RASA gundah dalam hati Khairul Amir Rashid Maasom hanya ALLAH sahaja yang tahu. Penyakit kencing manis yang ditanggung sejak lima tahun lalu kini sudah semakin parah.

Bukan sahaja berlaku pelbagai komplikasi dalaman, malah lelaki itu turut ‘terjerat’ dengan masalah paru-paru berair.

Tidak hanya itu, bapa berusia 58 tahun itu juga menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.

Kesan daripada penyakit tersebut, dia tidak mampu lagi bangun sendiri kerana kakinya tidak boleh digerakkan.

Sememangnya mendengar sahaja deretan penyakit dideritainya, sesuailah dengan pepatah yang mengatakan berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

khairul amir

Ketika kunjungan SinarPlus ke rumahnya di Jalan 16, Kampung Felda Bukit Cherakah, Kapar, Selangor baru-baru ini, pegawai operasi keselamatan sekolah itu kelihatan sangat lemah.

Jika sebelum ini, dia seorang yang cergas dan aktif bekerja mencari rezeki untuk menyara tujuh anaknya tetapi lelaki itu kini hanya terlantar di atas katil mudah alih yang diletakkan di ruang bawah rumahnya.

Kerap kali Khairul Amir memanggil isteri kesayangan, Siti Halimah Saien, 61, untuk membantu membetulkan kedudukan kaki kanannya setiap kali rasa nyeri tiba-tiba datang.

Pun demikian, dalam kesakitan tidak terperi, dia masih menyantuni penulis dengan menjawab secara perlahan-lahan setiap soalan yang dilontarkan.

khairul amir

Ujar Khairul Amir, pada mulanya, dia sering sesak nafas dan sukar untuk melelapkan mata sejak Julai lalu.

“Saya memang susah nak tidur malam, bila baring sahaja mesti rasa sesak nafas. Memang seksalah masa itu sampaikan tak boleh nak lena langsung. Bila tak cukup tidur memang semuanya jadi serba tak kena.

“Bila rujuk ke hospital, doktor beritahu ada air dalam paru-paru. Saya ingatkan selepas doktor keluarkan semua itu, badan sudah kembali okey tetapi lain pula jadinya,” cerita bekas peneroka tersebut.

Baca juga Syawal paling sedih, anak menanggung sakit buah pinggang bocor saat suami pergi buat selama-lamanya

 

Selepas dibenarkan pulang dari hospital, sekali lagi Khairul Amir diuji. Kali ini, kedua-dua kakinya terutama pada bahagian kanan tidak mampu digerakkan.

Buat kali kedua, dia dibawa semula ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan keputusan ujian yang dijalankan membuatkan lelaki itu tergamam.

“Bila doktor beritahu fungsi buah pinggang sudah semakin merosot, saya memang tak boleh terima kenyataan. Memang sedih bila mengenangkan saya mungkin tak dapat bekerja lagi.

“Tipulah kalau saya tak kemurungan memikirkan hal tersebut. Namun, bila isteri dan anak-anak banyak beri kata-kata semangat, lama-kelamaan saya sudah boleh terima hakikat,” ujarnya yang reda dengan ketentuan ILAHI.

Bumbung bocor

Beritahu Khairul Amir, rawatan dialisis darah yang perlu dijalani setiap tiga kali dalam tempoh seminggu masih dalam proses permohonan.

khairul amir

“Sebelum ini, saya perlu menjalani ujian darah sebelum dibenarkan untuk prosedur (dialisis). Tempat dialisis memang dah ada, cuma dari segi bayaran itu.

Iklan

“Anak-anak banyak bantu untuk semua urusan. Kalau boleh memang saya tak nak susahkan anak-anak tapi itulah saya pun tak sangka jadi begini,” luahnya.

Selain kos ulang-alik ke hospital setiap bulan, lelaki itu juga memerlukan lampin pakai buang kerana dirinya sekarang bergantung pada saluran tiub air kencing buat sementara waktu.

“Boleh dikatakan isteri saya yang menjadi sandaran utama untuk saya bergerak. Nak bangun sendiri memang tak larat sangat. Dialah yang uruskan mandi dan makan minum.

“Bila mengenangkan semua itu, saya sedih sangat. Sebelum ini memang saya melarang isteri untuk bekerja. Biar dia duduk rumah jaga anak-anak tapi sekarang dialah tulang belakang saya,” katanya sebak.

Baca juga Anak sakit saraf, ibu bergantung dengan satu buah pinggang. Dua beranak ini perlukan bantuan kita

Soal penyakit yang dihidapi satu hal. Hasil tinjauan penulis menyaksikan rumah yang didiami sembilan beranak itu serba kekurangan.

Seperti mengetahui penulis akan bertanya soalan itu, Khairul Amir lantas berkata: “Setiap kali hujan, habis banjir lantai rumah.

Iklan

khairul amir

“Duit yang ada sebelum ini memang cukup-cukup sahaja. Bila dah tak dapat bekerja lagi, manalah saya nak cari duit nak baiki atap bocor.

“Kalau ada orang yang sudi membantu, saya terima dengan hati terbuka. Moga ALLAH dapat membalas semua budi yang ditaburkan.”

Kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sama-samalah kita berganding bahu menyalurkan sumbangan Khairul Amir dan keluarganya yang dalam kesempitan.

Bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB Bank 7646388748 atas nama Khairul Amir Rashid Maasom.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang