SELAIN kontraksi, rasa ingin membuang air besar adalah tanda bersalin semakin dekat. Ketika hendak bersalin, bukan sahaja otot pada uterus bersedia, malah ia turut melibatkan otot bahagian lain juga.

Pergerakan usus juga menjadi semakin longgar, jadi ibu hamil akan mudah membuang air besar. Jika ini berlaku, ia bermakna waktu bersalin sangat hampir!

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang tandas sebaik sahaja dilahirkan di sebuah rumah di Sekinchan, Selangor.

Menurut Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor seorang wanita berumur 37 tahun yang sedang hami tujuh bulan telah melahirkan bayi secara tidak sengaja di dalam tandas ketika hendak membuang air besar.

Bayi yang dilahirkan telah terjatuh ke dalam mangkuk tandas dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba setelah memecahkan mangkuk tandas tersebut.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan bayi tersebut disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ibu didapati dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Kerap kali terjadi kelahiran tanpa dirancang. Ada ibu yang terpaksa bersalin di rumah, di dalam kenderaan atau mana-mana lokasi kerana tidak sempat untuk ke hospital.

Sudah tentu situasi ini tidak dirancang dan berlaku secara tiba-tiba. Maka para ibu perlu mempersiapkan melalui detik melahirkan sebegini.

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, apabila kandungan mula memasuki trimester ketiga pastikan ibu hamil membawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital.

Baca juga [VIDEO] Suami Minta Ekstra Jahitan Selepas Isteri Bersalin. Ini Sebenarnya Maksud ‘Daddy Stitch’

Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati usia 37 minggu.

1.Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya, ibu perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di lorong kecemasan, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat atau yang mana terdekat.
2. Minta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan, diikuti dengan ahli keluarga yang terdekat.
3. Jika tidak ada orang lain bersama, hubungi 999 sendiri dan ikut arahan paramedik MERS dengan tenang. Paramedik MERS memerlukan maklumat akan lokasi ibu bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.
4. Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata. Tinggikan kepala dengan bantal. Dengar arahan paramedik MERS dengan teliti.
5.Pastikan ibu menarik nafas yang dalam dan perlahan di antara kontraksi.

Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan empat peralatan asas ini iaitu:

1. Alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.
2. Kain cadar, kain selimut, kain batik atau tuala bersih dan kering.
3. Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
4. Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.

Iklan

Baca juga 7 Peranan Suami Temani Isteri Bersalin, Syaratnya Lengkap Vaksinasi, Negatif Ujian Saringan

Pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak.

Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran.

Bidan terjun sama ada suami, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu dalam keadaan bersih.

Apabila bayi sudah keluar, ibu atau ‘bidan terjun’ perlulah segera menyambutnya dan melakukan beberapa langkah ini iaitu:

1. Ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala, bahu bayi dan badannya keluar dengan lurus untuk mengelakkan luka teruk pada ibu. Berhati-hati semasa menyambut kelahiran kerana tubuh bayi selepas dilahirkan selalunya licin.

2. Perhatikan kedudukan tali pusat. Longgarkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.

3. Sambut badan bayi.

Iklan

4. Jangan potong tali pusat untuk mengelakkan jangkitan kuman!

5. Lap seluruh badannya terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.

6. Sambil mengelap, urut perlahan bahagian belakang bayi dan kaki untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.

7. Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhan kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.

8.Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Tunggu sehingga paramedik atau bidan memotongnya menggunakan peralatan yang bersih.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor