DI sebalik bah yang melanda di Taman Seri Muda tersembunyi pelbagai kisah yang menyentuh hati.

Biarpun telah pun surut, selut dan lumpur juga sudah dicuci, namun memori terlibat banjir paling buruk dalam sejarah tetap menjadi momen yang tidak dapat dilupakan.

Kisah penduduk Taman Seri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, Eda Zainol, 34, mengimbas kembali perjalanannya menyelamatkan diri bersama ibu, kakak dan anak-anak yang masih kecil benar-benar membuatkan dada penulis sebak.

Disebalik musibah itu, para penduduk saling membantu menghulurkan bantuan dalam menyelamatkan diri dan keluarga.

“18 Disember 2021, cerita di sebalik besen hijau.

“Terima kasih kepada Mirul dari Neynon Tomyam yang berbesar hati meminjamkan kami besen hijau ini waktu meredah banjir tempoh hari,” titipnya di Facebook.

RUMAH MULA DINAIKI AIR

Eda menceritakan detik-detik air yang mula naik di kawasan kediamannya di Jalan Lunak 1, Taman Seri Muda.

Sepanjang tempoh 12 tahun menetap di Taman Seri Muda, Eda memberitahu rumah teres setingkatnya tidak pernah dinaiki air kecuali dalam kejadian bah baru-baru ini.

Hujan tidak yang turun sejak Khamis, 16 Disember tidak tidak menunjukkan tanda untuk berhenti walaupun lebih 48 jam membasahi bumi.

“Menjelang 3 petang, air di lubang tandas (manhole) mula melimpah. Manakala pada jam 6 petang air di dalam rumah berada di paras lutut.

“Tiada lagi tempat untuk kami duduk di dalam rumah. Sofa dan katil sudah basah.

“Justeru, setelah dihubungi suami yang sedang bekerja, saya mengambil keputusan mula mengemas pakaian untuk meninggalkan rumah.

“Kebetulan malam sebelumnya, ibu dan kakak tidur di rumah.

“Jadi saya, empat orang anak iaitu Faris, 12, Darwisy, 10, Marissa, 6, Adreena, 5, kakak dan emak sama-sama keluar dari rumah.

“Kami berjalan kaki bertujuh menuju ke rumah keluarga di Seksyen 24 dengan berjalan kaki,” katanya.

Eda bersyukur kerana mengambil keputusan meninggalkan rumah lebih awal kerana dimaklumkan ramai yang tinggal di kejiranannya terkandas.

KISAH BESEN HIJAU

Dalam menyelamatkan diri berjalan kaki mengharungi air bersama famili sejauh 10km, mereka sempat berhenti di sebuah kedai tomyam.

Air mula naik ke paras pinggang, jadi mereka meminta plastik bagi membungkus peralatan seperti telefon bimbit agar tidak basah.

Dia juga turut meminta pemilik kedai tomyam meminjamkan besen berwarna hijau untuk meredah banjir.

Baca juga: Ajaibnya Laungan Azan, Rumah Lelaki Ini Tak Dimasuki Air Banjir. “Ia Hanya Lalu, Tidak Masuk Rumah.”

“Semasa meredah banjir di hadapan Neynon Tomyam, Adreena mula tenggelam.

“Alhamdulillah, asbab dia pinjamkan besen itu Adreena selamat. Beg-beg kami yang berat juga turut dimuatkan di dalam besen itu,” titipnya.

Ia adalah momen yang tidak dapat dilupakan wanita itu. Seumur hidupnya belum pernah berhadapan situasi banjir sebegitu mencemaskan, mengharung air pada paras pinggang.

“Kenangan yang tidak dapat saya lupa meredah banjir, berjalan kaki selama 3 jam setengah sejauh 10 kilometer untuk menyelamatkan diri.

“Saya memastikan keluarga berjalan di tengah-tengah jalan raya bagi mengelakkan longkang besar,” katanya.

HATI SAYU LIHAT ANAK

Eda juga bersyukur anak-anaknya juga kuat meneruskan perjalanan jauh itu.

Iklan

Selepas tiba di rumah emaknya, dia sayu melihat keempat-empatnya anaknya tidur keletihan selepas menempuhi perjalanan jauh, meredah air banjir dalam hujan.

“Terima kasih kakak dan mama yang ada ketika itu, ketika suami sedang bekerja.

“Kalau mereka tiada, entah ke mana kami ketika itu. Allahuakbar, sebak.

“Syukur Ya ALLAH masih pinjamkan kami nyawa,” luah Eda.

Baca juga: Baucar RM1,000 Untuk Rosak Total, Kemudahan, Diskaun Baik Pulih Kenderaan Mangsa Banjir, 5 Fakta Perlu Tahu

Dia bagaimanapun hanya sempat menumpang di rumah ibunya hanya beberapa jam sebelum kediaman itu turut dinaiki dan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Sekolah Rendah Seksyen 24.

PERABOT, PERKAKAS ELEKTRIK ROSAK

Iklan

Eda turut memberitahu susulan banjir, kelengkapan rumahnya mengalami rosak kekal susulan ditenggelami air lima hari hampir ke paras siling.

Perabot semuanya menjadi kembang, tidak lagi boleh digunakan manakala peralatan elektrik turut rosak.

Apabila ditanya mengenai trauma susulan bencana banjir, wanita itu mengakui rasa cemas apabila hujan turun.

“Tidak dinafikan kini saya rasa cemasapabila hujan turun. Mulalah nak periksa longkang dan lihat paras air. Bimbang kejadian rumah dinaiki air ini berulang,” katanya.

Kisah seumpama ini mungkin turut dilalui keluarga-keluarga lain. Bertarung nyawa menyelamatkan diri dan keluarga.

Moga pemulihan pasca banjir membawa seribu semangat dan rahmat.

Baca juga: Baucar RM1,000 Untuk Rosak Total, Kemudahan, Diskaun Baik Pulih Kenderaan Mangsa Banjir, 5 Fakta Perlu Tahu

Baca juga: Sukarelawan Meninggal Tika Menabur Bakti Dalam Ops Banjir, Pemergian Dicemburui Hari Jumaat

Jangan lupa follow kami di Instagram!