Inspirasi! Wanita pun boleh buat kerja lelaki, nenek 16 cucu angkat tong gas setiap hari demi rezeki

“SAYA terdetik untuk memulakan perniagaan ini selepas melihat adik saya mengusahakannya,”

Demikian perkongsian seorang wanita berusia 57 tahun memilih kerjaya menggunakan kudrat demi mencari rezeki.

Bukan calang-calang kudrat yang ada pada diri nenek ini apabila mampu mengangkat dan menghantar tong gas berisi petroleum cecair (LPG) dari rumah ke rumah hanya dengan menaiki motosikal demi kelangsungan perniagaan yang menjadi mata pencariannya sejak lebih 15 tahun lepas.

Saparisah Abdul Rahman berkata, tiada istilah rehat atau penat dalam kamus hidupnya untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan pekerjaan itu, yang lazimnya jadi ‘hak milik’ lelaki.

Ujarnya, kerjanya bukan sekadar menjual malah mengangkat, menghantar dan memasang tong gas di rumah pelanggan.

“Semasa mula berniaga pada 2004, memang rasa tidak yakin untuk angkat tong gas seberat 12 dan 14 kilogram, tapi lama-kelamaan jadi terbiasa walaupun sakit pinggang semua ada,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan II, Ipoh, Perak.

Nenek kepada 16 cucu yang juga selesa disapa Kak Zah itu berkata, dengan menggunakan motosikal, dia mampu membawa tiga tong gas pada satu-satu masa bagi memenuhi tempahan pelanggan di sekitar Taman Meru hingga Silibin dari kediamannya yang terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar raya.

Baca juga Alif Satar pernah diami flat Wangsa Maju, imbau kenangan zaman kecil, tak lupa asal-usul

Menurutnya, walaupun ramai sedia maklum bahawa mengangkat dan menghantar gas adalah pekerjaan lelaki, dia tetap memilih untuk memekakkan telinga dan terus melihat ke depan demi membantu keluarga.

“Apabila saya menghantar gas, ada yang tanya awak perempuan larat ke angkat tong gas. Saya senyum dah teruskan kerja. Zaman ini kita tidak boleh memilih kerja, asalkan halal dan ada minat kita buat sahaja.

“Sebelum ini, saya pernah kerja sebagai pembuat pasu di kilang di Jalan Kuala Kangsar, tetapi selepas kilang tersebut tutup saya rasa bosan dan ingin mencari rezeki bagi membantu suami,” katanya.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, dia memilih untuk berniaga gas kerana dapat menikmati gaji secara harian.

Iklan

“Sehari saya dapat jual 30 hingga 40 tong gas, paling banyak 50 tong. Saya seronok kerana dapat duit tunai setiap hari untuk dijadikan modal pusingan. Jika kerja kilang, perlu tunggu sebulan baru dapat duit,” ujarnya.

Baca juga ‘Contoh terbaik pemimpin Islam.’ Anniversary ke-37, Agong, Permaisuri sambut dengan doa selamat, bacaan Yasin

Menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang berniaga, Saparisah berkata, antara yang menyedihkan apabila stor penyimpanannya kerap dipecah masuk dan banyak tong gas dicuri.

“Satu tong gas RM128, mungkin bagi orang lain nilai itu tidak seberapa tapi bagi peniaga kecil seperti saya ia mahal dan terpaksa tanggung kerugian,” katanya.

Iklan

Moga kisah wanita ini dapat memberi inspirasi kepada anak muda berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki halal.

Baca juga Anak Malaysia kini di mata dunia, Aqil Zulkiflee Favourite Asian Creator, Nickelodeon Kid’s Choice Award 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, InstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.