SESEORANG ibu memainkan peranan  dalam sesebuah rumah tangga terutama dalam bab kemas rumah dan sebagainya. Membebel dan menegur itu lumrah, semuanya demi memastikan anak-anak menjadi ‘orang’.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Menerusi perkongsian seorang anak bernama Nurlia Mohd Nor, memang cukup menyentuh hati.

Beliau memuat naik beberapa perkara tentang rutin arwah ibunya yang sehingga kini dipraktikkan olehnya terutama bab penjagaan rumah dan disiplin.

 

Berikut beberapa perkara yang dilakukan ibunya, sekali gus memberi contoh teladan yang baik dan disiplin dalam bab penjagaan dan mengemas rumah. Antaranya seperti:

1. Bangun pagi kemas tempat tidur
Bangun pagi perkara pertama yang ibunya lakukan adalah mengemas tempat tidur dan katil.
“Takkan ada siapa berani landing untuk bersantai-santai atau berehat. Nak landing sila ke sofa atau ruang tamu tengah. Sampai malam katil tu cadarnya tetap ‘tegang’,” kata Nurlia.

Baca ni: “Sedia siap-siap baju sekolah, baju raya.” Dua perbelanjaan besar tahun depan, ibu bapa kena berhemah dalam berbelanja!

2. Basuh baju selepas solat subuh
Ibunya akan basuh baju pada awal pagi selepas solat Subuh. Sesiapa yang tidur balik selepas bersolat dan bangun lambat, sila basuh baju sendiri. Kalau tidak mahu basuh sendiri, mandi dulu kemudian sambunglah tidur semula. Dalam baldi memang tidak akan ada pakaian kotor.

3. Terus sidai baju, tidak bertangguh
Ibu beliau akan menyidai pakaian sebaik sahaja siap cuci. Tidak bertangguh-tangguh. Ujar Nurlia, kadangkala bapanya akan perli dengan berkata: “Matahari pun tidak muncul lagi. Awal benar sidai pakaian.”

4. Sapu rumah luar dalam
Selepas sidai pakaian di ampaian luar, ibu Nurlia akan ambil penyapu luar.
“Mak sapu halaman dan sapu dalam longkang. Buang daun kering dan sebagainya. Kemudian mak masuk rumah semula, ambil penyapu di dalam dan sapu dalam rumah pula,” katanya.

https://www.pexels.com

5. Tiada pinggan mangkuk dalam singki
Selepas makan terus basuh pinggan dan cawan. Rumah mereka tidak akan ada pinggan mangkuk dalam singki. Abah beliau pun akan basuh pinggan dan cawan sendiri walaupun dia seorang guru besar, ketua di sekolah dan juga ketua keluarga.
“Abah pun tunjuk contoh tauladan yang baik. Kerja rumah mesti sama-sama buat. Bukan harap Mak semua. Siap bersarapan, mak akan berehat sambil baca surat khabar,” katanya.

6. 10 pagi masuk dapur, mula masak
Tepat pukul 10 pagi, si ibu akan masuk dapur untuk masak. Siap masak, mak Nurlia akan hidangkan semua. Pinggan, gelas, periuk nasi semua sudah ada atas meja. Dapur pula akan dilap, kemudian sapu semula ruang dapur.

7. Pukul 12 angkat baju terus lipat
Selesai masak dalam pukul 12 tengah hari, pakaian sudah diangkat dan terus dilipat.
“Dalam rumah kami memang takkan ada longgokan baju yang belum dilipat. Mak pantang tengok benda berlonggok,” katanya.

Baca lagi: Wanita ini kongsi cara cuci kain lap dapur berbau dan berlendir tanpa perlu sental. Hasilnya bersih dan wangi!

8. Tunggu solat Zohor
Ibu Nurlia akan terus mandi, pakai telekung dan menunggu waktu solat Zohor.

9. Tunggu Solat Asar
Selepas Zohor, si ibu akan makan dan berehat hingga pukul 4 petang.
“Mak sudah siap mandi dan menanti untuk Asar,” katanya.

10. Petang aktiviti santai
Waktu petang dijadikan sebagai aktiviti bersantai.
“Ada masa sambil bersih halaman mak bersembang dengan jiran. Ada masa mak duduk rumah menonton televisyen. Kalau ada kelas mengaji biasanya lepas Asar, mak akan pergi sampailah pukul 6.30 petang,” katanya.

11. Sehari mandi empat kali
Nak masuk Maghrib ibunya akan mandi lagi sekali. Pada waktu itu, ibu beliau akan memastikan semua orang sudah rendam pakaian dalam baldi untuk dibasuh pada keesokan hari.
“Bagusnya mak, setiap kali nak menghadap ALLAH, dia akan pastikan mandi dan badan dalam keadaan bersih.
“Sehari mak mandi empat kali. Sebab itu kalau nak tahu kulit badan mak cantik. Tiap kali mandi dia akan gosok daki pada badan dan sabun. Bila mak sakit setiap kali mandikan dia saya memang suka tengok kulit mak. Sudahlah putih, kulit pula bersih, halus walaupun sudah berumur 70 tahun lebih,” katanya.

12. Makan selepas solat Maghrib
Selepas solat Maghrib, ada masa ibunya akan makan dulu. Ada masanya wanita itu akan tunggu sampai waktu Isyak.

13. Buang sampah
Siap makan malam, ibu Nurlia akan bersihkan semua meja makan. Sampah kalau sudah penuh mak akan buang dalam tong sampah luar.

Bukan itu sahaja, ibunya juga sangat berdisiplin dalam beberapa perkara. Antaranya:

Iklan

1. Jadual berkala cucian
Tuala, telekung, selimut, sarung bantal, cadar, mak ada jadual berkala untuk basuh.
“Sebab itu, kalau tengok semua telekung mak tak kan ada kotoron, contohnya kuning pada dagu, tahi lalat dan sebagainya. Sampai reput kain tu tetap bersih. Sama juga dengan tuala, selimut. Dah bertahun- tahun pun masih elok,” kata gadis itu.

2. Selalu cuci bilik air
Bilik air bukan tunggu kotor baru cuci. Sambil mandi pun kadang-kadang dengarlah si ibu sibuk memberus.

3. Simpan barangan di tempat sepatutnya
Buku cerita atau mainan selepas baca atau main, sila simpan di tempatnya. Bukan suka hati nak selit sana sini. Kalau tidak letak di tempat yang sepatutnya mak Nurlia akan ambil.

“Habit ini saya dah perhati dari kecil lagi. Bayangkan hari-hari tengok rutin yang sama. Memang ‘meresap’ masuk dalam otak (ketawa). Ia bukan soal kemas, bersih semata-mata sebenarnya, tapi ia berkaitan dengan DISIPLIN.

“Mak ini tambahan waktu muda, orangnya lemah lembut je. Saya pun tidak ingat bila mak pernah marah. Mak tidak pernah pun bagi arahan atau marah kami untuk ikut peraturannya. Mak bukan jenis pot pet, pung pang marah,” katanya.

Ujar Nurlia lagi, beliau beljar berdasarkan pemerhatian. Apabila dirinya sudah biasa dengan keadaan begitu, sebagai anak, beliau akan terikut habit ibunya.

“Sebab itu kalau nak anak-anak buat sesuatu, kita mesti buat dulu dan tunjuk contoh teladan yang baik. Percayalah.

“Terima kasih mak sebab sudah didik satu perkara yang baik untuk kami ikut. Apabila terkenang rutin harian mak ini rasa rindunya Ya ALLAH. Rindu pada susuk tubuh itu. Al-Fatihah mak,” katanya mengakhiri tintanya.

Iklan

*Dalam gambar ini adalah bilik mak abah di sini. Semua sudah tinggal kenangan. Walaupun sudah berumur, tapi sebab biasa kemas, tetap akan kemas juga kan. Gambar yang lagi satu adalah ‘rumah’ baru mak. Mudah- mudahan rumah baru mak ini, Allah gantikan yang lebih baik daripada apa yang ada di sini.

Aaminnn..
Nota: Habit Mak ini saya perhati dari KECIL. Jadi apabila dah berakal, sudah faham perlahan-lahan kami pun ikut dan bantu mak buat kerja rumah. Umur empat, lima tahun sudah boleh bantu buang sampah, umur enam tahun basuh pinggan mangkuk, sapu sampah dan sebagainya.

“Tugasan ikut kesesuaian umur. Bukanlah mak buat semua ini seorang sampai tua. Jangan salah faham. Mak dan abah, saya bawa tinggal bersama. Apabila mak tidak sihat saya yang jaga. Mandikan dia hari-hari, sediakan makan minum, cuci najis mak sehinggalah mak menghembuskan nafas terakhirnya di sini.

Beliau turut bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk berbakti pada orang tuanya walaupun tahu sampai bila-bila pun jasa mereka membesarkannya takkan terbalas.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan