KEJAYAAN jaguh pelari pecut yang membawa pulang pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) di Sukan Asia di China baru-baru ini menjadi satu kebanggaan yang sukar untuk diungkapkan oleh bapanya, Mohd Fahmi Tajuid, 54.

Pencapaian cemerlang yang ditempa Muhammad Azeem Mohd Fahmi memang sangat membanggakan negara. Masakan tidak, ia berjaya menamatkan penantian lebih 40 tahun kem olahraga negara.

Jika meneliti portfolio bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat yang merupakan satu-satunya Sekolah Sukan Negeri Perak, beliau diibaratkan sebagai Usain Bolt dalam pembikinan.

Kepada SinarPlus, Mohd Fahmi memberitahu, seawal usia lapan tahun bakat anak lelakinya yang dipanggil Ateh sudah terserlah dalam acara larian.

“Saya masih ingat, masa itu dia ikut abangnya menjalani latihan olahraga. Bila saya nampak dia berlari pecut 100m dengan laju, sudah terdetik dalam hati yang Azeem ada rentak yang bagus sebagai seorang atlet.

pingat gangsa azeem

“Apa yang buat saya kagum, penyertaan Azeem di peringkat sekolah rendah dan menengah sangat memberangsangkan. Sedikit demi sedikit dia mencipta rekod peribadi yang saya rasa memang luar biasa,” katanya.

Meskipun graf prestasi Azeem, 19, mencanak naik ketika usianya masih setahun jagung, namun pemenang pingat perak dalam acara 4x100m Sukan SEA 2021 itu pernah berdepan insiden hitam dalam hidupnya.

pingat gangsa azeem

Selepas penyertaan 100m ‘Usain Bolt Malaysia’ itu dibatalkan gara-gara false start pada Sukan SEA tersebut, remaja berkenaan berkurung di dalam bilik untuk tempoh beberapa hari.

“Sebagai ayah yang memahami keadaan anak yang bersedih, kami mengambil pendekatan supaya memberi masa kepadanya untuk bersendirian.

 

“Bila dia sudah okey, barulah kami berbincang dan nasihatkannya agar belajar dan kuat dari segi mental serta fizikal jika berdepan dengan situasi sama pada masa akan datang,” katanya.

pingat gangsa azeem

Akhirnya Azeem yang suka bermain gitar dan menyanyi itu kembali bangkit untuk mencipta rekod terbaik dalam siri kejohanan antarabangsa lain.

Baca juga Ooi Tze Liang hadiahkan pingat Emas ketiga Sukan SEA 2021 buat negara, ini kejayaan penerjun negara

Antaranya adalah Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 dengan catatan 10.09 saat (s) dalam acara 100m (rekod kebangsaan) dan tempat kedua (acara 60 m) dengan catatan terpantas 6.63s pada Kejohanan Texas Tech Open 2023.

pingat gangsa azeem

Motivasi diri

Ya, Sukan Asia baru-baru ini membuatkan jutaan manusia mula mengetahui kredibiliti Azeem, meski sebelum ini sesetengah pihak tidak yakin dengan kemampuan pemuda itu.

Apabila nama sudah tersohor, beliau dijulang dan harapan yang lebih tinggi diletakkan pada pundaknya.

pingat gangsa azeem

Mohd Fahmi tidak menafikan, pencapaian tersebut turut membawa tekanan berat buat si anak.

“Dulu dia memang takut, namun kini dia sendiri akui sudah semakin berani dan kuat. Kini, apa jua tekanan yang diterima dianggap sebagai motivasi diri.

“Saya juga selalu nasihatkan kepadanya bahawa apa sahaja yang dirempuh nanti adalah proses untuk mematangkan diri demi menjadi seorang atlet yang lebih bagus. Alhamdulillah, Azeem semakin matang,” kongsinya.

pingat gangsa azeem

Ditanya pula tentang penghijrahan Azeem ke Amerika Syarikat, Mohd Fahmi memberitahu, dirinya percaya setiap keputusan yang dibuat si anak direstui semua pihak.

“Meskipun berat hati kerana berjauhan dengan Azeem, namun saya percaya dia cukup dewasa, pandai membawa diri dengan baik sepanjang empat tahun di Universiti Auburn.

Iklan

“Hanya panggilan video pengubat rindu. Masa bulan puasa lepas, Azeem sempat berpesan dengan ibunya supaya menjadi ‘jam penggera’ untuknya bangun sahur dan subuh. Takut terlajak katanya,” ujarnya sambil tergelak besar.

pingat gangsa azeem

Penulis turut diberitahu, Azeem sebelum ini pernah ditawarkan peluang untuk berhijrah ke AS dan United Kingdom bagi menjalani latihan intensif ketika usianya mencecah 15 tahun.

Pun demikian, empunya diri menolak kerana mahu merasai zaman remaja seperti orang lain di tanah air sendiri dan percaya peluang itu akan datang tepat pada masanya.

Mohd Fahmi yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk, Perak itu mengakui, tanpa sistem sokongan yang kuat pihak sekolah dan dorongan jurulatih, mana mungkin bakat anaknya dapat diasah lebih awal.

pingat gangsa azeem

Justeru, beliau merakamkan penghargaan buat mereka di SMK Gunung Rapat, Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz yang banyak membantu menaikkan karier Azeem.

Baca juga Hadiahkan Malaysia pingat emas paralimpik, Latif Romly terima insentif RM150,000

Pada masa sama, bapa anak lima itu turut mengenang jasa individu yang banyak menabur ilmu iaitu Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah (Coach Amir), Cikgu Zakaria (Pak Ya), Cikgu Roy Lazaro dan Cikgu Badrul Hisham.

“Tanpa mereka, tiadalah Azeem berada sampai tahap sekarang. Tak lupa kepada along, Muhammad Amirul Fikri yang sentiasa menemani dan menjaga Azeem selama ini,” ungkapnya.

Iklan

pingat gangsa azeem

Sebelum menutup tirai perbualan, beliau juga berharap dengan bimbingan ketua jurulatih yang juga bekas pemegang rekod dunia, sokongan dan doa semua, misi Azeem dapat direalisasikan sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

“Azeem juga melaungkan azam untuk menjadi atlet pertama negara untuk layak secara merit (acara 100m) ke Sukan Olimpik 2024, selain menyasarkan kelayakan untuk Kejohanan Dunia dengan catatan bawah 10 saat.

pingat gangsa azeem

pingat gangsa azeem

“Bagi saya, bila Azeem dapat pulang dengan segulung ijazah, cemerlang dalam sukan dan berjaya mencapai matlamat yang diimpikan, ia sudah membuatkan kami sekeluarga gembira,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang