Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

ESOK genap lapan tahun, Nurhidayah Suhaimi kehilangan ibu tersayang, Sarimah Salleh dan bapa tiri, Zainol Romli. Pemergian kedua orang tuanya itu berlaku dalam keadaan tragis tatkala mereka sekeluarga sedang menuju ke kampung halaman di Kulim, Kedah.

Semuanya berlaku sekelip mata apabila kenderaan jenis Perodua Kancil yang dinaiki Nurhidayah bersama ibu, ayah dan adik lelaki terlibat kemalangan di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tapah, Perak pada 15 Mac 2013.

Memetik laporan Bernama, kereta yang dipandu Zainol, 62, dikatakan merempuh sebuah lori dari arah bertentangan secara tiba-tiba dalam kejadian pukul 11.50 pagi.

Impaknya, kereta famili Nurhidayah, 25, berpusing dan pada masa sama dilanggar pula sebuah kereta Perodua Myvi yang turut datang dari arah Tapah. Lori terbabit kemudiannya terbabas ke kanan jalan dan terbalik melintangi jalan raya lalu dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Hilux yang tidak sempat mengelak.

Nurhidayah Suhaimi

Ya, sebagai manusia, kita tidak mampu menelah bilakah ujian ALLAH itu akan tiba?

“Tragedi pahit itu umpama mimpi ngeri yang kekal terperangkap dalam kotak memori. Arwah abah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ibu pula ketika dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

“Paling memeritkan, saya yang menaiki ambulans bersama ibu menyaksikan sendiri arwah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan akibat kecederaan parah dialami. Namun begitu, malangnya saya tidak dapat berbuat apa-apa sehinggalah ibu menghembuskan nafas terakhir di depan mata,” imbasnya mesra disapa Yaya yang tercampak keluar dari kenderaan.

Tangan kanannya patah dan memerlukan kerangka besi dipasang di dalam tulang buat seumur hidup. Bertambah parah, limpanya terpaksa dibuang kerana rosak dan menerima 17 jahitan pada kepala kiri.

“Bahkan, saya juga ralat dek tidak dapat menghadiri pengebumian ibu dan abah berikutan koma hampir dua minggu selepas menjalani pembedahan kecemasan.

“Sepanjang tidak sedarkan diri, saya bersendirian tanpa famili kecuali rakan lelaki (kini suami) yang ketika itu menuntut di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sungai Buloh, Selangor datang menemani di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada setiap hujung minggu,” jelasnya yang terharu dengan keikhlasan dan kesungguhan ditunjukkan seorang lelaki bernama Muhd Fikri Ahmad Roshdi.

Nurhidayah Suhaimi

Bicara Yaya yang dilahirkan di Kulim, Kedah itu, selepas tiga bulan menyempurnakan sesi fisioterapi dan luka beransur sembuh, beliau dan suami segera membina rumah tangga dengan akad nikah sahaja.

Kesempitan hidup dihadapi kerana bergantung harap sepenuhnya pada sumber pendapatan suami yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Besar Kuala Lumpur menyebabkan Yaya terpaksa melupakan perihal resepsi.

“Tema impian perkahwinan bukan keutamaan. Lagipun tiada makna menganjurkan majlis, walhal ibu dan abah sudah tiada. Sekurang-kurangnya saya memiliki suami yang sudi menerima kekurangan diri.

“Disebabkan itu, sebaik sahaja bergelar isteri saya memasang niat untuk bekerja demi meningkatkan taraf hidup keluarga. Saya enggan membiarkan suami menanggung beban sendirian meskipun beliau adalah ketua keluarga.

Nurhidayah Suhaimi

“Saya memilih berniaga kecil-kecilan, asalkan memperoleh pendapatan harian. Pelbagai bisnes dilakukan antaranya menjual kambing golek bakar, produk bayi, pakaian, tudung, power bank dan kanta lekap,” katanya mengambil semangat arwah ibu yang berupaya membuat dua kerja serentak iaitu berniaga nasi lemak pada sebelah siang dan malam pula bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Ilmu penyusuan badan

Nampaknya, perjuangan Yaya demi suami dan anak-anak membuahkan hasil. Umpama peribahasa lama, tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Daripada peniaga ‘jalanan’, kini wanita bertubuh genit itu mampu tersenyum puas kerana memegang status sebagai Pengasas Nufiya Sdn Bhd.

Ia merupakan sebuah syarikat yang mengusahakan produk menggalakkan penghasilan susu badan (milk booster). Tatkala ditanya kecenderungan beliau memilih cabang bisnes itu berbanding bisnes kosmetik ataupun pakaian, Yaya mempunyai alasannya tersendiri.

Semuanya bertitik tolak selepas melahirkan anak sulung, Muhammad Nufael Iman Muhd Fikri pada tahun 2014. Kongsi pencinta warna merah jambu tersebut, ketika menjalani tempoh berpantang beliau mendapati susu badannya terlalu sedikit.

“Ingatkan situasi ini (kurang susu badan) berlaku fasa awal sahaja, tetapi lain pula jadinya. Paling menyedihkan apabila Muhammad Nufael Iman genap tiga bulan susu badan saya terus terputus.

Nurhidayah Suhaimi

“Hanya DIA yang tahu perasaan saya berdepan dilema seumpama itu. Betapa luluhnya hati kerana tidak berpeluang menyusukan anak pertama secara eksklusif hingga usia mencecah dua tahun.

“Jadi pilihan terakhir saya menggantikan susu badan kepada susu formula. Biarpun hasilnya positif kerana permata hati kenyang menikmati susu tepung, namun rasa ralat sentiasa menerpa,” luah Yaya yang turut mengakui masalah kekurangan susu badan berlaku disebabkan kekhilafan diri.

Tutur beliau, berikutan kurang pendedahan mengenai ilmu penyusuan antara faktor menyebabkannya tergelincir daripada formula yang betul.

“Tanggapan saya proses penyusuan badan hanya melibatkan bayi menyusu secara terus daripada payudara. Rupa-rupanya tidak. Selain direct feeding (secara terus), golongan ibu juga harus mengepam susu badan setiap dua atau tiga jam.

Nurhidayah Suhaimi

Iklan

“Rutin tersebut perlu dilakukan dengan konsisten memandangkan konsep penghasilan susu badan bergantung pada hukum supply (penawaran) dan demand (permintaan).

“Pendek kata, sebaik sahaja susu badan dikeluarkan menerusi penyusuan secara terus dan mengepam, maka buah dada akan kosong. Jadi, ia mempermudahkan proses penghasilan susu baharu, sekali gus mengelakkan masalah susu badan berkurangan,” terangnya.

Justeru, enggan pisang berbuah dua kali untuk kelahiran anak seterusnya, beliau mempraktikkan amalan penyusuan seperti disarankan. Pun begitu, Yaya berputus asa kerana tempohnya juga tidak lama seperti diharapkan.

Bagaimanapun, selepas selamat melahirkan cahaya mata ketiga, seorang sahabat berbangsa Cina mencadangkan supaya minum segelas air rebusan berasaskan buah-buahan kering setiap hari.

Nurhidayah Suhaimi

“Ia terdiri daripada campuran kurma merah, kurma hitam, longan, goji beri dan gula batu. Walaupun rasa air herba tersebut pahit, tetapi saya tetap menikmatinya demi meningkatkan kuantiti susu badan dari semasa ke semasa.

“Alhamdullilah, susu badan bertambah dua kali ganda berbanding dua anak sebelum ini. Lebih menggembirakan saya mampu menyusu badan dalam tempoh yang panjang,” ceritanya lanjut.

Rentetan pengalaman manis tersebut, tercetusnya idea buat bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Terap, Serdang, Kedah tersebut berkongsi tip menambahkan susu badan menerusi media sosial.

Beliau sedikitpun tidak menyangka daripada sekadar perkongsian maklumat, kemudiannya mendapat tempahan dan akhirnya kini berkembang dengan baik.

Berpindah-randah

Iklan

Ralit berbicara mengenai liku-liku kehidupan yang sebelum ini serba kekurangan, nada suara Yaya pantas bertukar ceria apabila penulis bertanyakan kesenangan besar diraih setakat ini.

“Biarpun tahun 2020 dunia berduka dilanda pandemik Covid-19, namun sedikit sebanyak tahun lalu mengukir senyuman buat kami sekeluarga.

“Alhamdulillah, ini merupakan hadiah paling bermakna. Tidak pernah menyangka berpeluang memiliki rumah pertama untuk diri sendiri pada usia 26 tahun dan kediaman kedua untuk famili. Cukuplah merasai kepayahan berpindah-randah dan menyewa sana sini,” ujarnya yang pernah tidak mampu melunaskan sewa rumah, waima RM120 sebulan.

Nurhidayah Suhaimi

Akui usahawan itu, ketika arwah ibu dan abahnya masih ada, mereka hanya menyewa rumah.

“Ketika mereka meninggal dunia, saya dan adik terpaksa keluar dari rumah sewa. Saya reda dan sedikitpun tiada sekelumit kesesalan. Tidak mengapa kerana aturan hidup kita telah disusun indah oleh-NYA. Sebab itu, saya gigih berniaga kumpul wang untuk membeli aset supaya anak-anak tidak mengalami nasib serupa kelak,” luah beliau.

Sebelum menamatkan bicara, Yaya menitipkan pesanan: “Buat wanita di luar sana, jangan mudah berputus asa dan jangan memanjakan diri di zon selesa. Yaya berasal daripada keluarga yang bercerai-berai, pernah meminjam duit dan merasai kesempitan wang setiap bulan.

“Oleh itu, terus berusaha mencari jalan keluar kerana lambat-laun kita akan berjaya.

“Sampai bila perlu berserah tanpa usaha?.”