‘Nak kata malu, sikit pun tidak’. Dr Say sayu anak sulung autisme kini miliki kad OKU. Berikut 25 kelebihannya mak-mak perlu tahu

DOKTOR selebriti dan influencer, Dr Say Shazril tidak asing lagi dengan pelbagai perkongsian berkaitan kesihatan dan kekeluargaan di laman sosial.

Bapa kepada dua cahaya mata itu baru-baru ini bercerita tentang anak sulungnya, Aezriel Muhammad Shazril atau dikenali sebagai Ace sudah menerima Kad Orang Kurang Kupaya (OKU).

Ace mengalami autisme tahap sederhana telah didiagnos pada usia dua tahun.

Baca juga: Terduduk dibuatnya, buah pinggang rosak tahap 2, air kencing berdarah- Dr Say nasihat buat pemeriksaan

Memuat naik gamber bersama Kad OKU milik Ace yang baharu diperolehi, Dr Say atau nama sebenarnya Muhammad Shazril Shaharuddin mengakui hatinya tersentuh.

“Saya daftar untuk kad OKU Ace back in January 2023. Sabtu baru-baru ni saya check online dan ia siap untuk dituntut. Empat bulan untuk kad OKU siap.

“Terus terang cerita bila nak ambil Kad OKU hari ini terasa sangat berat.

“Rasa macam ‘aku dah bersedia ke nak pegang kad ni untuk anakku?’ tapi saya gagahkan jua sebab sy juga yang apply Kad OKU tu.

“Sampai kat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sepang, sepi tiada orang lain. Macam suasana dicipta untuk saya soaked in yang anak saya istimewa, kelainan upaya dan ini buktinya.

“Bila kad OKU dihulurkan kepada saya, saya ucap terima kasih kat pegawai dan terus meluru masuk kereta,” ujarnya.

Baca juga: Diasak suruh isteri belajar masak, Dr Say dedah cara lain tambah rasa sayang

Suami kepada Dr Azura Abas meneliti fizikal kad berkenaan yang memaparkan tulisan besar – KAD OKU. Terdapat butiran nama, kategori ketidakupayaan dan gambar pada kad itu.

Pempengaruh berusia 35 tahun itu meluahkan perasaan sayu bercampur-baur selepas menerima kad yang sangat bermanfaat kepada orang kurang upaya itu.

“Gambar Ace dengan senyum yang suci, ikhlas dan naif. Berjurai air mata saya.

“Saya tak tahu sebab apa. Nak kata saya malu pegang kad OKU ini sedikit pun tak.

“Sebab saya tahu kad inilah yang boleh menjadi bantuan terunggul kepada Ace sekiranya saya atau isteri tiba-tiba tiada di dunia ni.

“Nak kata saya sedih kerana anak OKU juga tidak kerana OKU tidak bermaksud dia tak boleh enjoy the world like other kids do.

“Saya serius tak tahu kenapa saya sayu tapi it took me quite some time to accept that my son is now ‘officially’ different,” kongsinya.

Baca juga: Tuduh mabuk, tiada pertolongan, Dr Say kecewa video tular babitkan pemandu lori

Dalam pada itu, bekas pengacara My Doctors itu berkongsi fungsi dan kelebihan kad berkenaan.

“Saya tahu mesti ramai persoalkan kenapa buat kad OKU untuk Ace, kesian dia.

“Well kalau kalian tak tahu, kad OKU ni ada banyak keistimewaan, antaranya pengecualian bayaran MyKad, pengecualian bayaran rawatan perubatan, butterfly effect bila travel tapi ultimatumnya adalah sekiranya penjaga anak OKU meninggal, Kad OKU lah yang akan menjadi hak sepatutnya anak istimewa kita dapat.

“Kalau anda atau anak anda OKU, jangan malu dan segan sebab kerajaan betul-betul nak tolong kita dengan pelbagai kelebihan serta keistimewaan sebagai pemegang kad OKU.

“My son has an OKU card and I am content,” titipnya.

Dalam satu hantaran lain, Dr Say memuat naik video yang memaparkan penerangan seorang pendidik bernama Teacher Anes mengenai kelebihan Kad OKU yang wajar dipohon oleh ibu bapa.

Baca juga: Struggle urus zuriat istimewa, bapa kongsi cara latih anak autisme seawal usia

KEISTIMEWAAN KAD OKU

Seorang pemegang KAD OKU yang berdaftar secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) akan menerima keistimewaan kemudahan dan keistimewaan yang disediakan di bawah kerajaan tertakluk kepada syarat.

Berikut adalah senarai kemudahan dan keistimewaan bagi pemegang Kad OKU:

1. Pengecualian bayaran My Kad, Sijil Kelahiran dan Sijil Kematian.

2. Pengecualian bayaran rawatan perubatan (yuran pendaftaran dan rawatan di hospital dan klinik kerajaan).

3. Pengecualian duti import alat tiruan/sokongan (melalui permohonan).

4. Program Pendidikan Khas Integrasi Inklusif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

5. Elaun RM150 sebulan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada KPM (bergantung kepada kadar semasa peruntukan kementerian)

Iklan

6. Bantuan kewangan pelajar OKU di IPT/ Politeknik Kolej Komuniti KPM (bergantung kepada kadar semasa peruntukan kementerian).

7. Diskaun/potongan 40 peratus yuran pengajian di Open Universiti Malaysia (OUM).

8. Dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam (berdasarkan kekosongan dan kelayakan bersesuaian).

9. Waktu bekerja anjal (melalui permohonan kepada Ketua Jabatan).

10. Pencen Terbitan kepada anak penjawat awam yang telah meninggal dunia.

11. Sistem Penempatan OKU (SPOKU) daripada Kementerian Sumber Manusia (melalui pendaftaran kepada JTK).

12. Skim Bantuan Galakan Perniagaan(SBGP-OKU) daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) -(Secara Kumpulan atau Persatuan).

13. Kemudahan dan galakan pelepasan cukai pendapatan daripada LHDN (melalui perisytiharan).

14. Pengecualian Cukai Jalan daripada JPJ (melalui permohonan)

15. Pengecualian bayaran pembaharuan lessen memandu daripada JPJ. (melalui permohonan).

16. Pengecualian duti eksais kenderaan OKU buatan Malaysia (melalui permohonan).

17. Diskaun tambang pengangkutan awam. (pembelian secara walk-in atau telefon).

Iklan

18. Pengecualian bayaran dokumen perjalanan (pasport).

19. Pengecualian bayaran dan pembaharuan daftar syarikat/lesen perniagaan daripada SSM.

20. Potongan harga 20 peratus pembelian rumah daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad.

21. Kadar sewa rumah yang rendah (PBT terpilih)

22. Kemudahan perkhidmatan daripada Telekom Malaysia.

23. Khidmat nasihat dan kaunseling.

24. Institusi Pemulihan/Latihan OKU.

25. Bantuan daripada JKM kepada yang layak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan;
• Elaun Pekerja Cacat (EPC)
• Elaun Pelatih Pusat Pemulihan Dalam komuniti (PDK)
• Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)
• Bantuan Penjagaan OKU Pesakit kronik Terlantar (BPT)
• Bantuan Latihan Aperantis (BLA)
• Geran Pelancaran (GP)
• Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan

Baca juga: Kanak-kanak normal pun boleh ada ciri autisme, ini mak-mak perlu perhatikan

Sumber : Dr Say, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.