DUGAAN yang ditempuh oleh Nor Hamizah Nordin, 35, membuatkan wanita itu menjadi lebih cekal.

Pernah satu ketika, ibu kepada tiga cahaya mata itu pernah terkandas di lebuh raya bersama tong berisi ikan segar gara-gara kenderaannya rosak.

Mengangkat bebanan berat juga sudah menjadi kelaziman buatnya. Setakat sakit pinggang, hal berkenaan sudah biasa bagi Nor Hamizah.

“Saya tidak kisah sebenarnya asalkan matlamat kami sekeluarga mencari sumber pendapatan sampingan tercapai dan diberkati-NYA,“ kata anak kelahiran Raub, Pahang yang menjual ikan dari bonet kereta sejak dua tahun lalu.

Untuk menjayakan perniagaan itu, beliau akan berulang alik dari Kuala Selangor, Selangor ke Raub dan Bentong, Pahang pada setiap hujung minggu.

wanita penjual ikan

“Dalam berniaga memang banyak ranjau. Namun kerana minat untuk berniaga sejak kecil, saya gembira melakukannya.

“Apabila sudah berkahwin dan mengikut suami bekerja di Kuala Selangor, saya terus cari peluang yang ada untuk berniaga walaupun ketika ini saya bekerja sebagai guru di tadika swasta, “ katanya.

Mengapa memilih produk segar seperti ikan untuk berbisnes?

Anak jati Raub itu lantas berkata: “Saya agak kecewa dengan kualiti ikan yang dijual di kawasan kampung halaman saya yang tak segar dan mahal pula tu. Itu faktor utama saya mahu jual sumber laut.

“Bermula detik itu, bila ada modal lebih, saya nekad untuk berkongsi rezeki dengan menjual ikan yang berkualiti untuk orang kampung pada harga berpatutan. Saya memang gembira melihat pelanggan gembira.”

wanita penjual ikan

Niat yang baik lazimnya akan diredai oleh ALLAH SWT. Segala penat lelah dan kecekalan Nor Hamizah berbayar. Beliau kini mampu tersenyum lebar apabila perniagaannya dapat diperluaskan.

“Alhamdulillah, kini saya dan dua rakan kongsi berjaya membuka premis jualan ikan segar yang dinamakan SNZ Top Global di Kuala Selangor.

“Saya juga dibantu dua abang ‘sado‘ iaitu Mohd Zulakmal Jamaludin, 30, dan Mohammad Shahrul Nizam Sukri, 25,.

“Syukur sangat, pada saat ramai yang gulung tikar ketika musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami berpeluang buka perniagaan.

“Saya, Zulakmal dan Shahrul yang juga sahabat suami saya beriltizam agar bisnes yang dikendalikan terus mendapat tempat,“ katanya.

Promosi ‘gila-gila‘

Iklan

Pembukaan SNZ Top Global dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini.

Dengan syarikat baharu itu, selain menjual ikan terus ke rumah dengan pakej yang menarik, mereka turut membantu orang kampung dengan menjual sayur kampung seperti cili, kangkung dan terung.

Radar perniagaan SNZ Top Global juga kini dikembangkan. Penghantaran ikan bukan sahaja di seluruh Selangor dan Pahang malah terkini di Negeri Sembilan.

wanita penjual ikan

Demi menghargai sokongan keluarga dan pelanggan setia, Nor Hamizah bersama Mohd Zulakmal dan Mohammad Shahrul Nizam merancakkan lagi bisnes mereka dengan mempromosikan tiga jenis ikan iaitu selar, cencaru dan bawal hitam kecil pada harga RM1 sekilogram sahaja.

Memang sangat murah! Kata usahawan wanita itu, mereka berani memberi harga serendah itu untuk tempoh happy hour khas buat mereka yang terjejas akibat penangan wabak Covid-19.

Iklan

“Kami sangat memahami keadaan orang hilang kerja, gaji bahkan hilang wang simpanan sepanjang PKP.

“Sebab itu, saya wujudkan kempen jualan RM1 pada masa-masa tertentu bergantung kepada stok yang kami terima.

“Jika banyak, contoh untuk jualan pembukaan hari ini, ada 300 kilogram ikan.

“Saya rasa dengan pertolongan yang sedikit ini boleh membuat ramai suka dan pada masa sama, kami melakukan amal,“ katanya.

Seperti kata Mohd Zulakmal, SNZ turut merancang untuk melebarkan skop pasaran ke seluruh negara termasuk membuka cawangan di negeri lain.