MESKIPUN menghidap penyakit spina bifida sejak lahir, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz tidak pernah patah semangat dan gentar untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Beliau merupakan bakal calon kerusi Parlimen Putrajaya bagi Pakatan Harapan (PH).

Wanita kental yang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) ini tidak menyesal melepaskan jawatan sebagai pensyarah. Perletakan jawatan pada 4 November ini bertujuan bagi memenuhi syarat untuk didaftarkan sebagai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Baca juga: Young Syefura daripada jururawat jadi YB, sukakan aktiviti lasak berbasikal dan mendaki

Baca juga: Menjadi antara 30 juruterbang wanita di MAS, Khaysha mahu tepis pandangan skeptikal orang ramai

Pengalaman hidup sebagai orang kelainan upaya (OKU) sejak lahir menjadikan semangat Noraishah begitu kuat. Siapa sangka wanita ini pernah menjalani 13 pembedahan. Beliau bernasib baik kerana otaknya masih berada dalam keadaan baik.

Meskipun Noraishah kekurangan fizikal, faktor itu bukan penghalang beliau mendekati pengundi seterusnya berkhidmat untuk masyarakat andai diberi mandat kelak. Bahkan, beliau sanggup ‘mengesot’ untuk bergerak sekiranya keadaan memerlukan selain bersedia berkongsi nombor telefon peribadi kepada pengundi untuk berkomunikasi.

“Walaupun saya berkerusi roda tetapi saya sebenarnya seorang yang lasak. Benda utama yang saya telah lakukan bertahun-tahun lamanya adalah galakkan golongan ibu yang ada anak-anak seperti saya untuk lakukan latihan jasmani.

“Saya sanggup pergi ke mana sahaja dan lawat sesuatu perumahan dalam keadaan bagaimanapun, saya akan cari jalan. Jika saya perlu menggunakan tangga dan tidak boleh duduk atas tangga itu, saya akan mengesot menaiki tangga.

“Saya masih boleh bergerak dan memandu. Sekiranya ada yang membantu untuk mengangkat, saya sanggup asalkan niat kita mahu melakukan kebaikan maka tiada yang mustahil,” katanya.

Matlamat Noraishah ialah untuk memudahkan urusan orang kelainan upaya (OKU) memohon bantuan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sistem di JKM perlu melalui proses penambahbaikan. Beliau sedih melihat OKU terpaksa pergi ke pejabat JKM berulang kali tetapi borang yang mereka serahkan tidak mempunyai dokumen yang mencukupi, kemudian ditolak.

Baca juga: Manis bertudung bawal, perkahwinan sederhana, ringkas Nurul Izzah jadi perhatian warga maya

Baca juga: ‘Beauty with brain’, Tengku Puteri Afzan Aminah kini graduan Sarjana Muda Sains Pengurusan dan Perakaunan

Dr Noraishah ketika bertugas di makmal. (Sumber: Twitter Dr Aishah)

 

ENAM INFO DR NORAISHAH MYDIN ABDUL AZIZ

1. Dr Noraishah merupakan aktivis yang menghidap penyakit spina bifida sejak dari lahir.

2. Dilahirkan pada 3 Mei 1975.

3. Beliau berasal dari Kuala Lumpur.

4. Merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Dr Noraishah ketika berusia empat tahun. (Sumber: Twitter Dr Aishah)

5. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana dalam bidang genetik serta melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang bioteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology) dari University of London.

6. Beliau berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) sejak 1 September 2007 dan melepaskan jawatan sebagai pensyarah secara rasmi pada 4 November 2022.

Iklan

Baca juga: Timbalan Dekan UPSI bakal ganti Ahmad Idham sebagai CEO Finas baharu

Baca juga: 10 fakta Tun Tengku Maimun, lakar sejarah Ketua Hakim Malaysia wanita pertama

INFO TENTANG PENYAKIT SPINA BIFIDA

1. Spina Bifida (dalam bahasa Latin bermaksud tulang belakang terbelah), adalah salah satu kecacatan sejak lahir dikenali sebagai kecacatan di tiub neural.

2. Sebahagian atau keseluruhan tulang belakang tidak bercantum dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang terdedah. Keadaan ini terjadi di awal kandungan, seawal bulan pertama kandungan melibatkan bahagian bawah tulang belakang dan jarang berlaku di bahagian atas. Kadang-kala sebahagian daripada otak juga turut terdedah.

3. Jenis-jenis spina bifida:
– Spina Bifida okulta:
Saraf tunjang adalah normal. Hanya sebahagian kecil tulang yang tidak bertaup. Lapisan kulit yang menutupi kecacatan ini juga adalah normal.
– Meningocoele
Sebahagian dari meninges lapisan luaran saraf tunjang terjulur keluar tetapi saraf tunjang selalunya sempurna.
– Meningomyelocoele
Sebahagian dari saraf tunjang dan meninges terjulur keluar dari tulang belakang yang terpisah.

4. Berlaku lebih kurang satu dalam 1000 kelahiran hidup.

5. Sebab-sebab terjadi:
– Sebab sebenar masih tidak diketahui.
– Disebabkan oleh kombinasi antara faktor genetik dan persekitaran.
– Salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kekurangan asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan.

Iklan

6. Rawatan:
– Rawatan untuk spina bifida ialah pembedahan dan rawatan sokongan yang berterusan. Tiada rawatan khusus untuk spina bifida.
– Sekiranya seorang bayi dilahirkan dengan kecacatan yang terbuka, pembedahan dilakukan secepat mungkin.
– Saraf tunjang dan meninges yang terkeluar akan dimasukkan ke tempatnya dengan berhati-hati.
– Tujuan melakukan pembedahan ialah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengekalkan fungsi saraf tunjang.
– Pembedahan semula mungkin diperlukan apabila kanak-kanak membesar. Ini adalah disebabkan saraf tunjang dan tulang belakang membesar pada kadar yang berbeza dan boleh menyebabkan dan boleh menyebabkan tisu saraf terperangkap.
– Sekiranya mengalami hidrosefalus, shunt mungkin diperlukan untuk mengalirkan cecair yang berlebihan dari otak ke abdomen. Shunt perlu di pantau untuk jangkitan dan penyekatan aliran cecair serebrosinal serta memberi rawatan yang berpatutan.
– Penilaian yang kerap perlu dilakukan ke atas kanak-kanak oleh pasukan kesihatan seperti Pakar Perubatan, fisioterapi dan terapi cara kerja.
– Jangkitan perlu dirawat dengan sempurna.

Baca juga: Kenali penyakit skoliosis yang dideritai penyanyi Zamani Slam. Ini fakta yang perlu kita tahu

Sumber: Sinar Harian, myhealth.gov.my

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi