Mulianya hati, 2 hari bertarung nyawa, lelaki dirempuh ketika bantu pengantin accident meninggal dunia. Berikut kronologi kemalangan maut
KEMALANGAN maut yang melibatkan pengantin baru, Norsyam Nasullah Rahim, 23, sungguh menyayat hati. Apatah lagi apabila perkahwinan beliau dan isteri, Aini Hayati Mohd Radzi, 22 baru berusia sehari.
Dalam kemalangan tersebut, Norsyam meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri.
Lebih memilukan, kemalangan tersebut turut mengorbankan seorang pengguna jalan raya, Mohd Azizi Faez Mohamad Alias, 33.
Dalam kejadian pada 10 malam itu, beliau dikatakan cuba membantu mangsa kemalangan tersebut, namun cedera parah selepas dilanggar kenderaan jenis Nissan Almera.
Berikut kronologi kejadian yang meragut nyawa:
1-Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berlaku di Batu 3, Jalan Bernam dari arah Kuala Selangor menghala Tanjong Karang, Sabak Bernam.
2-Pasangan pengantin baharu itu dipercayai menghala ke Kuala Lumpur bagi urusan pemulangan baju pengantin yang dipakai semasa majlis akad nikah dan perkahwinan mereka pada Sabtu.
3-Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa. Allayarham Mohd Azizi ketika itu memandu dari arah Teluk Intan menghala Klang tiba di tempat kejadian menyaksikan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki suami isteri berkenaan dalam keadaan terbalik.
4-Beliau memarkir keretanya jenis Toyota Yaris berdekatan pembahagi jalan untuk membantu pasangan terlibat keluar daripada kenderaan.
5-Namun tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Almera melanggar mangsa menyebabkannya tercampak di atas jalan.
6-Susulan hentaman, lelaki itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
7-Imbasan CT menunjukkan tengkorak bahagian belakang kepala pecah manakala tulang hidung patah serta otak membengkak.
8-Selepas dua hari bertarung nyawa, Mohd Azizi menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.22 petang.
Mulianya hati beliau cuba menyelamatkan mangsa kemalangan walaupun akhirnya meragut nyawa.
Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak berusia tiga tahun. Takziah buat keluarga Mohd Azizi Faez Mohamad Alias dari team SinarPlus, al-Fatihah.
Baca juga: Sekelip mata terbaring atas jalan raya cerita suami, ini kronologi kejadian maut ragut 9 beranak
Baca juga: Kronologi kemalangan maut ibu & empat anak, remaja tak sangka Aidilfitri lalu momen terakhir bersama
Baca juga: Kereta boleh terbakar selepas kemalangan, 5 perkara ini jadi punca
Baca juga: Pengalaman ngeri, kereta baru overhaul terbakar rentung 100 peratus, Roy Azman & keluarga selamat
Buat pengguna jalan raya yang ingin membantu mangsa kemalangan, anda boleh melakukan lima langkah berikut yang dipetik dari Hello Doktor:
#1. Penunggang motosikal perlu berhenti terlebih dahulu.
Sebagai penunggang motosikal, anda adalah orang pertama yang perlu dan boleh berhenti untuk hulurkan bantuan. Ini kerana saiz kenderaan yang kecil memudahkan anda untuk berhenti segera.
Cuma, letakkan motosikal anda secara menegak dengan lampu belakang dihalakan ke belakang. Kemudian, nyalakan lampu hazard pada jarak lebih kurang 10 meter supaya tidak menyusahkan pengguna lain.
#2. Pemandu kereta boleh berhenti mengikut situasi
Sebagai pemandu kereta, anda tidak disarankan untuk berhenti di jalan raya yang sesak kerana ia akan menambahkan situasi akibat kemalangan.
Namun, jika kawasan tersebut lengang dan anda adalah saksi utama kejadian tersebut, anda patut berhenti untuk membantu. Cuma, letakkan kenderaan di tempat yang selamat dan pasang reflektor segi tiga.
#3. Ingat dan catat informasi kemalangan
Ini adalah perkara yang anda perlu utamakan sekiranya ingin membantu apa-apa kes kemalangan jalan raya kerana ia bakal menjadi bukti siasatan kelak. Ingat atau catat perkara berikut:
-Nombor plat kenderaan yang terlibat
-Ciri-ciri kenderaan yang terlibat
-Lokasi kejadian berlaku
-Punca kejadian berlaku
-Butiran peribadi mangsa dan suspek kejadian
#4. Periksa individu yang terlibat dalam kemalangan
Sesiapa sahaja yang terlibat dalam kemalangan, pasti akan panik, terkejut, menjerit, menangis atau meracau akibat kecederaan yang dialami. Jadi, periksa dan tenangkan mangsa atau suspek dengan mengatakan bantuan sedang dalam perjalanan!
#5. Hubungi talian kecemasan 999
Kadang-kadang kita mesti terkeliru nombor talian kecemasan terutamanya ketika sedang panik, bukan? Jadi, dail sahaja 999 – nombor talian kecemasan paling umum.
Jelaskan lokasi kemalangan kepada operator dengan terperinci agar mereka mudah dan cepat sampai ke lokasi kejadian. Selain itu, terangkan kepada operator keadaan individu yang terlibat.
#6. Hulurkan bantuan kepada mangsa
Sekiranya anda seorang pakar. Jangan cuba menghulurkan bantuan yang bakal memudaratkan mangsa. Sebaiknya, tanya dahulu anggota mana yang dirasakan sakit.
Minta mangsa menggerakkan tubuh badan dan cuba bangun dengan perlahan. Jika boleh bangun dan berjalan, beralih ke tempat yang lebih selamat dan tunggu bantuan tiba.
Jika kelihatan teruk dan mangsa tidak boleh bergerak atau tidak sedar, jangan sentuh apa-apa kerana ia mungkin akan mengeruhkan keadaan. Cuma, ada bantuan asas yang boleh dibuat:
-Jika boleh, longgarkan topi keledar, baju atau seluar mangsa.
-Jika boleh, tanggalkan kasut dan sarung kaki atau sarung tangan mereka.
-Berikan air untuk memastikan mangsa tidak kehausan.
-Teduhkan mangsa dengan payung atau apa-apa sahaja objek yang boleh halang sinaran cahaya matahari.
-Kipaskan mangsa dengan surat khabar atau apa-apa sahaja objek.
-Tutupkan mangsa dengan kain, kertas atau plastik sekiranya telah meninggal dunia.
Namun, ini semua bukan perkara yang wajib dilakukan. Jika anda berasa ragu-ragu dengan keadaan mangsa, jangan sentuh mereka dan tunggu sehingga bantuan tiba!
#7. Laporkan kepada pihak berkuasa berkaitan kemalangan
Akhir sekali, laporkan kejadian kemalangan ini kepada pihak berkuasa. Selepas mangsa dan suspek dibawa ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan, anda boleh ke balai polis untuk membuat laporan polis.
Maklumkan segala informasi kejadian yang anda tahu kepada mereka. Mungkin ia agak melecehkan, namun ketahuilah bahawa perbuatan anda ini akan banyak membantu mangsa. Anda pasti mahu menjadi rakyat Malaysia yang betul-betul prihatin, bukan?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang