banyak sektor pekerjaan telah menyebabkan ramai pekerja tidak menjana sumber pendapatan mereka untuk menampung kehidupan khususnya pekerja yang bekerja sendiri.

“Tambahan pula yang mana sumber pendapatan mereka selama ini diperolehi sekadar cukup-cukup makan untuk menampung diri mereka dan keluarga mereka. Kehilangan sumber pendapatan bagi pekerja yang umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini akan menjadi lebih sukar sekiranya perintah PKP ini dipanjangkan buat satu tempoh yang lama kelak,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Plus.

Menurutnya, kehilangan sumber pendapatan bagi golongan pekerja ini akan memberi banyak kesan buruk antara yang utama:

1) Bukan sahaja terhadap diri pekerja itu sendiri tetapi juga kepada keluarga pekerja berkenaan yang bergantung hidup atas sumber pendapatan yang terhad ini.

2) Tidak memiliki sumber kewangan untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti membeli makanan, membayar sewa dan hutang, menjelaskan segala bil bulanan dan lain-lain.

3) Menakutkan, sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan berkesan dan segera, ia boleh memaksa seseorang itu melakukan kegiatan jenayah seperti ragut, mencuri, merompak dan lain-lain bagi mendapatkan wang untuk menampung kehidupan mereka.

Elakkan menderita

Justeru, tegas Muzaffar Syah, pihak kerajaan perlu memberi fokus serius terhadap perkara ini supaya golongan pekerja yang telah hilang sumber pendapatan mereka tidak hidup menderita dan sengsara sepanjang tempoh perlaksanaan PKP ini dalam negara kita.

Baru-baru ini pihak kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang.

“Daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion bakal disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, manakala sejumlah RM100 bilion lagi akan digunakan untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

“Terdapat juga peruntukan dana disediakan bagi golongan yang memerlukan seperti golongan petani, pekebun, penternak dan para nelayan yang terjejas teruk akibat daripada penularan Covid-19.

“Baru-baru ini juga YAB Perdana Menteri mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjamin rakyat terus mendapat pekerjaan. Pengumuman segala jenis pakej rangsangan ekonomi ini adalah tepat pada masanya kerana rata-rata ramai pihak dalam negara kita yang hadapi kesan teruk akibat daripada penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan sumber pendapatan harian mereka,” katanya.

Pastikan sampai sasaran

Memandangkan banyak bantuan peruntukan yang bakal disalurkan kepada rakyat Malaysia seperti yang telah diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi itu, pihak kerajaan perlu memastikan segala jenis bantuan pakej berkenaan disalurkan dengan baik.

Kata Muzaffar Syah, paling penting segala peruntukan pakej berkenaan sampai kepada sasaran yang telah ditetapkan.

“Pihak kerajaan perlu memastikan tidak wujud sebarang ketirisan ketika ingin menyalurkan segala jenis pakej bantuan kepada kumpulan sasar dalam negara kita.

“Dalam menyalurkan semua jenis bantuan seperti yang telah diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi ini, pihak kerajaan juga perlu mendengar segala aduan dan rungutan dari orang ramai terutamanya daripada mereka yang sepatutnya menerima pakej bantuan ini,” katanya.

Dalam hal ini, apa yang perlu dipastikan oleh kerajaan dalam memastikan bantuan tersebut sampai? Ungkap beliau ada beberapa hal:

Iklan

1. Atasi masalah teknikal

Ada pihak yang mula mengadu dan merungut bahawa mereka masih tidak dapat menerima segala bantuan yang ingin disalurkan kepada mereka atas beberapa faktor teknikal.

Pihak kerajaan perlu memandang serius diatas perkara ini. Ambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan setiap orang menerima bantuan pakej terbabit.

2. Gunakan agensi, NGO

Selain daripada mengunakan beberapa agensi dalam negara kita bagi menyalurkan segala jenis bantuan pakej, Muzaffar Syah berkata, pihak kerajaan juga boleh memberi pertimbangan untuk menyalurkan wang bantuan terbabit terus kepada golongan yang memerlukan bantuan berkenaan melalui pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ataupun badan-badan sukarela yang sedia ada dalam negara kita.

“Selalunya pertubuhan NGO dan badan sukarela ini mempunyai hubungan yang lebih erat dengan rakyat. Terdapat juga rakyat yang berasa lebih selesa untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan NGO dan badan sukarela ini daripada berurusan dengan pihak agensi kerajaan.

3. Peranan pusat zakat buat lebih banyak hebahan, kurangkan birokrasi

Kata beliau lagi, semua institusi kewangan Islam termasuk pusat zakat juga perlu aktif memainkan peranan mereka pada ketika ini.

Iklan

Pusat zakat harus melaksanakan segala aktiviti dan program bagi membantu golongan pekerja yang telah hilang sumber pendapatan mereka dalam negara kita.

“Pusat zakat harus mengeluarkan lebih banyak hebahan mengenai proses penghuluran bantuan-bantuan ini kepada orang ramai. Pusat zakat juga harus mengurangkan segala jenis kerenah birokrasi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan segala jenis bantuan kepada mereka.

“Pusat zakat harus menghulurkan bantuan kepada mereka yang ingin mendapat bantuan. Terdapat pihak di luar sana yang memerlukan bantuan, tetapi tidak tahu ke mana harus mereka tuju serta apakah yang mereka perlu lakukan bagi mendapatkan bantuan,” ungkapnya mengakhiri bicara.

****BANTU KEPERLUAN MAKANAN KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN COVID-19

12 APRIL lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dipertanggungjawab untuk menguruskan penyediaan bantuan keperluan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Bantuan difokuskan untuk diberikan khususnya yang terhenti pendapatan harian dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan semasa PKP akibat Covid-19.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pengurusan pengagihan adalah berdasarkan pelbagai sumber aduan dan rujukan seperti melalui aduan secara langsung individu kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD), rujukan pemimpin masyarakat dan aduan kepada Bilik Gerakan Negeri dan JKM serta Talian Kasih 15999.

“Setiap permohonan akan disemak dan diperakukan oleh JKM. Proses pengagihan akan dilaksanakan dengan kerjasama RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pemimpin setempat,” kata kenyataannya.