Anak sakit saraf, ibu bergantung dengan satu buah pinggang. Dua beranak ini perlukan bantuan kita

KALAU melihat keadaan kesihatan saya ketika itu, mungkin ramai yang andaikan saya sudah tiada di dunia ini.”

Itu kata-kata yang lahir daripada mulut ibu muda, Siti Nuramziah Ramli, 26, ketika mengimbau kembali saat beliau koma akibat komplikasi buah pinggang sekitar dua tahun lalu.

Lebih menggentarkan hati, pada saat itu, wanita berkenaan sedang hamil lima bulan.

Menurut Siti Nuramziah, sebelum kejadian, beliau muntah, demam, badan menjadi lemah dan hilang selera makan.

Pada firasatnya, masalah sebegitu hanyalah ciri-ciri seorang wanita mengandung.

sakit saraf

“Peliknya, situasi itu berlarutan sampai saya tak tahan dan minta suami hantar ke hospital kerana saya bimbang dengan kondisi bayi dalam kandungan.

“Sejurus sampai di unit kecemasan, saya dikatakan terus tidak sedarkan diri,” katanya yang menyewa di sebuah rumah kecil di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan.

Seperti diceritakan suami, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 24, kepadanya, beliau bergantung 100 peratus dengan mesin pernafasan. Namun, apabila doktor bertanya sama ada mahu menyelamatkan isteri atau anak, lelaki itu kelu seribu bahasa.

 

“Suami sangat terkejut dan jadi bingung. Siapa pun kalau ditanya soalan macam itu susah nak jawab, apalagi mahu buat pilihan,” katanya.

Namun, atas kuasa ALLAH SWT, keajaiban menyebelahi apabila Siti Nuramziah tersedar daripada koma selepas lebih 30 hari terlantar di hospital.

Baca juga Anak meninggal dunia, nenek yang derita sakit jantung sanggup jaga 3 cucu sakit kanser otak, autisme dan lembam

Kejutan kegembiraan itu amat melegakan. Pun demikian, selepas pemeriksaan semula, pakar mendapati masalah batu karang pada pundi kencing yang dideritainya pada waktu kecil, berulang kembali.

Buah pinggang sebelah kanan beliau juga disahkan mengalami mendapan batu karang.

sakit saraf

Disebabkan dirinya hamil, pembedahan terpaksa ditangguhkan bagi mengelak risiko ke atas bayi.

“Demi memastikan buah pinggang saya berfungsi dengan baik, saya diminta menjalani hemodialisis setiap hari sehinggalah saya bersalin,” kata wanita itu yang akhirnya melahirkan putera sulung dengan berat 2.1 kilogram tanpa sebarang masalah ketika kandungan mencecah 37 minggu.

Diserang sawan

Sebagai manusia, seboleh-bolehnya kita mahukan takdir yang indah sahaja berlaku.

Namun, Siti Nuramziah terpaksa akur apabila anak kecilnya yang dinamakan sebagai Mohammad Wafie Muazakki atau Wafie mempunyai masalah saraf.

Iklan

sakit saraf

Kesannya, si kecil itu sudah diserang sawan pada usia dua bulan. Perkembangan tumbesaran Wafie juga tidak normal seperti kanak-kanak lain.

Walau sudah berumur dua tahun, beliau hanya mampu terlantar dan akan merengek untuk memberi isyarat dirinya lapar atau mahukan perhatian daripada ibu dan bapa tersayang.

“Saya perlu menjaga Wafie sepanjang masa kerana dia kerap juga alami kekejangan otot tidak mengira masa dan tempat.

“Kalau dia mula menangis, saya kena cepat-cepat pujuk kerana setiap kali diserang sawan, badannya akan cepat panas,” katanya.

Kongsi Siti Nuramziah lagi, puteranya perlu makan 10 jenis ubat setiap hari, selain perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi setiap tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia.

Suri rumah itu sendiri juga sedang menderita. Beliau kini bergantung pada satu buah pinggang selepas pembedahan dilakukan pada Januari lalu.

Dengan kos perubatan dan ulang-alik ke hospital untuk beliau dan Wafie memang cukup membebankan.

sakit saraf

Iklan

“Suami terpaksa berhenti berkhidmat sebagai askar wataniah untuk menguruskan kami anak-beranak.

“Dialah yang bantu uruskan anak dan menjadi pemandu kami untuk ke hospital. Sekarang ini kami sekeluarga bergantung harap dengan sumber jualan barangan kitar semula sahaja.

Baca juga Abang Ail sakit radang usus, si kakak derita ketumbuhan pada saluran darah. Ibu ini mohon simpati masyarakat

“Kami peroleh bantuan kerajaan berjumlah RM250 setiap bulan, namun masih tak mencukupi kerana kami perlu membayar sewa rumah juga,” ujarnya yang memohon sumbangan orang ramai untuk meringankan beban yang ditanggung.

Buat pembaca SinarPlus prihatin, dana berbentuk wang tunai boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 03018021767422 atas nama Siti Nuramziah Binti Ramli.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang