AIR mata kegembiraan Francisca Luhong James tumpah membasahi pipi tatkala namanya diumumkan memenangi gelaran Miss Universe Malaysia 2020 pada awal September lalu.

“Sukar untuk menterjemahkan perasaan saya ketika itu (hari kemenangan). Terkedu, sebak dan teruja semuanya hadir serentak, namun saya bersyukur dengan hadiah istimewa tersebut.

“Pun begitu, di sebalik rasa manis yang dialami secubit kebimbangan turut menerpa memandangkan tugas saya semakin bertambah,“ luah beliau yang mesra membahasakan dirinya Fran ketika ditemui SinarPlus di pejabat Organisasi Miss Universe Malaysia di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu.

Sayap tanggungjawab wanita berketurunan Orang Ulu Kayan-Kenyah sebelah bapa dan Iban (sebelah ibu) itu kini bukan sahaja membawa nama baik, bahkan menjadi suara Malaysia di peringkat global.

francisca luhong
FRANCISCA mengagumi keunikan diversiti budaya di negara ini. Lihat sahaja dua penampilan berbeza beliau persis Cik Siti Wan Kembang (kiri) menggayakan busana Rizman Ruzaini dan blaus Pua Kumbu fabrik tradisional Sarawak koleksi Datuk Aaron Von Jolly.

“Justeru, apa sahaja dilakukan selepas ini, perlu mengambil kira pelbagai aspek. Paling penting perkara atau usul yang dikongsi membawa manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Salah satu daripadanya adalah untuk melaksanakan manifesto memperjuang dan memartabatkan kuasa wanita Malaysia dalam semua bidang ke peringkat lebih tinggi.

“Hakikatnya, golongan wanita juga mampu berdiri sama hebat dan setara lelaki dalam merencanakan pelbagai agenda negara, asalkan kami diberi ruang dan peluang,“ tutur beliau yang mengagumi sifat kepimpinan pemimpin wanita antaranya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menggali zaman remajanya, anak sulung daripada tiga beradik itu menyifatkan penampilan beliau dulu dan kini adalah berbeza.

Ketika di sekolah menengah, selain terlibat dalam badan beruniform Pandu Puteri dan pengakap, anak kepada pasangan James Bungan dan Pauline Japok berkenaan juga aktif bermain bola baling.

“Saya seorang yang lasak. Tak pandai menyarungkan gaun, apatah lagi bersolek. Kulit pun gelap sebab selalu berlatih sukan di bawah cahaya matahari.

“Bukan itu sahaja, saya juga lebih selesa mendaki dan berkhemah di dalam hutan berbanding melakukan aktiviti wanita (ketawa),“ ungkap Francisca yang turut memberitahu, menerima pelawaan menjadi model oleh seorang jurusolek ketika beliau berusia 18 tahun.

Ujar beliau, pada peringkat awal dalam bidang peragaan, perasaan malu menguasai diri, namun kelemahan itu dapat diatasi sedikit demi sedikit sebaik sahaja melanjutkan pengajian di menara gading.

Jasa UiTM Lendu

francisca luhong
SELAIN badan beruniform pengakap dan pandu puteri, wanita Bumi Kenyalang ini turut menyifatkan UiTM Lendu, Melaka ‘guru’ terbaik mendidik beliau menjadi individu berani dan berdikari.

“UiTM (Universiti Teknologi Mara) cawangan Lendu, Melaka guru terbaik. Di sanalah, saya kenal erti berdikari kerana buat pertama kalinya meninggalkan keluarga dan menjejakkan kaki ke Semenanjung.

“Di sana jugalah saya belajar cara meningkatkan keyakinan diri, teknik komunikasi dan bergaul bersama rakan seperjuangan yang datang dari pelbagai pelusuk negeri,“ kata pemegang Ijazah Perhubungan Awam itu.

Bicara Francisca, peluang bergelar penuntut di universiti berkenaan menghadirkan hikmah tersendiri. Ibarat peribahasa lama, jauh perjalanan, luas pengalaman.

“Mungkin sebelum ini kehidupan saya hanya dikelilingi pengetahuan tentang kepelbagaian etnik di Sarawak. Bagaimanapun, kecenderungan itu berubah apabila berada di sini (Semenanjung). Saya mula obses mengenali tentang sejarah kesultanan dan hikayat Melayu di setiap negeri.

“Kisah Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita Kelantan cukup memikat hati saya. Beliau mempamerkan kekuatan kaum Hawa yang mampu menguruskan negeri dengan baik,“ jelas Francisca yang turut menyarankan rakyat Malaysia agar membuang sifat kenegerian.

Tuturnya lagi, sepatutnya Hari Malaysia ke-57 yang disambut pada 16 September lalu telah memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia era moden agar rasisme kaum atau etnik tidak lagi wujud.

“Kenapa perlu bersikap rasis? walhal kita dilahirkan di bawah bumbung yang sama bernama Malaysia. Lebih baik rakyat saling menghormati antara satu sama lain.

“Pada masa sama, menghargai keunikan diversiti etnik dan budaya di negara ini. Lagipun jika berada di luar negara, kita akan memperkenalkan diri dari Malaysia berbanding menyebut nama negeri kelahiran,“ tegas beliau.

Selepas menyandang gelaran Miss Universe Malaysia 2020, pastinya nama Francisca akan mula dikenali di peringkat antarabangsa, apatah lagi beliau bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe 2020 yang belum diumumkan lokasi dan tarikh berikutan pandemik Covid-19.

Justeru, penulis cuba mengusik, bagaimana dengan rutin pulang ke kampung halaman selepas ini, adakah ia tetap menjadi keutamaan?

Mendengar sahaja soalan tersebut, pencinta rona biru dan merah jambu itu pantas membutirkan kata-kata:

“Semestinya saya akan pulang ke Sarawak, walau terpaksa berdepan kekangan masa. Lagipun ibu, ayah, adik-beradik dan saudara-mara semua berada di sana (Sarawak).

Iklan

Ingat asal usul

“Formula kehidupan saya mudah. Walaupun setinggi mana kita terbang atau sejauh mana kaki melangkah, jangan sesekali melupakan asal usul kerana akar umbi inilah yang membentuk jati diri saya pada hari ini,” katanya penuh bangga.

Bercerita lanjut, Francisca yang berhijrah sendirian di kota raya Kuala Lumpur turut memberitahu, ironinya sukar untuk beliau membuang keutuhan cinta terhadap budaya etnik yang mengalir likat dalam diri.

Masakan tidak, sejak kecil beliau dan kanak-kanak perempuan di Sarawak lazimya akan menerima hadiah istimewa daripada ibu mereka.

francisca luhong
FRANCISCA (dua dari kiri) yang dilahirkan di Kuching, Sarawak gembira apabila perjalanannya di pentas ratu sentiasa mendapat sokongan keluarga tersayang.

“Bukan anak patung, sebaliknya kami diberikan busana tradisional warisan peninggalan nenek moyang. Amalan turun-temurun ini adalah untuk memastikan generasi muda sentiasa mengingati asal usul etnik masing-masing.

“Saya masih simpan kostum, walaupun warna dan materialnya semakin pudar, namun tak mengapa kerana selepas ini baju berkenaan akan diserahkan kepada anak perempuan saya pula,“ jelas beliau yang sempat menzahirkan kerinduan untuk melawat sepupu dan saudara-mara di Rumah Panjang Sungai Asap, Bintulu (sebelah bapa) dan Rumah Panjang Sungai Poi di Kanowit (sebelah ibu).

Tutur wanita setinggi 175 sentimeter tersebut, acap kali pulang ke kampung, beliau antara individu yang paling gembira.

Keterujaan itu bukan sekadar berpeluang berkumpul dan menjamu selera beramairamai, bahkan perjalanan yang memakan masa lebih sehari mencipta momen tersendiri.

Iklan

“Bayangkan, untuk menyambut Hari Gawai di kampung ibu misalnya, kami perlu memandu kereta dari Kuching ke Sibu selama tujuh jam. Kemudian, akan bermalam pula di rumah saudara sebelum meneruskan pemanduan ke Kanowit pada keesokan harinya.

“Tiba di sana (Kanowit), kami beralih menaiki perahu panjang enjin sangkut selama dua jam. Pun begitu, cepat atau
lambat tiba di Rumah Panjang Sungai Poi adalah bergantung keadaan cuaca.

“Menariknya, dua jam berada di atas perahu sedikit pun tak terasa kerana kami sekeluarga menggunakan kesempatan itu untuk berbual dan bercanda.

“Pada masa sama, bertegur sapa dengan para penduduk yang tinggal di sepanjang sungai,“ imbas Francisca.

Bagaimanapun, wanita yang gemar menikmati umai ini menyifatkan, suasana itu kian berubah sejak dua menjak ini.

Ia berikutan perjalanannya ke kampung halaman semakin mudah tanpa perlu menaiki perahu susulan jalan raya yang menghubungkan jaringan Kuching dengan daerah desanya siap dibina.

“Banyak Infrastruktur seperti jalan raya dan internet di Sarawak dipertingkatkan demi pembangunan negeri dan
manfaat kepada rakyat khususnya mereka yang tinggal di luar bandar,“ katanya menutup bicara.

Foto: Ihsan Organisasi Miss Universe Malaysia dan Instagram @francisca.luhong