Kudung bukan penghalang jadi runner  

May 31, 2020
Oleh Arziana Mohmad Azaman

JIKA dilihat dengan mata kasar, Syed Syahrain Syed Fadzil tidak ubah seperti jejaka lain yang bekerja sebagai penghantar makanan atau runner. Namun di sebalik itu, dirinya ternyata istimewa.

Biarpun kudung dari kedua-dua pergelangan tangan, pemuda kelahiran Kampung Merbau Sempah, Sungai Buloh, Selangor itu mampu menunggang motosikal dengan baik.


Itulah yang menimbulkan tanda tanya orang ramai khususnya pelanggan yang mendapatkan khidmatnya. Apatah lagi Syed Syahrain ternyata seorang ‘mat motor’ yang gigih mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup.

Kerjayanya bermula sebagai pekerja cuci, penghantar surat sehinggalah penghantar barangan alat ganti kenderaan. Kini, jejaka berusia 26 tahun itu aktif mengambil upah menghantar makanan di sekitar Lembah Klang.

Kesemua pekerjaan itu dilakukan dengan menunggang sendiri motosikal! Padanlah kisah dirinya acapkali tular dek kesungguhannya bekerja walaupun serba kekurangan sekali gus memberikan inspirasi kepada orang ramai.

Iklan

kudung

“Ramai yang pelik tengok saya, lebih-lebih lagi bila saya minta tolong bukakan beg atau ambil barang.

“Demi cari makan untuk teruskan hidup, saya kena kuat bekerja. Alhamdulillah semuanya dipermudah,” tuturnya yang bercita-cita mahu memiliki bengkel membaiki motosikal.

Iklan

Lahir normal

Anak kedua daripada tujuh beradik itu sebenarnya dilahirkan normal. Namun, tragedi hitam ketika berusia sembilan tahun menyebabkan kedua-dua tapak tangannya hancur gara-gara bom.

Mengimbas memori berdarah itu, kedua-dua pergelangan tangannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman selepas terkena letupan bom dalam kejadian berhampiran Penjara Sungai Buloh pada 2003.

Artikel berkaitan: “Wang itu bukan hak kami” Keluarga pulangkan wang tunai RM4.35 juta yang dijumpai

“Masa itu, saya tidak tahu pun benda yang dipegang adalah bom, sebab ingatkan objek biasa-biasa saja. Saya buat main dan tiba-tiba meletup.

“Meskipun tangan tak putus tapi tidak boleh diselamatkan. Saya masih kecil masa tu, sedih jugalah, namun reda dengan ketentuan ALLAH,” ujarnya kepada SinarPlus baru-baru ini.

kudung

Pernah mencuba untuk memakai tangan palsu, namun beliau tidak selesa kerana pergerakan dirasakannya terbatas hingga mendorongnya kekal seperti itu.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, baginya, Syawal kali ini tidak sama memandangkan dirinya bekerja seperti biasa.

“Ala kadar sahaja sebab wabak Covid-19 ini pergerakan agak terhad. Kalau dulu-dulu, seronok juga join konvoi raya, tapi kali ini mungkin tak ada.

“Namun saya harap kawan-kawan dan rakyat Malaysia akur arahan kerajaan demi memutuskan rantaian Covid-19 supaya negara kembali pulih seperti sediakala,” harapannya.

Iklan

About Arziana Mohmad Azaman