PADA mulanya penulis tidak meletakkan harapan tinggi untuk menemu bual Dr Nur Amalina Che Bakri memandangkan umum mengetahui jadual tugasan pegawai perubatan selalunya padat dan tidak menentu.

Namun begitu, dek ingin mengetahui perkembangan terkini beliau di London, United Kingdom (UK), lantas satu hantaran e-mel dilayangkan pada hari Selasa, pukul 10.08 pagi (waktu Malaysia) baru-baru ini.

Alhamdulillah, misi tercapai. Pelawaan Sinar Plus mendapat maklum balas positif daripada beliau dalam tempoh kurang 48 jam. Biarpun sibuk dengan khidmatnya menyempurnakan kepakaran dalam bidang pembedahan awam di sebuah hospital terkemuka di London, beliau tetap meluangkan masa berkomunikasi bersama penulis.

dr amalina
AMALINA kini sedang menyempurnakan kepakaran dalam bidang pembedahan awam di sebuah hospital terkemuka di London.

Setiap soalan yang dilontarkan dibalas dengan bait-bait jawapan lengkap kecuali dua soalan ditolak secara baik apabila melibatkan privasi pesakit dan perbandingan kualiti industri perubatan antara UK dan Malaysia.

Jika dihitung sudah 15 tahun anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan dan Che Bakri itu bersendirian berkelana di negara orang. Begitupun, situasi tersebut nampaknya tidak melunturkan semangat patriotisme dan kecintaan wanita berusia 33 tahun itu pada tanah air.

Buktinya, pada 10 Jun 2019 beliau bersama pasukan yang diketuai Ketua Unit Kraniofasial, Profesor David Dunaway dan Dr Juling Ong berjaya melaksanakan misi membantu bayi berusia sembilan bulan, Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin, menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram pada mulut bayi tersebut.

dr amalina ainul
KEADAAN terkini adik, Ainul Mardiah selepas menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram pada mulutnya, Jun 2019. Foto: Ihsan Instagram @_nrlerwani

Pembedahan selama lima jam di Hospital Kanak-Kanak London tersebut mendapat pujian dan penghargaan tinggi daripada rakyat Malaysia.

“Walau di mana saja saya berada, Malaysia tetap istimewa di hati. Saya bangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia dan akan terus menyumbang, sekali gus mengharumkan nama negara tercinta.

“Sebab itu, sebaik sahaja menerima banyak mesej daripada pengikut dalam laman sosial peribadi mengenai Ainul, saya segera mencari dan menghubungi keluarga bayi itu bagi mendapatkan dokumen.

“Fasa seterusnya ialah mengadakan perbincangan lanjut dengan kumpulan pakar di London termasuk pakar kanak-kanak, pakar radiologi, pakar pembedahan plastik, pakar onkologi dan rekonstruktif,” jelas beliau kepada Sinar Plus menerusi kiriman e-mel baru-baru ini.

Nur Amalina atau mesra disapa Amalina merupakan pelajar pertama negara yang berjaya memperoleh keputusan 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004. Kecemerlangan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor itu telah mencetuskan fenomena luar biasa.

Kini beliau sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di Jabatan Pembedahan dan Kanser, Imperial College London. Bicara Amalina, penglibatan beliau dalam bidang perubatan membawa hikmah tersendiri.

Berkongsi ilmu

“Pada era modenisasi hari ini, saya ingin membantu menyebarkan ilmu kepada kumpulan pelajar perubatan dan masyarakat Malaysia khususnya menerusi kuasa media sosial.

“Walaupun berada di perantauan, saya prihatin dengan isu-isu perubatan di sana (Malaysia). Saya akan terus bersuara bagi membetulkan fakta yang boleh menjejaskan kesihatan rakyat,” tegas Amalina yang terpilih sebagai salah seorang ‘Three Wise Women’ di Fakulti Perubatan kolej berkenaan tahun lalu.

Tambah beliau, doktor merupakan pendidik kesihatan yang bertanggungjawab menyebarkan fakta sahih dan menangkis pseudosains serta dakwaan keterlaluan kononnya sesuatu produk dapat menyembuhkan penyakit.

“Malaysia adalah antara negara paling aktif di dalam menggunakan media sosial. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menjadikan Twitter dan Instagram sebagai platform untuk menyebarkan maklumat.

“Lebih-lebih lagi terdapat kecenderungan segelintir pihak menyebarkan berita palsu berkaitan kesihatan, begitu juga barisan selebriti dan Instafamous yang overclaim sesuatu produk dalam media sosial,” ujarnya.

Antara isu yang mendapat teguran Dr Amalina baru-baru ini ialah dakwaan seorang lelaki pelayar Twitter kononnya pemakaian baju dalam atau bra yang ketat dan berdawai menjadi punca kanser payudara.

Iklan

Menurut Amalina, tiada kajian yang menyokong dakwaan tersebut. Beliau turut memuji usaha antaranya, Dr Rafidah Abdullah, Dr Imelda Bachin, Dr Beni Rusani dan Dr Mike Varshavski serta Dr Jennifer Gaunter di Amerika Syarikat kerana lantang bersuara dalam media sosial berhubung isu perubatan.

Pernah dicemuh

Mengulas lanjut, Amalina yang meminati sukan kickboxing menyifatkan sikap mudah terpengaruh dengan mitos perubatan bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia, bahkan di seantero dunia.

dr amalina
AMALINA (kanan) sentaisa mendapat sokongan daripada ibu tercinta, Sabariah.

Namun menurutnya, amalan perubatan sentiasa berubah mengikut penyakit yang dihidapi manusia pada hari ini.

“Pada era kemajuan perubatan dan teknologi, baik kepercayaan mahupun pengalaman orang tua-tua, ada sesetengah petua tidak boleh diikuti lagi. Banyak kajian dalam bidang perubatan menunjukkan sebahagian amalan terbabit boleh membawa mudarat.

“Justeru, amalan ini perlu diubah selari dengan kajian perubatan dan teknologi,” katanya.

Iklan

Ditebak soalan adakah beliau pernah dikecam ‘warganet‘ dek usahanya itu, Amalina yang saban hari menghubungi ibunya berkongsi jawapan pedih.

“Selain dicemuh dan dipanggil pelbagai nama, saya juga pernah mendapat ugutan rogol dan bunuh. Namun begitu, semangat juang tetap diteruskan demi melahirkan rakyat yang sihat dan tidak mudah tertipu.

“Misi utama saya adalah untuk memupuk semangat rajin bertanya dan berfikiran kritikal,” luah beliau.

Sebelum menamatkan bicara, Amalina yang meminati fesyen dan kecantikan sempat meninggalkan bingkisan istimewa buat para wanita Malaysia: “Kepada wanita Malaysia, cuba keluar daripada zon selesa dan kejar impian yang diingini. Jangan mudah berputus asa kerana ketahuilah kita juga boleh berdiri sama tinggi dengan wanita lain yang berjaya di peringkat antarabangsa.”