MEMBESARKAN anak yang menghidap autisme bukanlah suatu yang mudah.

Peluang pekerjaan untuk remaja yang mempunyai keperluan khas tersebut juga sangat terhad.

Bertitik tolak daripada itu, seorang bapa menubuhkan Austime Cafe Project (ACP) bagi memberi peluang golongan tersebut mempunyai masa depan yang cerah.

Ujar pengasasnya, Mohd Adli Yahya, 58, pada awalnya kafe tersebut dibuka semata-mata untuk membantu anaknya.

Setelah melihat pencapaian anaknya yang positif, beliau membuka peluang kepada remaja autisme lain untuk dilatih berdikari dan menjana pendapatan sendiri.

“Saya tak mahu anak saya mengharapkan belas ihsan orang untuk meneruskan kehidupan.

“Saya nak beliau hidup seperti orang normal yang boleh naik bas, LRT, pergi makan, bekerja dan berkawan,” katanya ketika ditemui SinarPlus di MIJ Hub di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Namun begitu, ujar bapa kepada enam orang cahaya mata tersebut, golongon seperti anaknya pasti sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

 

Baca juga: Ibu 6 anak besarkan 3 anak autisme. Aki, Darius & Yaya masih perlu rawatan, bantuan orang ramai diperlukan

Susulan itu, beliau mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu yang boleh membantu masa depan anak keduanya, Muhammad Luqman Shariff, 24.

PELUANG BERKOMUNIKASI

Pada awalnya, beliau mempertimbangkan tiga pilihan iaitu membuka perkhidmatan dobi, cuci kereta atau kafe makanan.

Pun demikian, kedai menjual makanan difikirkan pilihan terbaik kerana kebanyakan anak autisme mempunyai masalah komunikasi.

Baca juga: Hilang lebih 24 jam, anak autisme Zayn Rayyan ditemui tak bernyawa, bapa pengsan terima hakikat, ini kronologi menyentuh hati

“Bagi membina kemahiran bercakap pada diri anak, saya memilih untuk membuka kafe.

“Ia memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan orang di samping dapat bermain dengan air yang menjadi kesukaannya,” ujarnya.

Katanya, projek tersebut ditubuhkan pada Disember 2016 dan mula beroperasi pada Januari 2017 dengan tujuan untuk membantu anak autisme untuk menjana pendapatan bulanan.

Baca juga:‘Nak kata malu, sikit pun tidak’. Dr Say sayu anak sulung autisme kini miliki kad OKU, berikut 25 kelebihannya mak-mak perlu tahu

Namun, setelah lebih lapan tahun penubuhannya, kini ACP mempunyai objektif untuk membantu golongan tersebut untuk hidup dengan kemampuan diri mereka semaksimum mungkin.

Mohd Adli berkata, pilihannya untuk berhenti kerja daripada seorang Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap Muhammad Luqman merupakan keputusan yang tepat.

Hal ini kerana, beliau melihat banyak potensi dan kemahiran yang sudah berjaya dikuasai oleh anaknya.

Bermula dengan hanya membasuh pinggan, kini Muhammad Luqman boleh memasak dan menghasilkan beberapa jenis biskut.

Baca juga: Anak jalan lambat petanda kepada autisme? Pakar pediatrik ini beri penjelasan lanjut

Remaja tersebut juga turut menghasilkan produk cenderamata seperti gelang manik.

Selain Muhammad Luqman, sudah ramai remaja lain yang diajar kemahiran kendiri sesuai dengan kebolehan mereka.

Mereka malah sudah boleh berdikari dan menghasilkan produk sendiri.

Iklan

TIADA KES MENGAMUK

Katanya, sebelum menerima pelajar autisme beliau akan meminta ibu bapa mereka untuk menyenaraikan perkara yang disukai dan tidak disukai oleh anak mereka.

Setelah itu, tugas akan ditentukan mengikut apa yang mereka suka lakukan.

Langkah itu dapat mengelakkan mereka mengamuk atau buat perangai sekiranya tidak gembira dengan apa yang dilakukan.

“Sepanjang lapan tahun beroperasi, kami tidak pernah mempunyai kes remaja autisme tantrum,” tuturnya.

Berkenaan dengan menu pula, kafe yang dahulunya berkonsepkan ‘walk in’ telah bertukar konsep.

Kini, ACP menyediakan perkhidmatan katering makanan berbentuk pek.

Pelanggan yang mahu menjamu selera di kafe berkenaan pula perlu membuat tempahan sehari awal supaya pekerjanya bersedia menerima pengunjung.

Iklan

Menu yang ditawarkan pula adalah ringkas dan mudah disediakan sesuai dengan kebolehan yang dikuasai pekerja.

Antara juadah yang disediakan adalah seperti nasi lemak, nasi kerabu, bihun goreng, roti jala, kuih dan biskut.

Dalam pada itu, buat masa ini, pihaknya banyak menerima tempahan biskut dan sudah berjaya menjual lebih 6,000 botol.

Ketika kunjungan SinarPlus ke situ, pekerja di kafe tersebut sedang menyediakan Ginger Bread Man sempena perayaan Krismas.

Mengulas lanjut, Mohd Adli berkata, kolaborasi pihak ACP bersama beberapa agensi pula telah membantu memasarkan produk yang dihasilkan oleh remaja-remaja austime di situ.

Bagi memberi pendedahan dengan masyarakat luar pula, mereka akan dibawa untuk membuka booth jualan di lokasi luar.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang