Pesanan terakhir Suhaimi Saad dalam live undang sebak. 'Usahakan setiap waktu solat jemaah, dua orang pun tak apa...'

A
A
A

PEMERGIAN penyanyi dan bekas anggota kumpulan Inteam, Suhaimi Saad dalam masa beberapa hari selepas mengalami kegagalan organ susulan jangkitan kuman pada paru-paru mengejutkan.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 7.40 malam semalam selamat dikebumikan pada jam 9 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

Biarpun jarang muncul di media arus perdana, Suhaimi aktif di TikTok.

Sering muncul live, beliau berkongsi tentang pelbagai isu termasuk berkaitan ibadat dalam suasana santai dan penuh humor.

Sebuah video dipercayai rakaman live terakhir Suhaimi di laman sosial itu dimuat naik oleh warga maya.

"Jom, dah 7.20 malam. Sekejap lagi azan Maghrib dekat sini. Abang pun ada kelas.

"Nak mandi, nak sembahyang Maghrib dan waktu malam mengajar orang mengaji pula.

"Hidup ini, walaupun penyanyi atau artis bukan pagi, petang, siang, malam menyanyi sahaja. Tanggungjawab dengan ALLAH, Rasulullah SAW, isteri, anak-anak dan keluarga pun kena jaga," katanya.

Suhaimi ketika itu berkongsi berkaitan solat berjemaah. Ujarnya amat rugi jika amalan itu tidak diaplikasikan dalam kehidupan.

Baca juga: 'Dia nak umur hanya 43 tahun.'Suhaimi Saad pergi dengan mudah, ketenangan Ina Naim jentik hati warga maya

Baca juga: Rekod pantas siap rakam lagu kurang 10 minit, mengenang perjalanan Allahyarham Suhaimi Saad dalam industri nasyid

"Kena belajar sembahyang berjemaah. SS walaupun menyanyi dan karaoke tetapi sembahyang berjemaah.

"Insya-ALLAH setiap waktu, usahakan. Kerana kita tahu 25 atau 27 (pahala) itu jauh lebih banyak daripada satu (pahala).

"Bayangkan kalau lima waktu sehari berjemaah, lima darab 25, 125 pahalanya.

" Tapi kalau sembahyang seorang, bagus atau khusyuk macam mana pun dapat satu (pahala) sahaja. Kalau lima waktu, sehari dapat lima jer. Sedangkan orang yang solat berjemaah mengumpul 100 lebih. Rugi (kalau tak buat).

"Belajarlah solat berjemaah, dua orang pun tak apa. Dua orang pun dikira jemaah, seorang imam, seorang lagi makmum," katanya.

Membahasakan dirinya sebagai SS, Suhaimi mendedahkan isterinya, Nordiana Mohd Naim atau dikenali sebagai Ina Naim akan berjemaah bersama anak-anak sekiranya dia berada di luar kawasan.

Baca juga: Suhaimi Saad kritikal disahkan pneumonia, Ina Naim yakin suami akan sembuh

Baca juga: Batuk kronik 4 bulan, cirit birit & berat turun mendadak, Suhaimi Saad ditidurkan. Sempat mohon maaf

"Kak Ina kalau SS tak ada di rumah, out station atau ke mana-mana, dia akan solat berjemaah dengan anak perempuan kami, Phyrosh dan Layla.

"Kalau Hadie atau Sallman jadi imam, mereka berjemaah lima beranak.

"Orang lelaki memang afdal (solat) di surau tetapi bukan wajib. Ia yang terbaik dan dituntut, tetapi kalau solat di tempat lain berjemaah pun dapat pahala," kongsinya.

Jelasnya, setiap orang perlu berusaha untuk solat berjemaah setiap hari kerana ia adalah ladang pahala.

"Kita kan hidup nak buat kebaikan, buat ibadah dan mengumpul pahala banyak-banyak. Besok (akhirat) bila timbang, baru nampak pahala banyak. Tapi kalau sembahyang seorang, banyak dosa, mengecam orang, dengki dan benci. Sudahlah pahala sembahyang satu, satu sahaja.

"Kena ubahlah kalau nak dapat banyak kebaikan. SS pun sama juga. Tapi SS memang dari zaman sekolah belajar sembahyang jemaah, sampai ke universiti dan kahwin," katanya.

Warga maya tersentuh dengan perkongsian Suhaimi menerusi video yang dimuat naik semula mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

- " Bagus sebenarnya arwah ni. Spontan jer dia bagi ilmu untuk kita. Semoga ALLAH merahmati arwah, aamiin.

- "Arwah banyak cerita tentang akhirat. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman, aamiin."

- "Dalam melawak arwah selitkan ilmu untuk kita semua, al-Fatihah."

- "Iman dan tauhidnya tinggi, insan terpilih. Sebak rasa hati, arwah didik anak dan isteri beri ilmu kepada masyarakat, walaupun simple tapi itu yang berkesan. Al-Fatihah."

Suhaimi meninggal dunia pada usia 43 tahun memiliki ijazah sarjana muda dalam jurusan Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Berkahwin dengan Ina di Masjid Jamek Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor pada 12 Ogos 2007, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Sallman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Beliau mengamalkan home schooling kepada anak-anak sebelum menghantar mereka ke madrasah tahfiz.

Anak sulungnya, Ehmad Hadie Elfardie memberitahu pesan terakhir Suhaimi agar membantu ibu menjaga dan membesarkan adik-beradik lain.

“Antara pesanan ayah sebelum meninggal dunia, dia minta agar kami jaga solat dan jangan tinggal mengaji.

“Ayah juga pesan kalau ayah tak ada nanti mandikan ayah, solatkan ayah.

"Alhamdulillah semua itu kita sudah selesaikan, sudah buat,” katanya.

Ehmad Hadie berkata, dia menerima pemergian bapanya itu sebagai ketentuan Ilahi dan reda dengan apa juga yang berlaku.

Ditanya mengenai kenangan terindah bersama ayahnya, itu, Ehmad Hadir berkata, setiap hari bersama ayah merupakan kenangan terbaik dalam hidup.

"Kami semua (adik-beradik) rapat dengan ayah. Hari-hari menjadi kenangan terindah bersama ayah.

"Ada sahaja benda yang seronok kami buat dengan ayah," katanya lagi.

Ina pula apabila memberitahu arwah suaminya itu sempat meluahkan rasa syukur kerana dapat memberi ilmu agama yang sepatutnya kepada anak-anak sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

"Bila bersembang enam beranak, arwah akan pesan kepada anak-anak, abang jaga ibu ayah, ibu jaga anak-anak. Katanya Alhamdulillah tanggungjawab sebagai ayah sudah selesai kenalkan kepada ALLAH, al-Quran, hadis kena pegang kuat-kuat.

“Itu antara yang arwah pesan semasa dia dalam keadaan sakit. Kami juga saling meminta maaf minta halal makan minum," kongsi Ina.

Anak kedua, Sallman Elkhoyri menjadi individu terakhir meninggalkan kubur ayahnya, Allahyarham Suhaimi

Takziah buat keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Sumber: TikTok, Sinar Harian, 1, 2

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca