GARAM dan gula, dua bahan masakan yang murah. Namun siapa sangka ia juga termasuk sebagai harta pusaka si mati. Perkongsian wanita ini meraih perhatian warga maya.

Apabila menyebut harta pusaka, barangkali ramai yang terbayangkan tanah, rumah, kereta, barangan kemas atau harta benda yang lain. Ramai terlupa barangan kecil yang ditinggalkan si mati termasuk barangan dapur.

Baca juga: Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Hakikatnya sesiapa sahaja tidak berhak mengambil peninggalan si mati sewenang-wenangnya waima garam dan gula.

Justeru, usah terlepas pandang isu ini. Catatan pengguna Facebook, Umi Khlsom ini menyedarkan ramai yang terlupa peninggalan harta pusaka walaupun sekecil-kecil benda.

Garam dan gula pun pusaka, bukan sekadar tudung dan baju. Apatah lagi barang berharga arwah. Jangan ambil mudah apabila pakai harta pusaka arwah. Waris-waris faraid arwah reda atau tidak dan sudahkah minta izin daripada mereka?

Ini tidak, bila berlaku kematian sibuk hendak adakan kenduri arwah. Segala garam, gula, kunyit dan beras arwah digunakan untuk kenduri tanpa bertanya kepada waris-waris faraid yang ada.

Baca juga: [VIDEO] 12 beradik sepakat pembahagian harta pusaka, ramai puji tindakan mereka

Image by Filmbetrachter from Pixabay

“Alahai gula dan garam, itu pun hendak berkira?”

Semalam semasa arwah masa hidup memang garam gula itu miliknya. Tetapi hari ini apabila beliau meninggal dunia, gula dan garam tersebut telah bertukar menjadi milik waris faraid yang berhak. Jika ada seorang waris yang tidak reda, apakah hukumnya?

Justeru, sebagai orang yang masih hidup, berhati-hatilah mengambil barangan milik si mati. Minta izin walaupun si mati itu adalah kakak atau adik yang paling rapat dengan kita.

Ini tidak, semasa si mati dibawa ke masjid semasa proses pengkebumian, saudara mara sibuk mengambil barang-barang arwah. Habis pakaian arwah di dalam almari dibahagi-bahagikan tanpa meminta izin waris-waris faraid yang berhak.

Inilah masalahnya kalau ada sikap tidak ambil kisah. Malah waris faraid arwah pun tidak kenal. Arwah ada anak lelaki tetapi adik beradik sibuk hendakkan kain baju dan barang kemas dengan alasan, kami dahulu rapat.

memakan harta yang batil ini bukan dosanya bukan kecil. Perlu lebih berhati-hati jika jika si mati meninggalkan anak-anak yatim. Jadi, jika tiada ilmu mengenai faraid, belajarlah. Sekurang-kurangnya kenal siapa waris faraid kita.

Baca juga: Tak puas hati pembahagian harta pusaka, lelaki tergamak bakar kubur bapa

Baca juga: Wanita boleh papa kedana jika 10 perkara ini tidak dilakukan oleh suami

Perkataan faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak, faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya.

Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, dan lain-lain) menurut hukum Islam.

Iklan

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dan lain-lain) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta).

Dalam konteks agama Islam, apabila seseorang Muslim meninggal dunia, harta yang ditinggalkan oleh si mati merupakan harta pusaka yang perlu diuruskan segera.

Mengikut hukum Islam, harta yang ditinggalkan si mati perlu difaraidkan dan diuruskan pembahagiannya mengikut hukum Islam. Setiap ahli waris akan mempunyai hak tersendiri dalam harta si mati tersebut.

Diharapkan jangan ada yang alpa dan mengambil mudah berkaitan harta pusaka. Nampak seperti remeh tetapi boleh jatuh berdosa jika diambil lewa.

Sebaik-baiknya selesai proses pengebumian dan melangsaikan hutang si mati, waris perlu menjalani proses perolehan kuasa, pentadbiran dan pembahagian kepada waris yang layak.

Baca juga: Sekarang masa terbaik sediakan pelan pewarisan harta pusaka. Ini yang perlu kita sediakan

Iklan

Sumber: Umi Khlsom, Sistem Maklumat Faraid USM

Kredit foto utama: Image by Jasmin from Pixabay 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan