Gerunnya! Dr Malar dedah komplikasi teruk akibat tak makan ubat darah tinggi, ramai pula share pengalaman sama ahli keluarga

TEKANAN darah tinggi atau hipertensi adalah satu keadaan di mana tekanan darah pesakit melebihi tahap normal, iaitu lebih dari 140mmHg untuk sistolik dan lebih 80mmHg untuk diastolik.

Di Malaysia, penyakit ini bukan hanya dialami oleh mereka yang sudah berusia, tetapi kini semakin ramai golongan muda yang menderita akibat hipertensi.

Apa yang lebih menakutkan, ia boleh menjadi punca kepada kegagalan atau kerosakan organ seperti jantung, otak dan ginjal untuk berfungsi secara baik, lantas mengakibatkan risiko serangan jantung atau strok.

Seperti yang didedahkan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Dr Malar Santhi Santherasegapan, pesakit darah tinggi jika tekanan terlampau tinggi akan mengalami kecederaan organ dalaman.

Pesakit akan mengalami keadaan kritikal, mata tak boleh buka, dah tak sedar walaupun jantung masih berdegup dan masih bernafas dan tekanan darah sangat tinggi.

Dedahnya dalam satu perkongsian di Facebook baru-baru ini, Dr Malar menceritakan pengalamannya berdepan pesakit darah tinggi yang culas untuk makan ubat.

Baca juga Jangan bawa pulang penyakit ke kampung halaman. Pesanan padu Dr Malar yang perlu kita ambil berat

Dr Malar

Ceritanya pada satu malam, dia dan team menerima seorang pesakit yang mengalami muntah-muntah yang teruk, mata tertutup serta tangan dan kaki mengeras serta tiada respon bila dipanggil.

Apabila mengambil bacaan darah pesakit itu, didapati tekanan mencapai 250/120.

“Ini lain mcm je ni, mesti bukan kes muntah biasa. Memangg betul. Perlukan empat staf untuk keluarkan pesakit dan baringkan dia atas troli. Saya nampak dia langsung tak bukak mata. Tangan dan kaki keras. Panggil nama takde respond. Takde suara.

“Hanya ada bunyi seperti mengerang kesakitan. Nadi masih ada tapi lemah. Pesakit masih bernafas. Hadoi! Saya dah tahu ni, kami tolak masuk RedZone terus. Pasang BP cuff kat lengan, bacaan menunjukkan 250/120. Adui! Adui! Adui!!!

“Saya kira kadar kesedaran dia, Glascow Coma Scale dia 6/15. Sejurus selepas tu, pesakit sawan! Nightmare! Ini adalah nightmare bila kerja malam!

“Staf saya dah tak perlu diberi arahan, dia orang tahu apa nak buat. Sorang pasang 2 jarum besar, satu kat tangan kiri satu kat tangan kanan. Sorang lagi letak oxygen mask. Sorang lagi check gula dan masukkan darah dalam botol. Semua kerja jalan tanpa arahan. Semua kerja jalan serentak. Korang kira lah berapa jarum semuanya.

“Saya tanya sejarah sikit je kat ahli keluarga. Info yang saya dapat, akak ni umur dalam 40-an, memang ada tekanan darah tinggi lebih kurang setahun, tapi tak makan ubat. Pesakit tak suka makan ubat hospital katanya. Muntah muntah dan sakit kepala sejak petang, nampak lembik, dan ada cakap merapu sikit. Lebih kurang waktu Maghrib, dia jatuh terkulai kat dapur. Kurang dari dua minit je perbualan saya dengan keluarga.

“Saya terangkan keadaan pesakit kritikal, mata tak bukak, dah tak sedar walaupun jantung masih berdegup dan masih bernafas, dan tekanan darah sangat tinggi,” ujarnya.

Baca juga Celoteh fasih berbahasa Melayu, Dr Malar tak sangka dipilih muka depan majalah

Celoteh fasih berbahasa Melayu, Dr Malar tak sangka dipilih muka depan majalah

Jelas Dr Malar, keadaan itu dikenali sebagai Hypertensive Emergency. Tekanan darah yang sangat tinggi sampai organ dalaman cedera.

“Saya dapatkan “Verbal Consent” yakni persetujuan untuk melakukan prosedur intubasi iaitu prosedur untuk “tidurkan” supaya rawatan untuk pastikan dia bernafas dan jantung berdegup diberi dengan segera. Keluarga izinkan dengan keadaan penuh ketakutan,” katanya.

Katanya, pesakit diberikan Diazepam iaitu ubat untuk hentikan sawan, ubat pre intubasi, Fentanyl, Midazolam dan Rocuronium. Tiub pernafasan dimasukkan dalam tekak, atau lebih tepat, ke dalam trachea. Tiub tersebut disambung ke mesin ventilator dan oxygen disalurkan secara terus ke paru-paru. Mesin ventilator adalah pengganti kepada paru paru.”

“Ubat untuk stabilkan tekanan darah, iaitu Labetolol dimulakan dengan segera melalui jarum di tangan.Ubat pelali iaitu campuran Midazolam dan Morphine kat tangan satu lagi pula. Kedua dua ubat ni diberi secara infusion, iaitu secara berterusan. Korang kiralah berapa ubat ye! Ryles Tube iaitu tiub dari hidung ke perut dimasukkan untuk elakkan perut kembung. Tiub kencing juga dipakaikan dipakaikan. Tiub kat tekak masih berterusan. Korang kira lah berapa tiub ye,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, ujarnya lanjut pesakit juga akan dibuat CT Scan Brain (otak) yang mana proses itu memerlukan pesakit dipasang pelbagai mesin pada badan.

Iklan

“Macam macam mesin kena pasang kat patient, dan kena angkut sekali. Mesin ventilator, mesin pantau tekanan darah dan tahap oxygen, dan dua mesin pam ubat. Itu minimum! Korang kira lah berapa mesin! Ohh lupa plak.. Tangki oxygen pun kena tolak sekali, biasanya kami letak kat bahagian bawah katil. Kira lah berapa ye,” katanya.

Apa yang mengejutkan apabila pesakit itu disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Pedarahan yang besar menyebabkan bahagian otak kanan, tertolak ke kiri (midline shift).

Pesakit perlukan pembedahan segera untuk buang ketulan darah itu iaitu Craniotomy. Tengkorak kepala akan dibuka dan ketulan darah akan disedut dan dibuang. Pembedahan segera akan menyelamatkan nyawa. Tetapi adakah pembedahan boleh pulihkan tahap kesedaran dan fungsi otak pesakit. Adakah pesakit akan kembali normal atau terus lumpuh? Doktor tak boleh nak jawab.

Baca juga 3 dari 10 orang hidap tekanan darah tinggi, jangan berhenti makan ubat walau rasa sihat, garam & obesiti bukan satu-satunya punca

Jadi pengajarannya, pesan Dr Malar, bila anda tak suka makan sebiji ubat darah tinggi, silalah suka sukakan diri untuk diberi berlambak-lambak ubat ubatan seperti ini daripada anda dimasukkan tiub di tekaklah, di ataslah di bawahlah.

“Boleh kira sendiri berapa banyak ubat terpaksa diberi bila dah dalam kecemasan macam ni. Tak ke lagi senang kalau makan je ubat sebiji sehari tu. Entahlah.

Iklan

“Ajal maut memang di tangan Tuhan. Tapi bukan ke tanggungjawab setiap umat untuk menjaga kesihatan dirinya. Makan lah ubat mengikut nasihat doktor kalau tak nak ditolak ke dewan bedah seperti wanita di atas,” pesannya.

Posting tersebut menarik perhatian ramai sehingga mendapat lebih 12,000 likes dengan hampir 10k shares.

Menjengah ruangan komen, rata-ratanya dipenuhi dengan komen dari ahli keluarga dan sanak saudara pesakit yang berkongsi kisah peribadi mereka, bagaimana sikap tak suka makan ubat yang diberi doktor menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih tinggi.

Jelas Dr Malar, bukan ubat darah tinggi yang menyebabkan sakit buah pinggang. Tak makan ubat darah tinggi yang menyebabkan tekanan darah sangat tinggi dan itulah yang merosakkan buah pinggang.

Semoga kita semua dapat jaga kesihatan masing-masing dan ahli keluarga.

Baca juga “Handsome macam orang Jepun, terharu tengok siap berbaju Melayu & samping.’ Aaron Aziz sekeluarga terbang ke Jepun rai anak sulung tamat belajar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!