BERSAMA Pakar Perunding Keluarga dan Pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Saya bukan orang yang baik sangat. Ketika saya masih muda remaja, saya merupakan seorang samseng. Namun, kini saya sudah berubah dan mengikut tabligh.
Apa yang menyedihkan, ibu bapa saya masih memulaukan saya termasuk adik beradik lain.
Saya cuba untuk berbaik dengan mereka, tetapi sedikit pun tidak dipandang. Adakah ini ujian yang diberikan untuk menguji keimanan saya?

PEMUDA TERTEKAN, 45
Kajang, Selangor

JAWAPAN:

Janganlah kita bimbang kerana semua itu adalah ujian daripada ALLAH. Apa yang penting, kita perlu bersabar berdepan dengan kerenah ibu, ayah dan adik beradik yang masih belum menerima perubahan diri sepenuhnya.

Sebagai seorang anak, janganlah kita berputus asa dan sentiasalah melakukan hal-hal yang baik.

Yakin dan percaya bahawa selagi mana usaha ke arah kebaikan kepada keluarga yang tidak pernah terpadam, insya-ALLAH, pada suatu hari nanti, mereka akan berubah hati.

Percayalah, setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, tetapi apa yang penting, kita perlu banyak bersabar. Itu janji ALLAH kepada mereka yang bersabar.

Iklan

Ingat, firman ALLAH bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH bersama orang yang sabar. Sesungguhnya rahmat dan kasih sayang ALLAH dekat dengan orang yang melakukan kebaikan.”

Jika kita mendapat kasih sayang ALLAH, perkara yang susah pun akan menjadi mudah. Hati ibu bapa dan adik beradik juga akan berubah asbab kebaikan yang kita lakukan dengan seikhlas hati.

Justeru, saya ingin berkongsi tip untuk mereka yang mungkin berdepan situasi sama seperti yang dialami pengadu iaitu sentiasa mengamalkan Surah al-Furqan, ayat 74 dan Surah al-Baqarah ayat 201 setiap hari.

Amalkan, insya-ALLAH, ALLAH akan membuka pintu hati ibu bapa dan ahli keluarga untuk menerima kita seadanya.

Iklan

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, doa merupakan senjata kepada orang beriman. Apa yang penting, kita jangan cepat berputus asa dan tertekan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini.

Saya sekali lagi menasihatkan supaya pengadu sentiasa melakukan kebaikan demi melahirkan keluarga yang bahagia di dunia dan di akhirat.