DILAHIRKAN tanpa lengan tidak sedikitpun membuatkan Muhammad Zulkifli Nordin lemah semangat, bahkan kekurangan itu dijadikan kelebihan untuknya merealisasikan impian demi membahagiakan kedua ibu bapa tercinta.

Kata Muhammad Zulkifli yang mesra disapa Zul, kedua-dua kakinya kini menjadi kekuatan diri.

Dengan pancaindera yang ada, pemuda berusia 25 tahun itu berkata, beliau menguruskan diri sendiri termasuk makan atau bermain sejak berusia empat tahun tanpa bantuan sesiapa.

Zulkifli Nordin

Lebih mengagumkan, Zul yang merupakan Penyelaras Teknologi Maklumat Dun Paloh, Gua Musang, Kelantan itu juga tidak canggung menggunakan komputer dengan ibu jari kakinya.

Akui pemuda hebat tersebut, beliau berkebolehan mengetuk papan kekunci dengan laju bagi menyiapkan dokumen yang diminta setiap hari tanpa gagal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Saya sudah biasa menaip menggunakan ibu jari kaki sejak sekolah menengah lagi. Jadi, tiada masalah untuk saya bekerja seperti orang lain.

“Cuma ketika ini, impian saya untuk belajar memandu belum dapat direalisasikan. Jika dapat lesen, ini bermakna saya boleh berdikari 100 peratus. Sekarang ini masih bergantung dengan orang untuk ke mana-mana,” katanya.

Zulkifli Nordin

Tatkala berkongsi cerita mengenai zaman kanak-kanaknya, anak ketujuh daripada lapan beradik itu tergelak kecil sebelum memulakan bicaranya.

Gayanya bercerita menggambarkan keterujaannya untuk berkongsi momen indah yang masih terpahat di dalam sanubari.

Baca juga Gadis tiada lengan pun berdikari, pandu kereta sendiri

“Pada masa itu, semua keupayaan tangan digantikan dengan kaki. Mulanya memanglah kekok tiada tangan untuk bermain sepak takraw dan bola sepak, namun saya tidak patah semangat untuk terus belajar.

“Alhamdulillah, saya mendapat kawan yang baik dan ia adalah satu rezeki hebat kurniaan-NYA. Kalau tidak mampu tunggang basikal sekalipun, saya akan jadi pembonceng dan kami akan bermain bersama-sama. Bak kata orang, kalau berkubang, saya ikut sekali berkubang,” katanya sambil tergelak kecil.

Zulkifli Nordin

Apabila ditanya pernahkah berdepan pengalaman diejek dan dibuli ketika di sekolah? Zul yang juga perunding hartanah sambilan itu mengakui, semua liku yang dilalui membuatkannya menjadi lebih cekal.

“Tipulah kalau kata tak terkesan dengan semua ejekan yang dilemparkan, namun saya berpegang teguh kepada kata emak dan ayah. Hari-hari mereka titipkan doa dan kata-kata semangat mereka yang membuatkan saya kalis dengan semua cercaan tersebut.

Baca juga Angkut meja lipat guna leher dan dagu, pemuda tanpa lengan ini gigih cari rezeki halal

“Alhamdulillah, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya menerima tawaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak peringkat diploma, meskipun ketika itu sudah sebulan mengikuti kelas tingkatan 6,” kata pemuda yang masih bujang itu.

Iklan

Survival

Penulis berfikir sejenak. Agaknya bagaimana Zul boleh survival dengan kekurangan dirinya semasa berada di kampus dulu?

Bagaimana pula dengan penerimaan pelajar-pelajar lain yang sama-sama mengikuti jurusan Pengurusan Hartanah dengannya? Seperkara, jarak geografi antara kampung halaman juga jauh.

Zulkifli Nordin

Jawabnya: “Memang masa itu, hati berat sangat nak pergi, namun sekali lagi, dorongan emak dan ayah membuatkan saya kuat. Saya bersyukur, sebaik tiba di sana pihak pengurusan UiTM banyak membantu dan kawan-kawan pun sporting.

“Mereka banyak memudahkan saya sepanjang lima tahun di UiTM. Disebabkan itu, saya juga  turut menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah di universiti sama.”

Bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, anak kelahiran Gua Musang, Kelantan itu juga aktif dalam bidang sukan dan berjaya menempah tempat sebagai atlet Para Sukma untuk pasukan negeri Perak dan Kelantan.

Iklan

“Pengalaman dan bakat bermain sepak takraw sehingga dapat mewakili sekolah rendah dan menengah, membuatkan saya terus aktif bila belajar di UiTM.

Zulkifli Nordin

“Sayangnya disebabkan PKP sebelum ini, festival sukan tersebut terpaksa ditunda termasuk semua acara yang saya sertai iaitu lari pecut 100 meter (m), 200m dan lompat jauh,” ujarnya yang pernah menawan Bukit Keluang, Besut, Terengganu setinggi 141 meter pada tahun lalu.

Tidak mahu rakan senasib terus dilanda tekanan dan kemurungan disebabkan dugaan hidup yang semakin mencabar, jejaka ramah itu tidak ketinggalan berkongsikan kata-kata azimat.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Jangan anggap kekurangan hakiki ini sebagai satu kelemahan. Jadikan ia sebagai titik kelebihan dalam diri supaya kita boleh maju ke hadapan. Jangan juga sesekali anggap diri ini sudah cukup teruk dan menyalahkan takdir.

“Sebenarnya, ada insan yang lagi getir ujiannya berbanding kita. Sebagai insan istimewa yang masih lagi mampu bekerja dan berdikari, seharusnya kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan ALLAH. Jangan patah semangat kerana rezeki tidak pernah salah alamat,” nasihatnya.