Pergi umrah bersama anak kecil, wanita ini kongsi tip, persediaan ibu bapa perlu buat

A
A
A

MENUNAIKAN ibadah umrah bersama anak-anak yang masih kecil tentunya berbeza berbanding bersama pasangan dan juga keluarga. Anak-anak yang masih kecil tentunya memerlukan perhatian terutama dalam menguruskan keperluan dan kerenah mereka.

Menerusi hantaran dilaman Facebooknya, Nik Fatma Amirah berkongsi tip persiapan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa yang ingin membawa anak-anak yang masih kecil pergi menunaikan umrah. Persiapan tersebut merangkumi di Malaysia sebelum menunaikan umrah dan juga ketika berada di Makkah dan Madinah.

Baca juga: Senyap-senyap pergi umrah, kesederhanaan Lisa dan Yusri dikagumi peminat

Menurut wanita ibu kepada dua orang cahaya mata ini, beliau menasihatkan agar ibu bapa jangan takut untuk membawa anak-anak menunaikan umrah. ALLAH akan membantu hamba-NYA yang sentiasa berfikiran positif.

“Alhamdulillah, syukur saya bersama suami, Ustaz Usaid Subki menunaikan umrah bersama dua orang anak kami iaitu Umar, 4 tahun dan Ulya, 2 tahun. Tentu bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil tertanya-tanya bagaimana hendak menguruskan anak-anak ketika menunaikan umrah. Moga panduan yang saya kongsikan ini bermanfaat kepada semua ibu bapa,” jelasnya.

Baca juga: Jangan biadab depan ALLAH, PU Rahmat gesa pengasas produk kosmetik minta maaf, promosi depan Kaabah

PERSIAPAN SEBELUM BERTOLAK

Antara beberapa persiapan yang boleh dibuat di Malaysia sebelum bertolak menunaikan umrah:

1. Ambil suntikan

Sebelum berangkat pastikan ibu ayah dan anak-anak ambil vaksin Meningococcal. Digalakkan juga mengambil vaksin pneumococcal dan vaksin influenza. Boleh ambil di klinik yang berdekatan. Salah satu usaha supaya ALLAH lindungi daripada penyakit.

2. Latih anak ke masjid

Antara persiapan yang kita boleh buat juga adalah dengan latih awal-awal anak-anak ke masjid. Bawa mereka bersama sewaktu solat lima waktu. Ini supaya mereka tidak kekok semasa berada di sana nanti.

3. Bina minda anak-anak sejak dari awal

Penting untuk ibu bapa bina minda yang positif pada anak-anak. Sebagai contoh, sebulan sebelum pergi, saya selalu beri tahu Umar, "Umar, nanti kita akan pergi Makkah dan Madinah", kita akan solat, baca al-Quran, bersedekah di sana.”

Walaupun Umar tidak fokus atau masih belum bayangkan apa-apa, tapi Insya-ALLAH membantu untuk dia bersedia. Membina minda sejak dari awal sangat penting.

4. Buat aktiviti atau bacakan buku berkenaan Makkah dan Madinah sebagai persediaan awal

Alhamdulillah saya beli dan guna buku aktiviti Madinah dan Makkah. Saya buat dengan Umar aktiviti dalam buku tersebut. Tampal pelekat Kaabah, Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan sebagainya. Ini penting supaya dia sudah ada gambaran tentang Makkah dan Madinah.

5. Sediakan ubat-ubatan

Seterusnya antara keperluan mereka yang perlu disediakan adalah ubat-ubatan. Setiap anak mungkin ada ubat yang berbeza kerana umur mereka tidak sama. Jadi boleh rujuk klinik atau farmasi untuk mendapatkan ubatan yang sesuai. Bawa ubat demam, batuk, selesema dan sebagainya.

6. Sediakan tali harness

Beli tali harness supaya boleh dipasang pada badan anak supaya senang ketika menunaikan umrah nanti terutama waktu solat. Bimbang mereka pergi merata-rata. Solat jadi lebih khusyuk sebab tidak perlu risau sangat bila sudah pasang tali tersebut.

7- Bawa kereta sorong/ baby carrier

Kereta sorong antara benda penting yang perlu dibawa. Di sana perlu banyak berjalan. Jadi akan lenguh jika ada anak kecil yang perlu didukung selalu. Kalau yang berumur dalam 2 tahun mungkin dia hendak berjalan sendiri tetapi jika ada kereta sorong, mudah untuk anak tidur.

Boleh bawa juga penggendong  (baby carrier) bayi terutamanya kalau ada anak yang bawah umur setahun. Sangat berguna ketika tawaf sebab dalam Masjidil Haram tidak boleh bawa masuk kereta sorong terutama di bahagian mataf/tempat tawaf.

8. Pilih pakej yang sesuai dan yang menawarkan hotel yang dekat dan bilik yang luas

Pilih hotel yang lokasinya tidak jauh. Ini penting kerana pergerakan agak terbatas bila ada anak-anak. Jadi bila hotel jauh dengan Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi, akan menyukarkan pergerakan. Jika ada kemampuan, pilih pakej yang hotelnya dekat dengan masjid, contohnya sekitar 50 meter.

Cadangan, boleh menginap di hotel Pullman Zam Zam (Clock Tower), jadi dekat untuk ke masjid. Di Madinah pula, boleh menginap di hotel Emaar Elite, juga dekat dengan masjid sekitar 50 meter. Pastikan juga bilik besar dan selesa untuk anak-anak. Ambil juga kad perubatan supaya mudah jika perlu ke klinik di sana.

9. Pastikan agensi pelancongan tempah tempat duduk hadapan dalam penerbangan untuk mendapatkan katil bayi (bassinet)

Beri tahu agensi pelancongan yang anda membawa anak kecil bersama. Pastikan mereka tempah tempat duduk di bahagian hadapan dalam penerbangan. Nanti boleh minta katil bayi (bassinet). Jadi tidak perlulah dukung anak sepanjang 8 atau 9 jam dalam penerbangan.

10. Buat jadual lebih awal untuk bergilir jaga anak-anak

Rancang perjalanan pergerakan di sana. Biasanya kita akan diberikan jadual dan tentatif pergerakan di sana oleh pihak agensi. Boleh cetak jadual dan tentatif tersebut. Buat jadual siapa yang perlu solat dahulu dan siapa yang perlu menjaga anak. Begitu juga dengan umrah. Tetapkan jadual supaya ibadah umrah dapat ditunaikan dengan lancar. Kerjasama antara suami isteri sangat penting di sana.

11. Pilih untuk pergi pada musim sejuk/semasa cuaca tidak terlalu panas

Seeloknya pilih untuk pergi pada musim sejuk jika hendak bawa anak-anak. Jika pergi musim panas, suhunya melebihi 40 darjah celsius. Jadi kalau pergi waktu musim sejuk, anak-anak lebih selesa. Biasanya Disember hingga Mac adalah musim yang agak sejuk.

12. Berdoa agar ALLAH mudahkan

Berdoa kepada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan sewaktu menunaikan umrah bersama anak-anak. Membawa anak-anak bersama untuk menunaikan umrah memang mencabar sebab banyak melibatkan pergerakan fizikal sewaktu di sana. Emosi juga perlu kental.

Baca juga: Menabung syiling niat umrah, wanita berjaya simpan hampir RM20,000 dalam 3 tahun

PERSIAPAN DAN TIP SEWAKTU DI MAKKAH DAN MADINAH:

1. Beri ganjaran pada anak-anak

Boleh beri anak ganjaran bila anak-anak baik dan tidak meragam terutama ketika di dalam masjid solat bersama-sama. Boleh beri aiskrim. Jika di Madinah boleh ke kiosk Aiskrim Lino berhadapan dengan pintu Malik Fahad. Di Makkah boleh ke sebelah bangunan menara jam. Ada kedai aiskrim juga di situ.

2. Buat aktiviti bersama anak

Aktiviti bersama anak-anak juga boleh dirancang awal semasa di Malaysia lagi. Contohnya kebiasaan kami waktu di sana, sela masa antara Maghrib dan Isyak kami akan pastikan Umar baca al-Quran iaitu surah al-Fatihah dan surah-surah pendek Juz Amma.

3. Bawa beg khas yang ada pelbagai keperluan anak ketika ke masjid

Beg khas ini biasanya boleh diisi dengan biskut atau roti, air, mainan, buku Iqra', lampin pakai buang, tisu basah dan ubat-ubatan jika perlu.

4. Praktikkan tidur awal

Pastikan anak-anak tidur awal supaya nanti waktu Subuh senang hendak kejutkan mereka untuk ke masjid. Waktu solat Isyak pun awal. Jadi boleh ajak anak masuk tidur antara jam 9.00 hingga 10.00 malam. Seawal satu jam atau dua jam sebelum Subuh sudah boleh kejutkan anak bangun. Boleh solat Subuh bersama-sama di masjid.

5. Pastikan anak-anak minum banyak air

Anak-anak mungkin cepat dahaga kerana banyak bergerak dan faktor cuaca. Bawa sekali botol air dalam beg, boleh isi air zamzam.

6. Naik keretapi ke Madinah

Jika ada bajet lebih boleh naik keretapi ke Madinah kerana dapat menjimatkan masa perjalanan. Anak-anak pun tidak penat dan boleh berehat dan membuat aktiviti ringan seperti membaca buku da sebagainya.

7. Banyakkan bercerita tentang kisah di sebalik tempat yang diziarahi

Selitkan kisah sejarah yang berlaku di tempat yang diziarahi. Contohnya di Makkah, apabila anak-anak lihat Kaabah, ceritakan kisah di sebalik Kaabah, adanya pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya.

8. Makanan

Untuk makanan di sana, jika di Madinah, boleh ambil fullboard, jadi disediakan tiga kali makan (pagi, tengahari dan malam). Untuk di Makkah, boleh ambil yang halfboard sahaja, hanya makan pagi sahaja disediakan, makan tengahari dan malam boleh cari sendiri. Di Makkah mudah sahaja hendak cari makanan. Di dalam Clock Tower pun ada banyak kedai makan, boleh makan di situ atau bawa pulang ke bilik hotel.

9. Kebersihan

Sebenarnya kita boleh mendukung anak sewaktu solat dan tawaf, cuma perlu pastikan mereka suci/tiada najis sebelum kita mulakan solat atau tawaf. Tukar lampin anak sebelum solat. Lampin pakai buang perlu bawa banyak. Untuk anak yang sudah bebas lampin, pastikan anak buang air sebelum ke masjid supaya tidak mengganggu ibadah. Jika perlu ke tandas juga ibu atau bapa boleh bergilir-gilir bawa anak ke tandas.

10. Masuk masjid dan iktikaf

Kanak-kanak boleh masuk ke dataran Kaabah. Bagaimanapun di Masjidil Nabawi pula, kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid bersama ibu, tapi boleh masuk bersama bapa. Jadi biasanya semasa di Madinah, minta suami bawa anak-anak solat di dalam masjid. Ibu ayah perlu kreatif untuk layan anak-anak sewaktu di masjid supaya dapat iktikaf lama.

Baca juga: Jasad sempurna, sempat tunai umrah, bapa dedah amalan anak. Berikut kisah Nurul Nazihah yang meruntun hati rakyat Malaysia

Sumber: Nik Fatma Amirah

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca