ENAM tahun berlalu, namun tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur masih segar di ingatan rakyat Malaysia.

Peristiwa hitam pada 14 September 2017 itu amat memilukan apabila 21 orang pelajar dan dua orang guru terbunuh, manakala empat lagi penghuni mengalami kecederaan serius.

Dalam sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, suspek-suspek dipercayai bertindak membakar pusat tahfiz tersebut akibat dendam.

Kredit foto: Bernama

Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan seorang lelaki yang berdepan tuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu, kekal dilepas dan dibebaskan.

Manakala, seorang lagi lelaki mahkamah telah memutuskan kekal di penjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan sama.

Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, memutuskan keputusan itu secara sebulat suara.

Panel hakim itu menolak rayuan lelaki itu selaku perayu pertama untuk bebas daripada semua pertuduhan.

Hakim Che Mohd Ruzima yang membacakan keputusan, berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kuat dan menuding kepada satu arah iaitu remaja berkenaan telah memanjat belakang pagar sekolah berkenaan bersama-sama dengan seorang lagi yang tidak dikenal pasti untuk menyebabkan kebakaran di sekolah tersebut iaitu 23 orang terkorban.

Baca juga: Masih bawah umur, kakak tidak sengaja tikam adik bebas dengan jaminan, berikut kronologi sebenar kejadian

Kredit foto: AFP

Beliau berkata tiada sebab bagi mereka untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi.

Pemuda itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berusia 16 tahun ketika kejadian itu bersama seorang lagi individu yang tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Baca juga: Bunuh ketua jururawat, warga Nigeria terlepas tali gantung, berikut kronologi kes menyayat hati

Kredit foto: Freepik

Menyingkap kembali tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pernah menggemparkan negara, berikut kronologinya yang menyayat hati:

1-Api kebakaran dikatakan bermula di tingkat dua dan ketiga bangunan madrasah tersebut.

2-Selepas itu, api tersebut merebak dengan cepat ke seluruh bangunan sehingga menghalang satu-satunya pintu masuk dan menyebabkan penghuni-penghuni madrasah tersebut terperangkap sehingga tidak dapat menyelamatkan diri.

3-Tingkap di bangunan tersebut dipasang jeriji menyukarkan kebanyakan penghuni untuk menyelamatkan diri.

4-Saksi-saksi berdekatan melaporkan mereka terbangun pada awal waktu Subuh setelah terdengar tangisan mangsa terperangkap di dalam bangunan madrasah berkenaan dan cuba menyelamatkan namun tidak dapat berbuat demikian kerana api merebak dengan pantas.

Baca juga: Kisah Siti Hajar didera keluarga sampai mati, berat hanya 18kg, pelaku terlepas tali gantung, dipenjara 40 tahun

Kredit foto: Bernama

5-Penghuni yang terselamat pula dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat terus ke atas tanah sementara yang lain pula melalui saluran paip air pada bangunan tersebut.

6-Api kebakaran akhirnya berjaya dipadamkan oleh pihak bomba pada kira-kira jam 6.40 pagi.

7-Mangsa terdiri daripada 21 penghuni yang berusia enam hingga 16 tahun. Dua orang guru yang turut gugur ialah Ustaz Mohd Yusuf Md dan ustaz Mohd Amrul Nizam Sakarno.

8-Siasatan awal dijalankan pihak bomba dan polis mengatakan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas.

9-Namun, selepas siasatan penuh dilakukan dan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdekatan diteliti, beberapa orang suspek telah dikenal pasti menceroboh kawasan bangunan PPIM sebelum ke kawasan madrasah tahfiz tersebut yang bersebelahan pada pukul 3.10 pagi.

Baca juga: Tiada lagi hukuman mati mandatori di Malaysia, 11 fakta mengenainya

Kredit foto: AFP

10- Melalui rakaman CCTV lain yang diambil dari lima buah stesen minyak terdekat pula, terdapat kelibat dua orang lelaki mencurigakan menaiki motosikal membeli petrol pada jam 1.30 pagi iaitu beberapa jam sebelum pusat tahfiz berkenaan terbakar.

11-Pada 16 September 2017, tujuh orang suspek berusia 11 hingga 18 tahun dikenal pasti terlibat dengan kebakaran tersebut ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Iklan

12-Menurut satu sidang khas oleh Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, suspek-suspek dipercayai bertindak membakar pusat tahfiz tersebut akibat perasaan dendam yang muncul daripada insiden ejek-mengejek.

13-Menurut beliau, enam daripada tujuh orang suspek disahkan positif dadah manakala dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri kenderaan.

14-Pada 21 September, bomba mengesahkan kebakaran berpunca daripada perbuatan sengaja.

15-28 September 2017, dua orang remaja berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh.

16-Pada 30 Januari 2018, dua remaja berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi.

17-Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Baca juga: Kronologi pembunuhan kejam baby Zara, suami pengasuh ke tali gantung

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

18-Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Iklan

19-Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan.

20-Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

21-Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

22-Pada 21 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mendengar rayuan penama pertama yang didapati bersalah membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan rakannya yang dinamakan sebagai penama kedua.

Sumber: Bernama 1, 2

Kredit foto: Bernama, AFP

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

angan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!