KASIH sejati tidak mementingkan diri kerana seseorang yang benar-benar mengasihi pasangan akan berusaha membuat pasangan gembira dan berasa dihargai.

Dalam pelbagai situasi, susah mahupun senang, melayan pasangan sebaiknya adalah tanggungjawab. Malah percaya atau tidak, kehadiran mereka disisi pengubat segala kekusutan.

Perkongsian sebuah lukisan karya pengguna Facebook, Zawawi Zaid di sebuah grup Facebook menarik perhatian warganet sehingga menerima lebih 23,000 tanda suka.

Lukisan tersebut dihasilkan beliau menggunakan medium pen dan kertas menggamit kenangannya tatkala menjaga isterinya, Allahyarham Suriah Mohd Saad yang merupakan seorang pesakit leukemia ketika mendapatkan rawatan di wad hospital.

Bersama visual kenangan pada 2019 itu beliau turut menitipkan kembali tutur kata isteri yang bersimpati apabila melihatnya tidur beralaskan tikar jerami manakala kepala berlapik sebuah bantal kecil sahaja.

Jelas sekali baginya keselesaan ditolak ketepi, asalkan dapat berada di sisi insan tersayang ketika itu.

 

“Abang tak kisah pun, janji abang tidur sebelah Sue. Dekat dengan isteri abang tau….”

Aku kata begitu, Sue tersenyum sahaja.

“Terima kasih bang, kerana jaga saya,” tambah isteriku.

“Abang cuma nak Sue sembuh, itu sahaja,” sambil mengusap dagunya yang bujur sirih itu dan dia tersenyum. Lalu aku cium pipinya.

“Setiap malam sebelum tidur, aku akan cium pipi dan dahinya.

“Kadang-kadang di depan jururawat dan mereka hanya senyum melihat kami. Mereka sangat faham tentang kami,” coret bekas juru ilustrasi dan animator itu.

Titipnya lagi, hampir setiap malam dia akan tidur di lantai hospital beralaskan tikar sehinggalah dia membeli sebuah kerusi ‘malas.’

Malah, selepas Allahyarham meninggal dunia pada 11 Mei 2019, kerusi tersebut diwakafkan untuk kegunaan waris pesakit lain agar pahala untuk isteri tersayang mengalir berterusan hingga ke akhirat.

Tulisannya benar-benar menyentuh hati ramai. Kapsyen yang menyentuh hati membuatkan rata-rata warganet mengimbas kenangan menjaga pasangan dan ahli keluarga ketika ditahan di wad.

Gambar hiasan.

Baca juga Darah ‘Ganjil’ Rh17 Pemilik Lelaki Sarawak Diterbangkan Ke Johor

“Lukisan ini dekat dekat di hati orang yang pernah menjaga keluarga di hospital sebab ia realiti.”

“Besarnya pengorbananmu wahai suami yang dedikasi dan tulus murni.”

“Memori yang sama, tidur di lantai Hospital Raja Perempuan Zainab menemani arwah suami. Bukan sekali, malah berkali-kali. Al-Fatihah.”

“Lukisan ini dekat sangat dengan Saya. Bezanya saya yang tidur di lantai manakala suami di atas katil. Kenangan semasa saya menjaga suami di hospital awal tahun ni. Tiga kali masuk wad. Tiap Kali masuk, mesti seminggu lebih stay wad. Sekarang saya jaga suami di rumah tapi sama sahaja, saya tetap tidur di lantai (disampingnya) supaya senang kalau suami perlukan apa-apa, saya ada berdekatan dengan dia”

Iklan

 

“Teringat masa jaga arwah suami, saya tidur di lantai. Tengah malam doktor datang memeriksa suami.”

“Al-Fatihah. SUBHANALLAH, suami yang baik. Ada suami yang isteri sakit, terus tinggalkan. Bertuah isteri tuan, dapat suami yang menjaganya hingga ke akhir hayat.”

“Kasih sayang seorang suami yang menjadi dambaan insan bergelar isteri. Semoga anda terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.”

“Bila tengok gambar ini, teringat dulu masa saya sakit ditahan di wad, emak saya tidur beralaskan tikar mengkuang sahaja menjaga saya. Malam dia jaga saya, siang dia bekerja…”

“Sedihnya. Semoga isteri Tuan tenang kat sana. Untung dia ada yang sayang sampai akhir hayat. Lukisan ini menyimpan seribu makna.”

Gambar hiasan

Baca juga Penangan Isteri Peminat K-Drama, Suami Sanggup Pasang Digital Door Lock Di Rumah

Iklan

Sememangnya menjadi lumrah kehidupan, setiap pasangan berumah tangga yang berlandaskan kejujuran dan ikhlas akan beroleh bahagia.

Saling membantu dan menjaga antara satu sama lain pada masa yang memerlukan mencipta kenangan indah yang sukar dilupakan sehingga ke akhir hayat.

Pada situasi pandemik kini, sesetengah hospital mewajibkan saringan Covid-19 kepada peneman pesakit bagi mengelakkan jangkitan daripada komuniti berikutan peningkatan kes baharu wabak itu.

Malah dalam polisi terbaru, pelawat adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes tertentu bergantung kepada kelulusan pihak hospital.

Penjaga pesakit atau peneman hanya dibenarkan bagi kes pesakit kanak-kanak bawah 12 tahun dan pesakit memerlukan bantuan di dalam wad seperti warga emas, pesakit strok atau pesakit kurang upaya. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan pihak hospital.

Ketika berada di hospital, korang perlu memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga penjarakan sosial, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau arahan pihak hospital serta mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera.

Sumber: Zawawi Zaid, covid-19.moh.gov.my

Foto: pixabay.com, unsplash.com