NAMA Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah lekang meniti di bibir rakyat Malaysia. Komitmen beliau mengetuai pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) memerangi wabak Covid-19 sentiasa mendapat pujian masyarakat.

Hari ini, nama figura berusia 56 tahun itu kembali menjadi sebutan susulan penularan sekeping surat tulisan tangan daripada gimnas cilik, Lara Khadijah McAfee.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan berasal dari Terengganu itu mengutuskan surat kepada Dr Noor Hisham Abdullah menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha beliau menangani virus tersebut.

Memetik surat tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris, murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu menyatakan: “Terima kasih atas usaha anda dalam membantu rakyat Malaysia supaya kekal selamat dan sihat sepanjang krisis virus ini.”

Pun begitu, selain isi surat terbabit warga net turut terharu apabila Lara Khadijah menghadiahkan seutas gelang persahabatan istimewa warna biru yang dihasilkannya khas buat Dr Noor Hisham.

Sementara itu, meskipun sibuk dengan tugasan, Dr Noor Hisham sempat meluangkan masa membalas surat peminat cilik terbabit.

dr noor hisham
SURAT terima kasih daripada Dr Noor Hisham (kiri) dan surat penghargaan tulisan Lara Khadijah McAfee tular dalam laman sosial hari ini.

“Buat Lara, terima kasih pemberian gelang istimewa ini. Cucu saya memakainya dan sangat menyukai. Saya juga menghargai kata-kata anda, tetapi saya tidak melakukannya bersendirian.

“Saya bertuah mempunyai pasukan terbaik yang membantu negara kita. Anda dan rakyat Malaysia lain telah menjalankan tanggungjawab dengan duduk di rumah supaya kita bersama-sama memerangi virus ini (Covid-19),” tulis Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan supaya Lara Khadijah rajin belajar semoga mencapai impian dihajati.

Iklan

Dalam pada itu seorang pemilik akaun Facebook, Mafas Hasan turut memuat naik status dan berkongsi foto surat kiriman Dr Noor Hisham dan Lara Khadijah.

dr noor hisham
MAFAS HASAN antara warga net yang turut berkongsi status dan surat kiriman Dr Noor Hisham kepada Lara Khadijah di laman sosial Facebook beliau hari ini.

“Surat yang comel dibalas oleh KP Kesihatan. Sesungguhnya beliau seorang yang tinggi budi pekerti, hebat adab dan santunnya serta tertib tutur kata.

Iklan

“Terima kasih Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukan frontliner kerana menjaga keselamatan kami,” coretnya ringkas.

Direkodkan, baru-baru ini DR Noor Hisham termasuk dalam ranking tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak itu.

Stesen televisyen China, Global TV Network menganugerahkan pengiktirafan itu kepada Dr Noor Hisham yang turut menyaksikan pakar kesihatan masing-masing dari Amerika Syarikat dan New Zealand iaitu Dr Anthony Fauci dan Dr Ashley Bloomfield.